Blogger Template by Blogcrowds

 
   

Wednesday, July 08, 2009

Pembinaan Insan Melalui Pemupukan BUDAYA dalam Silat Cekak.

Asalamualaikum dan Salam Hormat,

Saya pernah menyebut dalam penulisan yang terdahulu bahawa pada pandangan saya, antara istimewanya Cekak adalah pada KUALITI Seni Silat, FALSAFAH dan BUDAYA yang diamalkan oleh sebahagian pengikutnya. Saudara SALMAN dan SAYA telah mengupas tema Sambutan 40 Tahun Silat Cekak yang berbunyi Silat Gemilang, Budaya Terbilang dalam benang yang lalu. Begitu juga dengan tulisan Saudara Adi Putera dalam benang yang sama.

Suka untuk saya menarik perhatian pembaca budiman semua tentang apa yang saya dapat ringkaskan tentang BUDAYA dalam Seni Silat Cekak.

BUDAYA boleh ditakrifkan sebagai amalan common di sesuatu tempat/kumpulan. Contohnya, jika suasana di tempat kerja di sesuatu pejabat, semua pekerja biasa berkerja sehingga malam, maka budaya yang dilihat dari masyarakat luar ialah 'kerja sehingga lewat malam itulah budaya di syarikat berkenaan.'

BUDAYA yang baik akan memberi kesan yang baik kepada semua pengamal silat. Begitulah sebaliknya. Persoalannya di sini, bagaimana untuk membentuk budaya yang baik?

Saudara SALMAN juga pernah menulis sesuatu yang menyentuh perkataan FENOMENA. Pada pendapat saya, permulaan budaya adalah daripada tercetusnya fenomena dalam sesuatu tempat.

FENOMENA pula tercetus daripada sekumpulan penggerak silat yang memiliki NILAI-NILAI baik yang diamalkan secara istiqomah.

NILAI-NILAI yang baik ini pula terbentuk daripada pemupukan SIFAT-SIFAT yang baik dan terpuji. SIFAT-SIFAT yang baik pula akan terbentuk daripada TABIAT-TABIAT yang baik, dan TABIAT yang baik akan terbentuk daripada PERBUATAN-PERBUATAN yang baik.

Individu-individu yang mempunyai NILAI-NILAI ini yang menggabungkan NILAI-NILAI UMUM yang baik dengan rakan seBUDAYA, akan membentuk FENOMENA pada permulaannya, fenomena yang baik ini jika berjaya di sebarkan dikalangan ahli sehingga diterima barulah akan membentuk apa yang kita perkatakan di awal tadi iaitu: BUDAYA.

Pemupukan BUDAYA melalui pengemblengan NILAI-NILAI yang baik yang terbentuk daripada SIFAT-SIFAT terpuji oleh pengamal yang melakukan TABIAT baik secara ISTIQOMAH akan memberi manfaat yang bukan kepalang kepada pergerakan silat khasnya, malah menjadi daya tarikan masyarakat luar untuk mendalami silat ini. Bila dah budaya baik di kembang-kembangkan, pembangunan BANGSA yang terbaik sedang dalam proses pembinaan.

Dalam tempoh 40 tahun ini, pembangunan budaya masih dalam pembinaan. Menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan diri sendiri sentiasa melakukan perbuatan yang baik secara istiqomah, insyallah akan manfaatkan diri, kembangkan perbuatan baik kepada rakan sekeliling, insyallah akan menjadi budaya yang baik keseluruhannya.

Sekian pandangan saya, terima kasih.

Wassalam.

ARMANN


Tajuk : Re:Pemupukan Budaya

Saudara Armann, izinkan saya menyentuh sedikit tajuk yang saudara bawa pada kali ini berkaitan BUDAYA. Ini berupa pandangan saya sahaja.

Nilai kita sedikit sebanyak akan melambangkan Budaya dalam SC. Pastinya budaya yang wujud ialah budaya yang berkualiti tinggi. Salah satu daripadanya ialah akhlak mulia. Pengamal SC juga perlu berakhlak mulia. Akhlak mulia bukan sekadar gerak laku yang baik serta tutur kata yang sopan tetapi meliputi semua sifat yang positif seperti berwawasan, berstrategi, bekerja keras, berinovatif, berani melakukan perubahan dan teliti.

Saya bersetuju benar dengan pendapat saudara Armann. Saudara ada menegaskan bahawa nilai yang wujud adalah hasil rangkaian daripada pemupukan sifat, tabiat dan perbuatan yang berulang-ulang. Saya rasa dalam tempoh 40 tahun sedikit sebanyak nilai-nilai ini mula tersemai. Dalam konteks ini, kegemilangan SC di masa yang lalu amat sukar digambarkan oleh generasi sekarang yang baru menceburi alam pesilatan SC. Sebanyak mana gambaran yang kita beri tentang kehebatan SC di masa lalu, mungkin masih kabur dan sukar untuk generasi sekarang menggambarkannya. Untuk mengatasi hal ini saya berkeyakinan, pengamal SC yang ada ketika ini perlu menonjolkan kehebatan mereka supaya dapat dijadikan panduan dan dapat disaksikan sendiri oleh generasi yang baru. Alangkah baiknya jika kumpulan penggerak Silat Cekak ketika ini memiliki nilai-nilai yang berkualiti yang dapat dijadikan landasan untuk ikutan ahli SC. Secara langsung budaya yang berkualtiti yang diamalkan oleh ahli SC akan menarik minat masyarakat bukan ahli untuk menyertai SC.

Selain itu satu lagi budaya yang perlu sentiasa dipupuk di kalangan ahli ialah budaya menuntut ilmu. Ilmu dalam SC sangat luas dan banyak sekali. Budaya ini perlu dipupuk supaya ahli SC benar-benar memahami kesemua ilmu yang ada dalam bidang persilatan SC. Kita pernah mendengar, "jika menuntut setakat SRP, setakat itulah ilmu yang dapat dan jika menuntut setakat peringkat universiti maka akan bertambah dan luasnya ilmu pengamal Silat Cekak". Jiwa kita perlu cekal menuntut ilmu. Jika perlu , "kita rela menerima cacian daripada guru dengan hati yang lapang dan penuh kesabaran kerana ilmu daripada guru hanya dapat kita terima dengan menyerahkan keadaan dan diri kita kepadanya."

Apakah cara yang sesuai supaya ahli-ahli SC terus mempelajari SC hingga memiliki keseluruhan pelajarannya, hingga ke peringkat universiti?. Sekali lagi peranan budaya menuntut ilmu perlu dipupuk dari masa ke masa. Penuntut dan pengamal SC perlu mempunyai semangat yang keras, rajin, agresif, cerdas dan yang paling penting, sentiasa berdampingan atau bersahabat dengan guru dalam jangka waktu yang lama.

Sekian ulasan daripada SAYA.

Free MP3s