Assalamualaikum, utk renungan bersama...
Petikan kata-kata Y. Bhg Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
L/belakang Syed Mokhtar
- Umur - 53 tahun
- Pendidikan - SPM
- Mula berniaga - 19 tahun (jual beli lembu dan kerbau)
- Kekayaan - RM1,425 juta- Ke 7 terkaya di Malaysia - Ke 32
terkaya di Asia Tenggara (Forbes)
- Antara syarikat miliknya - MMC, Pelabuhan Tg. Pelepas,
BERNAS, Gardenia, DRB-HICOM dan Bank Muammalat
- Kereta - Proton Perdana
- Sumbangan sosial - Yayasan Al-Bukhary, institusi pengajian
untuk 3,000 pelajar, Muzium Kesenian Islam, Kompleks
Al-Bukhary, menaja kelas tuisyen untuk pelajar Melayu,
pengindahan Masjid Negara, sumbangan RM1 juta untuk
Tabung Tsunami dan menaja setiap tahun penghantaran
rakyat Malaysia yang tak mampu untuk tunaikan haji.
- Bagaimana sumbangan sosialnya bermula - Bila mana
ibunya menyuruh memberikan sebahagian elaun (RM750.00)
pertamanya sebagai pengarah syarikat beras kepada jiran yang
susah. Sebahagian lagi (RM750.00) ibunya simpan. Selain itu,
ibunya juga menyuruh beliau menghantar lampu kerosen ke
surau-surau untuk menerangi kegiatan sepanjang malam
bulan Ramadhan. Dari situ bermulalah pembentukan peribadi
dan pemikiran Syed Mokhtar yang kita kenali hari ini.
1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok.
Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara
sebabnya. Saya mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa
yang kekal berpanjangan
2. (berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi
orang Melayu kena berdamping dengan orang politik
sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui
kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi
orang politik semata-mata.
3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak
dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini
sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya.
Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan
mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan
masa. Tiada jalan singkat.
4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa
yang tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok
-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan
yang kekal.
5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka
(bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan
mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham
kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka.
Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan
kita.
6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah.
Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita
kena maju.
7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya
tiada pilihan lain.
8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena
banyak sabar dan kuat berusaha.
9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang
perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.
10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok
dunia, ke Tokyo, New York dan London. Saya pun suka
pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana,
hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa
rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana ?
11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada
status; ada masa di atas, ada masa di bawah.
12. Ketika Allah memberika kemewahan, kita kena
turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh
dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong
orang lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik.
Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun
ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat
daripada yang lain.
13. Korporat Cina turun ke bawah membantu.
Orang Cina ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada
pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama
kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu
berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah
14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain.
Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat
dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam
agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit
yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.
15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya
boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa
hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak
tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat.
Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan
kita, kita masih tidak buat apa-apa !
16. Saya ada emotional attachment kepada agama,
bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak
penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak.
17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu
kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya.
Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja
kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang tuhan beri
melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu
berusaha.
18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya
tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu.
Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan
pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana
benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita
menolong orang.
19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu
adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan
kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara
sahaja.
20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan
ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya
percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukan akan kekal.
Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya
lakukan sekarang.
21. Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan
lain supaya kita terus dapat bantu orang lain
mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat
semua ini untuk diri saya semata-mata.
22. Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan
orang tak tahu. Apa yang saya dapat itu yang jadi masalah
kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa lain memegang
pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa.
Ini masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah
kerana politik, di bandar berpecah kerana ini (wang).
23. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada
saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai
juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal
dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.
24. Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada
RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup
boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada
menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri.
Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu
selama-lamanya.
25. Orang kata saya takda duit tapi banyak hutang.
Orang berniaga mana yang tak berhutang. Tapi mesti tahu
bagaimana hendak meminjam dan membayarnya semula. Ada
cara boleh kita buat. Tapi sebelum berhutang RM100 juta
mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti
ada tanggungjawab. Banyak orang mahu senang tapi tidak
ramai yang mahu bertanggungjawab.
26. (perasaan setiap kali mendapat rezeki). Saya ini
kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok.
Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu saya minta terus dari
tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai
baju dan seluar biarlah padan dengan badan.
27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan
tanggungjawab (bila pinjam bayar balik dan buat amal
jariah). Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain,
perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit
tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.
28. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu
orang lain boleh berkongsi sama.
29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak
orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah
mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang lain suka
hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita
dan asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada
jiran-jiran yang perlukan bantuan.
30. ......kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai
dan jadi nakal. Saya manusia yang banyak buat kesilapan.
Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya
ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang
Melayu.
31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu
saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.
32. Kekayaan ini tuhan beri kepada saya untuk saya
menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan
rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita
pula dengan cara yang lain.
33. Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti
saya berilah sedikit masa untuk faham selok belok
perniagaan, Insya Allah boleh maju.
34. Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh tapi
kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk
bangkit balik. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk
kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah
adalah tugas seharian.
35. Lifestyle ? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk
kelab sana dan sini. Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun
ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara
hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun.
36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai
Mercedes tapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong
kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke
mana-mana.
37. Tiada sebab orang kenapa Melayu tidak boleh maju.
Ini saya berani perang dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh
maju. Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat
suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar ini. Tidak ada sebab
kenapa ia tidak boleh berlaku.
38. Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan
disebabkan oleh bangsa kita dan agama kita. Ia berkait
dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih, tekun dan tidak mudah
putus asa merupakan kunci kejayaan kita. Tapi perkara ini
kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.
39. Tuhan memberi peluang kepada siapa saja yang bekerja
kuat. Apa yang ada pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau
macam saya boleh, tidak ada sebab orang lain terutama mereka yang
dari pekan tidak boleh.
40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang
perkara yang boleh memberikan kesan psikologi negatif
kepada orang Melayu (kereta dan rumah besar). Kita kena
kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar.
Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi bukan itu
matlamatnya.
41. Orang Melayu sebenarnya kena membantu diri
sendiri, kena bekerja keras dan fokus.
42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri
seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.
43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya
bermula daripada didikan orang tua saya sendiri.
44. Saya sendiri berhutang sambil berniaga dan buat
sumbangan amal jariah. Saya tak mahu tunggu hutang habis
baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang habis saya
pun mati dan apa pun tak sempat saya buat.
45. Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu
beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah.
Tidak ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur.
46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus
peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik,
saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak.
Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat
langsung.
47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau
kapal terbang. Saya fikir kalau saya beli sesuatu biarlah
orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau saya beli sesuatu
yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.
48. Saya gembira dapat membantu. Saya mahu orang lain
merasai (kesenangan) apa yang saya pernah rasa. Saya tahu
bagaimana perasaanya. Saya kata kepada diri saya, apa yang
saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan
beri kurang, lebih tak mengapa. Itu yang membuat hati saya
seronok.
49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada
ini. Saya kata kepada kawan-kawan ini baru warm-up saja;
kita belum berjalan lagi. Saya rasa kita terlalu banyak
ketinggalan.
Friday, March 25, 2005
Memperbaharui Kehebatan
Tajuk | : | Memperbaharui Kehebatan |
Pengguna | : | Salman |
Tarikh | : | 2005-03-17 14:30:39 |
Assalamu'alaikum
Sudah menjadi satu kelaziman umum, mempertahankan
suatu kehebatan jauh lebih sukar dari mencipta kehebatan
tersebut.
Jika dilangkah awal penciptaannya, setiap halangan dilihat
sebagai pencetus untuk meneruskan kemaraan. Sebaliknya
ketika tindakan yang sama diambil untuk mempertahankan
kehebatan itu, adakalanya halangan dari persekitaran
bertindak terlalu rakus sehingga kita gagal menguasai diri.
Akhirnya hilang pertimbangan dan tewas tanpa kesudahan.
Amat malang sekali jika kita tidak berjaya menguasai kembali
diri untuk menghadapi halangan tersebut.
SC yang kini bergerak seiring dengan kekukuhan PSSCUHM
telah beberapa kali dari masa ke semasa, mengecapi saat-saat
kegemilangan. Cuma kadangkala hati kecil berbisik, adakah
kini kita berada dalam zon mempertahankan kegemilangan
tersebut atau kita akan terus berusaha untuk mencetuskan
kegemilangan yang baru?
Mungkin saudara semua tertanya-tanya apakah saya sekadar
melontarkan pandangan untuk mengisi kekosongan masa atau ini
adalah satu perkara serius yang perlu diberi perhatian?
Terpulang kepada semua untuk menilai. Cuma bagi saya jika kita
ingin terus mempertahankan kehebatan maka kita hanya sekadar
melakukan perkara rutin. Sebaliknya jika kita ingin terus
bergerak membina kehebatan demi kehebatan yang baru,
amatlah wajar kita menyemak keupayaan diri sebagai langkah
persediaan untuk memahami erti kegemilangan yang baru.
Saya harap saya tidak keterlaluan jika mengatakan bahawa
kita amat hebat dari segala segi. Kajilah jika saudara masih
meragui kata-kata saya.
Sejarah, falsafah, kefahaman, sistem pelajaran, seni gerak
dan buah, adat dan istiadat, budaya, siasah hinggalah
ke sudut penampilan, SCH tetap memperlihatkan keunggulan
yang tiada tara.
Kita hampir sebati dengan kehebatan ini, yang dahulunya
terpaksa dibawa dengan penuh kepayahan oleh para pendokong
yang setia. Kita merasakan apa yang berlaku kini sudah menjadi
satu kebiasaan, biarpun dahulunya amalan yang membentuk
kehebatan ini pernah ditertawa dan dicerca kerana kelainannya.
Inilah pahit maung yang terpaksa dihirup oleh para pendokong
generasi awal. Inilah yang ingin saya jelaskan. Tatkala kita begitu
senang dengan tahap ketinggian yang telah tersedia, ramai
dikalangan kita yang sudah segan untuk mencipta kehebatan yang baru.
Kita amat senang untuk bermegah dengan kehebatan dahulu.
Sedangkan ilmu yang masih tersembunyi dalam ruang bicara SCH
masih banyak. Ramai dari generasi terkini yang seolah-olah
mengharapkan agar kehebatan ini berkekalan. Sedangkan kita semua
tahu bahawa tiada keagungan yang pasti kekal.
Demikian itulah, jiwa yang sentiasa mengimpikan kehebatan, akan
terus berusaha memastikan agar bukan sahaja kehebatan ini
dipertahankan bahkan perlu diperbaharui agar terus kekal hidup
bersama setiap generasi baru yang mengiring.
Pengalaman yang ditempuh sepanjang pembikinan kehebatan
silam adalah sandaran terbaik untuk merencana perubahan
baru.
Sebagai ahli SCH, perubahan baru harus dilihat dari sudut
mengadaptasikan persekitaran sebagai teras kekuatan untuk
melangkah lebih pantas dan jauh. Sehubungan itu dalam
pembentukan perubahan yang baru, jangan kita terlalu
ghairah memikirkan kelainan secara total.
Kelainan tidak semestinya membuahkan kebaikan. Perubahan
(dalam kontek perbincangan ini) harus menjurus kepada
membangkitkan keyakinan berasaskan kemampuan, bukan
sekadar cerita hebat yang diperturunkan secara lisan.
Perubahan baru perlu bertitik tolak dari kesediaan kita untuk
kembali kepada fitrah yang terkandung dalam SC. Fitrah ini
perlu diterjemah sebaik mungkin dengan merujuk kepada
didikan, pesanan dan kefahaman yang diterapkan oleh
YM Tuan Guru Utama. Usaha ini tidak mudah.
Kita sebagai ahli dan murid, sepanjang proses penghayatan didikan,
pesanan dan kefahaman ini akan sentiasa berhadapan dengan
situasi yang memerlukan kesabaran yang tinggi.
Inilah mujahadah yang diri dalam pembikinan kehebatan.
Tiada apa yang lebih diinginkan sepanjang pembabitan diri dalam
kehebatan ini selain daripada terus menabur budi dan jasa.
Kita diajar mengenang jasa Guru, ibu dan bapa. Kita diasuh untuk
menabur kembali bakti kepada semua yang telah berjasa kepada kita.
Lantaran itulah, setelah memahami segala maksud tersirat
dan tersurat setiap perkara yang berlaku sepanjang usaha
mengekalkan dan memperbaharui kehebatan, ramai yang
amat mensyukuri akan pertemuan mereka dengan SC ini.
Kesyukuran mereka digambarkan dengan sumbangan yang
tiada tolok banding. Mereka begitu selesa dengan apa yang
dilakukan. Mereka menjadi lebih hidup dan lebih sempurna
kematangannya. Maka tidak hairanlah jika ada diantara mereka
yang seolah-olah layu tiada kesegaran jika berpisah dengan
keselesaan tersebut. Itukah yang dinamakan cinta? Entah.
Saya tidak mampu memberikan pandangan.
Apa yang pasti, jangan biarkan diri leka dalam keenakan semasa.
Hidupkan wadah ini dengan menjana matlamat baru. Jika tidak
pada pergerakan berikanlah pada diri sendiri.
Insyaalah tiada siapa yang rugi.
SALMAN
Tuesday, March 08, 2005
Kelas Latihan Serdang
Assalamualaikum..
Selamat datang ke Blog Kelas Latihan Serdang.
Di sini anda boleh mendapatkan maklumat mengenai
perjalanan Kelas Latihan Serdang dari semasa ke
semasa dan Silat Cekak Hanafi.
Terima kasih kerana sudi membaca.
Mahadzir Jaafar
Selamat datang ke Blog Kelas Latihan Serdang.
Di sini anda boleh mendapatkan maklumat mengenai
perjalanan Kelas Latihan Serdang dari semasa ke
semasa dan Silat Cekak Hanafi.
Terima kasih kerana sudi membaca.
Mahadzir Jaafar
Subscribe to:
Posts (Atom)