Blogger Template by Blogcrowds

 
   

Wednesday, July 28, 2010

Julang dan bilang..

Tajuk       :       Julang dan bilang..
Pengguna      :     Adi Ramli
Tarikh      :     2005-02-28 15:13:32

Sambungan dari thread Budi, bahasa, seni dan budaya..

Berbalik kepada "SILAT DIJULANG, BUDAYA TERBILANG". Apabila dikatakan JULANG, pastinya melambangkan:

1) Maruah - piala, pingat dan hadiah dijulang.
2) Kepuasan - pemenang sukan menjulang tangan
3) Harapan - dalam kartun Lion King, anak singa dijulang di hadapan rakyat jelata.
4) Kemuliaan - Sultan yang dijulang.

Dengan kata ringkasnya, apabila sesuatu itu diJULANG, maka ia pastinya adalah sesuatu yang sangat berharga, sangat hebat. Sesuatu yang hebat hanya dimiliki oleh orang2 yang hebat. Sebagai contoh, emas adalah benda yg berharga. Hanya boleh dimiliki oleh orang yang kaya serta mempunyai tahap security yang hebat supaya tidak diambil orang lain.

Maka begitu juga dengan silat. Silat adalah seni menjaga diri yang hebat. Maka pastinya dijulang oleh orang yang hebat. Walaupun begitu, persoalan sekarang ialah: Adakah kita sudah cukup hebat untuk menJULANGnya? Jika mengikut contoh di atas, ahli sukan yang hebat sahaja yang layak menjulang piala. Pasukan bola sepak terhebat dunia sahaja yang layak menjulang piala dunia. Adakah kita sudah cukup hebat untuk menjulang silat?

Apa yang ingin disampaikan di sini ialah adakah kita sudah cukup bersedia untuk menghadapi segala rintangan sedang berlaku dan yang akan berlaku? Untuk menjulang sesuatu yang hebat, piala marathon umpamanya, seseorang itu harus berlari jauhnya berkilometer dengan penat lelah tak terkira. Untuk menjulang piala dunia, sesebuah pasukan bola itu perlu bertungkus lumus dari segi fizikal, keteguhan hati, pemikiran dan strategi untuk menjaringkan gol. Maka setakat manakah yang kita telah usahakan selama 40 tahun ini untuk menJULANG silat?

Malah untuk menJULANG, kita harus bersaing dengan lawan yang lain. Menjulang itu bukanlah suatu yang mudah. Sebut memang mudah, tetapi untuk melakukannya, pastinya penuh dengan dugaan, rintangan dan saingan. Inilah yang harus kita hadapi sebagaimana yang diceritakan oleh Encik Amrahi pada thread "Kekuatan Jiwa dan Minda".

Maka, untuk menjlang sesuatu yang hebat, adkah kita sudah cukup bersedia? Atau dengan kata lainnya - Adakah kita sudah memperhebatkan diri kita untuk menghadapi segala rintangan yang bakal dihadapi? Masing2 ada jawapan masing2. Masing2 ada usaha masing2. Dan pastinya masing2 akan bersedia dengan cara masing2..

Pun begitu, silat kita adalah sebuah organisasi, bukannya bergerak secara individu. Maka segala keputusan, strategi dan usaha untuk menjulang silat itu perlu dilakukan atas persetujuan dan permuafakatan semua yang terlibat. Maka timbul persoalan baru:

"Setakat manakah per-SA-UDARA-an di antara sesama ahli untuk menjulang silat? Adakah sudah cukup atau belum? Adakah pantang larang ke-4 (tidak bergaduh sesama ahli) itu sudah menjadi FALSAFAH (dari segi pengamalan), atau PEPATAH (teori semata2) semata2?"

Terpulang kepada diri sendiri untuk menjawabnya.. Sama2lah memikirkannya..

Bersambung..


Tajuk       :       Re: Pembetulan/Penambahan
Pengguna      :     Adi Ramli
Tarikh      :     2005-02-28 18:03:43

Saya bersetuju dengan pandangan penulis SAYA mengenai perkataan TERBILANG:

"Terbilang ada kaitan dengan Gemilang. Perkataan ini sebagai kiasan bagi sesuatu yang sangat unggul."

Apabila diperhalusi, TERBILANG bermaksud mudah dikira. Sesuatu yang "tak terkira" adalah terlalu banyak hingga tidak dapat dikira. Tetapi sesuatu yang terkira (boleh dikira) pastinya amat sedikit, apatah lagi jika "dapat dikira dengan jari".

Kaitan yang dapat disimpulkan di sini ialah, golongan yang hebat adalah golongan yg sedikit. kerana bilangan yang sedikit inilah yang akan membezakannya dengan golongan yang lain. Kita ambil contoh mudah:

Nabi ada banyak, tetapi sebahagian sahaja yang menjadi rasul. Rasul juga ada banyak, tetapi yang wajib diketahui hanya 25. Pun begitu, hanya 5 sahaja yang tergolong dalam rasul ulul-azmi. Daripada 5 orang rasul ulul-azmi, hanya Nabi Muhammad SAW sahaja yang paling outstanding - menjadi KEKASIH.

Maka daripada bilangan yang beribu2, kepada beratus2, kemudiannya kepada 25, dan kepada 5, akhirnya kepada 1. Bukankah lebih mudah untuk dikira? Bukankah semakin hebat/unggulnya sesuatu itu, bilangannya semakin sedikit? Yang mana pengakhiran (the ultimate) kehebatan/ keunggulan itu hanya akan dikurangkan kepada SATU. Kerana itulah tahap tertinggi - YANG PALING TERBILANG (the one and only).

Maka begitulah juga dengan budi dan daya (budaya). Apabila kita meningkatkan martabat dan kemuliaan silat kepada yang lebih hebat (JULANG), secara tidak langsung, kita meng"highlight"kan KECANTIKAN dan KEINDAHAN yang hebat. Apabila ramai yang terlihat akan kehebatan, keberkesanan dan kemuliaan kecantikan dan keindahan tadi yang diserap ke dalam kehidupan sebagai SENI, bukankah lebih ramai yang akan menerimanya? Maka bukankah budaya itu dihargai, dimuliakan, dikagumi, disanjung dan dibanggai oleh mereka yang menjadi pengamal kepada budaya (dengan kata lainnya, BANGSA) tersebut?

Maka itulah sebabnya apabila silat DIJULANG, BUDAYA 'TERBILANG'. Bukankah betapa INDAHnya susunan bahasa itu?

Akhir kata, dalam konteks silat cekak pula, timbul pula persoalan: Adakah kita sudah mencapai tahap TERBILANG? Adakah kita masih sama taraf dengan yang lain, atau adakah kita sudah mencapai tahap YANG PALING TERBILANG? Apa langkah2 dan strategi yang perlu dilakukan untuk mencapai semua ini setelah 40 tahun berlalu? Apakah yang perlu diperkukuhkan? Dan apa pula yang perlu dimajukan?

Terpulanglah kepada masing2 untuk memikirkannya.. Sama2lah kita usahakannya..

Segala yang ditulis ini hanya sekadar pandangan sahaja. Jika ada tersalah, diharapkan ditegur supaya dapat diperbaiki.

Sekian..

Tajuk       :       Re: You memang hebat
Pengguna      :     Page1
Tarikh      :     2005-03-01 08:29:02

I baca tulisan panjang you ni memang menarik. You budak mana? Persoalan yang you kembangkan dari penulisan bro Salman dan Bro SAYA baik untuk semua fikirkan. AJK perayaan telah bertungkus lumus untuk memberikan yang terbaik dalam usaha kita menyambut perayaan memartabatkan SC. You dalam kontek yang sama telah menyumbangkan pandangan untuk menjelaskan maksud tema (dari sudut pandangan you). Memang akan ada yang tak setuju. Itu biasa. Pedulikan apa "tungau" (sama macam badut le dalam kontek ni)) nak kata.

Seperkara lagi yang elok kita tengok ialah untuk menjadi terbilang, tak boleh cepat jemu. Better slow but consistent. (but not too slow la..bila lak nak sampai). Laju sangat jalan pun tak baik gak takut cc tak cukup. pecah engin tu kang. langsung tak leh nak jalan. kita man..man je. Tapi dalam dok slow and steady tu, cari le knowledge sama. Berkawan dengan member yang ada input dan boleh bagi sikit output yang baik kat kita. At least kita sentiasa ada orang yang boleh guide bila time blank {bukan Mamat Blank:)}

Last to Bro Adi Ramli..well done. Ko budak U ke? Bukan aper, I sure BM you dulu A1..hehehe. Anyway teruskan..teruskan usaha murni anda.


Tajuk       :       Re: Terima kasih
Pengguna      :     Daeng
Tarikh      :     2005-03-01 08:06:26

Secara keseluruhan saya sungguh berterima kasih atas penjelasan saudara berhubung tema perayaan 40 tahun SC. Syabas.

Selama ini saya sendiri tidak berupaya untuk memahami kehendak yang terkandung di dalam tema berkenaan. Alhamdulillah atas usaha Saudara, Salman dan SAYA, perkara yang kabur dapat dijelaskan.

Apapun bukan teori yang lebih utama. Sebaliknya usaha kita untuk mencapai apa yang ditulis selama ini berhubung tajuk yang telah diwar-warkan perlu dipertingkatkan. Hari Sabtu 5 Mac 2005 adalah hari untuk kita bersama memahami dan menjayakan hasrat tema. Insyaallah GU sendiri mungkin akan menghuraikannya dengan lebih lanjut.

Sekali lagi, terima kasih kepada semua yang memberikan penjelasan.


Tajuk       :       Re:Kehebatan SC
Pengguna      :     Benci
Tarikh      :     2005-02-28 21:11:43

Membaca tulisan saudara bersekali dengan tulisan SAYA dan SALMAN dan diikuti dengan penulisan Sdr Amrahi, nampak betapa hebatnya SC

Kehebatan kita dapat dibuktikan dan ini bukan setakat teori. Atas keyakinan inilah saya sangat bersetuju dengan ayat akhir tulisan Salman. Atas keyakinan inilah juga kita perlu bergerak dengan penuh keyakinan tanpa diganggu gugat oleh anasir-anasir yang ingin menyekat perkembangan kita. Ingatan yang diberi oleh Sdr Amrahi sangat baik. Sekurang-kurangnya kita tidak mudah melatah akibat jolokan isu oleh pesaing-pesaing kita.

Dalam konteks Terbilang, saya yakin kita sedang menuju ke tahap Paling Terbilang. Strategi pelaksanaan yang mengambil kira kekuatan dan kelemahan kita memang dalam perhatian barisan kepimpinan kita. Berilah kepercayaan kepada mereka. Kita yang berada di bawah, gunakan stategi menyokong dan melaksana serta elakkan banyak pertengkaran yang boleh membantutkan pelaksanaan.

Sekian dan syabar saudara Adi Ramli.


Tajuk       :       HAKIKAT YANG HAK
Pengguna      :     Armann
Tarikh      :     2005-02-25 17:31:11

HAKIKAT YANG HAK.

'Sebenar Guru ada hakikat
di kuat pula amalan syariat
di tambah pula ilmu makrifat
berpakaian pula dengan isyarat'.

Tulisan saya sebelum ini, WAJIB MENJAGA DIRI SENDIRI disambut dengan panjang lebar sehingga memenuhi sebahagian daripada ruang keseluruhan kaca monitor.

Tetapi sayang, panjangnya benang berkenaan hanya dengan satu isu yang masih ding-dong sehingga kini, antara 2 kumpulan berhubung satu isu yang tak tercerita melalui maya, tentang isu yang tinggi penceritaannya, HAKIKAT.

Saya berpendapat, ini hanya aktiviti umpan-mengumpan antara satu pihak ke pihak yang lain untuk menguji kefahaman lawan masing-masing. Saudara, ini sebenarnya tidak perlu, 'ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya', suka saya nasihatkan rakan seperjuangan dalam SCH supaya jangan dilayan manusia jenis ini, banyak lagi benda berfaedah lain yang boleh dibuat. Selagi mereka tidak melampaui batas, kita diajar untuk bersabar dan bersedia menunggu serangan. Ini sifat lelaki yang berani.

'Bulan haram (dibalas) dengan bulan haram dan di dalam kehormatan itu qisas. Barangsiapa yang berbuat aniaya kepadamu maka kamu boleh aniaya kepadanya, seumpama keaniayaannya kepadamu dan takutlah kepada Allah dan ketahuilah bahawasanya Allah berserta dengan orang-orang yang bertakwa'.
(Al-Baqarah, 2: 194).

Sungguh dalam pengertian HAKIKAT, tak tercerita dalam maya. Secara umumnya, pantun almarhum di atas memberikan hint kepada kita mengenal sebenar guru, berguru dan mencari guru. Antara HAKIKAT, SYARIAT, MAKRIFAT dan ISYARAT, bukanlah tahap saya untuk membicarakannya, namun, secara tersuratnya, 1 peratus daripada maksud HAKIKAT ini cuba saya huraikan mengikut fahaman saya seperti berikut,

Kata akar HAKIKAT ialah HAK. Sebenar Guru ada hakikat, maksudnya, guru yang sebenar-benarnya adalah guru yang mempunyai hak, atau BERHAK. Di kelas tadika, guru tadika juga perlu melalui proses pengambilan dan pentauliahan guru tadika, perlu melalui kursus pengendalian TASKA contohnya dan sebagainya sehingga diiktiraf sebagai guru tadika oleh pihak berkuasa yang memberi tauliah. Pengendalian tadika tanpa tauliah memberi risiko diambil tindakan oleh kerajaan, misalnya.

Saudara SALMAN pernah mengulas baik isu GURU dalam benang terdahulu, walaupun tiada ulasan/sambutan yang menambah, saya lebih suka berpendapat isu tersebut telah diulas dan digarap dengan cemerlang, itupun mengikut kefahaman peringkat pembaca.

Bagi perguruan Silat Cekak, En. Md Radzi Bin Hj. Hanafi adalah Guru yang mempunyai HAK perguruan. Perpindahan MANDAT telah berlaku dengan sah, jelas dan terpelihara salasilah perguruan daripada guru tertinggi yang dapat diselusuri, Panglima Ismail, ke zaman sekarang. Pentingnya berguru untuk mempelajari ilmu adalah kerana PENYANDARAN ilmu terhadap AMAL. Sah amal dengan ilmu yang sah, sah ilmu dengan Guru yang sah. Ada penyandaran terhadap dari mana ilmu diperolehi, penting untuk bekalan jawapan di akhirat nanti.

Penyandaran inilah yang membuatkan Guru menjadi istimewa di kalangan pengikut. Bukan taksub, tapi hormat, hormat atas mandat dan ilmu yang diwarisinya. Berterima kasih atas ilmu yang dicurahkannya, dari sifat hormat dan berterima kasih inilah lahirnya gelaran istimewa yang dipakai di seluruh negara.

Terima kasih Guru Utama.

Sekian, terima kasih.

ARMANN


Tajuk       :       Silat dijulang, Budaya terbilang
Pengguna      :     Salman
Tarikh      :     2005-02-25 12:28:27

Assalamualaikum

Kesungguhan kita menyambut ulangtahun ke 40 kelahiran semula SC bukan lagi cerita mainan. Tidak cukup dengan pengisian program sepanjang tahun, kita tampil mengemukakan tema perayaan yang dinamis. Ramai yang maklum dengan maksud tema tersebut. Sungguhpun demikian, saya ingin memberikan sedikit pandangan untuk difikirkan bersama.

SC pada zahirnya, hendaklah mahir pada anggotanya. Silat adalah gerak. Gerak itu hidup. Jelasnya apabila kita membicarakan persilatan secara khusus, tidak mungkin kita dapat lari dari gambaran kehidupan. Untuk hidup kita perlu kepada perubahan agar diri dan persekitaran turut berubah. Silat adalah warisan yang perlu dipertahankan. Biar pernah wujud anasir hitam yang merobek kemurniannya, masih ada lagi sinar yang mampu mengangkatnya kembali ke tempat asalnya. Ada pendapat yang mengatakan asal silat bermula dari makam yang mulia iaitu dari dada para ilmuan dan cendikiawan. Ilmu diperturun dengan penuh tradisi dan tatasusila agar penerima dapat meneruskan turunan ilmu tanpa henti. Andai pendapat ini benar pastinya silat ini pernah bertapak kukuh pada satu kedudukan yang amat tinggi. Jika ini sememangnya berlaku, saya amat yakin silat pada satu ketika dahulu merupakan nadi yang menggerakkan kehidupan satu tamadun yang hebat.

Perkataan budaya terhasil dari cantuman budi dan daya yang membawa maksud usaha bersungguh-sungguh untuk memelihara siasah terpuji. (berdasarkan pemahaman yang diterima melalui SC) Usaha yang berterusan akhirnya membuahkan kebiasaan yang diterima oleh keseluruhan masyarakat. Di awal perkembangan tamadun silam, ukhuwah dan ikatan persaudaraan yang kuat telah membentuk kelompok masyarakat setempat yang hebat. Mereka amat berbangga dengan kampung halaman. Hatta atas rasa bangga dengan kampunglah maka nama-nama agung seperti Syeikh Idris Al-Marbawi, Syeikh Daud Al-Fatani (sekadar beberapa nama) merakamkan tempat asal usul mereka dihujung nama. Apa yang cuba digambarkan ialah kemasyhuran nama, asalnya bermula dengan satu budaya ilmu yang bersemi dari tempat kelahiran. Demikian diantara usaha yang dimainkan oleh para ilmuan terdahulu. Tidak salah jika langkah tersebut disusuli. Cuma kontek perlaksanaan harus lebih kontemporari.

Saya berpendapat, memartabatkan silat bukan sekadar mempopularkan gerak seninya yang hebat. Apa yang lebih diutamakan ialah sejauhmana kefahaman dan falsafah yang dibawa dapat dikembangkan sehingga membentuk kefahaman sejagat. Hampir segenap cabang ilmiah dan seni gerak SC telah dan sedang saya terokai. Pastinya, belum lagi ditemui salahnya faham yang dibawa. Telah ramai sahabat seperjuangan Ustaz dalam penyebaran wadah persilatan ditemui. Tiada barang seorang yang mempamirkan fahaman yang jauh bercanggah dengan didikan yang disemai. Inilah kelebihan kita. Maaf. Saya berbicara dalam kontek pengalaman bersama ahli-ahli SC. Sehubungan itu, kekuatan yang sedia terbentuk, sudah cukup mantap untuk kita ketengahkan kemurnian amalan dan kefahaman yang dibawa, untuk tatapan dan penerimaan masyarakat. Cuma perkara yang dinyatakan bukan kerja mudah. Budaya perlukan penerimaan sejagat yang sebati dengan kehidupan seharian. Sedangkan kehidupan seharian dilingkari dengan ketamadunan barat.

Pendidikan menurut SC mendasari method penyampaian dan kefahaman yang bermula seawal berdiri lurus. Dilihat dari segi silibus, pendidikan formal berakhir dengan penerimaan buah terakhir. Selebihnya adalah kemahiran yang bertujuan membentuk kebiasaan. Tanpa ada kemahiran, boleh dikatakan agak payah untuk kita membentuk budaya terbilang melalui persilatan. Ini adalah kerana kefahaman dan kemahiran perlu dipandu, dihurai, dirumus dan ditahkidkan oleh Guru. Andai ini kurang sempurna, impian mungkin berakhir ditapak yang sama. Guru adalah nadi yang menggerakkan minat. Pada Gurulah tersembunyi segala khazanah yang bakal merungkai kekusutan yang menghalang pembentukan sahsiah. Pada Guru jugalah terbentang segala huraian falsafah yang menjadi mangkin pembentukan peribadi. Lantaran itu, dalam usaha untuk menjulang silat ini, jangan sekali-kali kita membelakangi Guru.

Kebangkitan SC sebagai fenomena bukan lagi khayalan. Falsafah Silat kini sebenarnya telah berlegar diminda para ahli yang bertaburan di segenap lapangan. Bahkan secara tidak sedar, masyarakat yang berada disekeliling mereka turut dibawa untuk menerima kefahaman dan sahsiah yang ditunjukkan. Apa yang jelas selama 40 tahun SC hidup dipersada budaya kita, masyarakat sebenarnya telah jatuh hati dengan kehebatan para pendokong yang memiliki cara fikir dan tindak yang mendahului mereka. Hakikat ini mereka maklum. Cuma mereka masih tercari-cari wasilah sesuai untuk dipraktikkan. Mereka perlukan contoh. Nah ini tanggungjawab kita. Mahirkan seni kaki dan tangan. Mantapkan seni gerak kita. Perhalusi kefahaman diri. Pamerkan kemurnian peribadi. Kitalah sebenarnya warisan yang perlu mendahului masa. Saya yakin bahkan ramai lagi yang turut yakin, inilah silat akhir zaman.

SALMAN

Tajuk       :       Budi, bahasa, seni dan budaya..
Pengguna      :     Adi Ramli
Tarikh      :     2005-02-25 19:16:00

Salam sejahtera. Saya amat tertarik dengan kata2 penulis Salman mengenai budaya:

Budaya = Budi + Daya.

Saya bersetuju dengan maksud BUDI yang dibicarakan oleh penulis Salman - siasah terpuji. Pada pandangan saya, BUDI adalah perkara2 yang baik yang dilahirkan secara amnya, melalui praktikal. Ini kerana pada pandangan saya, segala perlakuan baik yang dapat diLIHAT itu adalah budi. Bak kata pepatah:

"Yang cantik itu budi, yang indah itu bahasa."

Sesuatu yang CANTIK biasanya yang dapat dilihat tetapi belum tentu dapat dirasa. Sesuatu yang INDAH pula adalah sesuatu yang dirasa oleh hati. Selalu kita dengar:

1) "CANTIKnya gadis itu.." dan jarang kita dengar "INDAHnya gadis itu.."

2) "Pengalaman malam pertama yang INDAH.." dan jarang kita dengar "Pengalaman malam pertama yang CANTIK.."

3) "Kata2 yang sangat INDAH" dan jarang sekali "Kata2 yang sangat CANTIK".

Secara amnya, sesuatu yang cantik itu hanya akan dapat dinilai oleh mata, tetapi susah untuk dinilai dengan hati. Antara tingkah laku terpuji yang sering kita lihat pada orang Melayu ialah tunduk ketika lalu di hadapan orang yg lebih tua, atau cium tangan (atau sekadar tunduk) ketika bersalam. Semua ini menunjukkan betapa lembut, baik, sopan dan cantiknya BUDI bangsa Melayu dalam menghormati orang.

Walau bagaimana pun, kecantikan itu hanya akan menjadi lebih terserlah dengan adanya keINDAHan. Sebagaimana seorang gadis yang CANTIK, KEINDAHAN hanya akan dapat di"rasa" jika kita berkahwin dengannya. Maka budi yang cantik itu akan menjadi lebih mempesona jika disusuli dengan BAHASA yang indah.

Bangsa Melayu mempunyai bahasa yang sangat indah, terutama sekali dalam menyampaikan mesej - dalam keadaan yang sangat berlapik. Sebagai contoh, orang yang sombong tidak terus dikata dengan perkataan SOMBONG, tetapi menggunakan simpulan bahasa HIDUNG TINGGI. Ditambah pula dengan pantun, syair, sajak, dan gurindam. Semua ini membuatkan hati yang mendengar setiap patah perkataan akan terpesona atau sebaliknya, terasa. Tetapi dalam keadaan tidak memalukan orang lain.

Maka apabila BUDI dan BAHASA ini digabung, maka terbentuklah SIASAH TERPUJI. Apabila kesemua ini diaplikasikan dan diserapkan dalam kehidupan seharian, maka itulah SENI. Sebagaimana kata2 kasar yang dilapik dengan simpulan bahasa atau pantun, maka begitulah juga aplikasinya dalam gerak silat yang berseni - pantas, kasar, tapi dalam keadaan sopan disertakan dengan faham. KeCANTIKan gerak silat itu pula apabila disertakan dengan keINDAHan kefahaman falsafahnya, maka terhasillah seorang individu yang penjadi PENGAMAL dan pencinta bangsa.

Apabila sudah dinilai, dan terbukti kemurnian dan keberhasilannya, maka haruslah dipertahankan. Maka di sinilah pentingnya DAYA yang bersungguh2 untuk mempertahankan sesuatu yang sangat bermakna, yang jarang dijumpai pada manusia di tempat lain. Untuk mempertahankan semua ini dalam keadaan tidak dilupakan, maka seharusnya diaplikasikan sekerap mungkin (istiqamah, berterusan) supaya semua kelompok dapat dididik dan disemai dengan hasil murni yang CANTIK dan INDAH ini. Usaha yang berterusan inilah yang akhirnya diterima masyarakat dan seterusnya menjadi tradisi, adab dan adat. Maka terhasillah BUDAYA.

Bersambung di lain hari...

Tajuk       :       Re:Silat Dijulang Budaya Terbilang
Pengguna      :     Saya
Tarikh      :     2005-02-25 14:30:32

Saudara SALMAN telah berjaya mengupas apa yang dimaksudkan dengan "Silat dijulang". Perkataan ini melambangkan seluruh warga SC akan sentiasa bekerjasama dan berusaha secara berterusan untuk mencapai dan mengekalkan kegemilangan dan kesejahteraan dari semua aspek. Di sini, SAYA pula ingin mengulas perkataan "Budaya Terbilang".

Terbilang ada kaitan dengan Gemilang. Perkataan ini sebagai kiasan bagi sesuatu yang sangat unggul. Dalam konteks SCH(SC), perkataan itu juga merujuk bahawa sesuatu yang dilakukan perlulah mempunyai kualiti yang tinggi dan melepasi matlamat atau tahap piawaian yang ditetapkan oleh pihak kepimpinan kita khasnya Guru Utama. Kegemilangan yang dicapai adalah kegemilangan yang mutlak (absolute) dalam segala aspek.

Dalam proses mencapai tahap Terbilang, kita akan sentiasa menuju ke destinasi tanpa terhalang atau terhenti serta tidak terputus-putus atau tertangguh-tangguh. Dalam erti kata lain, kegemilangan yang dicapai oleh SCH diharap akan berterusan sehingga mencapai matlamat menjadi silat yang TERBILANG tanpa sebarang gangguan. Setiap program yang dirancang semestinya mampu mencetuskan perubahan dan inovasi yang kreatif untuk mencipta kehebatan di samping mempertingkatkan kehebatan yang sedia ada. “Hebat” yang dimaksudkan adalah kehebatan yang mutlak dan dari segi perbandingan dalam segala aspek. Justeru SC perlu diletakkan sebagai Institusi Persilatan terbaik di negara ini, mengatasi silat-silat lain dan menjadi rujukan dalam dunia persilatan.

Perkataan "Terbilang" membawa erti terkenal atau terkemuka dan dimaklumi kerana sesuatu sifat yang istimewa. Sebagai Silat yang hebat, tidak cukup jika kegemilangan SC hanya diketahui di kawasan persekitarannya semata-mata. SC perlu menjadi Silat yang dikenali di seluruh negara dan di rantau Gugusan Kepulauan Melayu malah di seluruh dunia selain diperkatakan kehebatannya. Terbilang dalam konteks dunia persilatan juga membawa maksud meningkatkan keistimewaan SC yang menjadikan budaya yang berkualiti sebagai teras dalam segala program yang dirancang.

Budaya yang kita inginkan dalam SC sudah semestinya sesuatu yang berkualiti dan dapat membawa kita kepada suasana kesejahteraan. Dalam konteks SC, suasana dan persekitaran yang sejahtera adalah kunci keterbilangan kita dalam semua aspek. Suasana yang sejahtera akan membolehkan proses penurunan ilmu menjadi lebih berkesan. Untuk mencapai hasrat ini pada pengamatan saya SC sentiasa menggunakan pendekatan amalan-amalan murni dan jati diri pada penuntutnya. Perkara ini banyak dikupas oleh penulis-penulis kita dalam sidang sebelum ini.

Sekian daripada SAYA



Tajuk      :      Re: ULANGAN...
Pengguna      :     Popodom
Tarikh      :     2005-03-02 09:55:26

Pantun ini tulisan saudara arman yang telah dibenangkan menjelang 1 Muharram yang lalu. Saya siar semula untuk saudara Hati. Eloklah untuk Hari Tenaga Pengajar 1426H Sabtu ini. Sekian terima kasih.

Pengajar Berbudi:

Satu Muharram menjelma lagi
Tenaga Pengajar semua dirai
Kenali pengajar yang baik budi
Peluang untuk perbaiki diri

Pengajar Cekak beribu orang
Pelbagai jenis pelbagai ragam
Jika temui seorang bintang
Muatan penuh, kapal tak karam

Pengajar Cekak orang biasa
Tidak lari berbuat dosa
Tapis ilmu tapis budaya
Serapkan semua ilmu ke dada

Pengajar Cekak yang baik budi
Menjadi teman perbaiki diri
Pelajari ilmu bersihkan hati
Pasti tak cukup, carilah lagi

Pengajar Cekak tidak sempurna
Apakah niat, Allah yang tahu
Dapatkan ilmu dari mereka
Ada peluang dampingilah Guru

Silat Cekak nama di beri
Md Radzi Guru Utama
Antara ilmu, akal dan budi
Semuanya penting untuk kita

Ikhlaskan hati untuk mengajar
Baiki diri tambahi ilmu
Selamat Hari Tenaga Pengajar
Moga Ilahi naungi Guru.

armann: 20 Zulhijjah 1425H

No comments:

Free MP3s