Saya menulis
Mengulas tulisan saudara Salman, saya rasa aspek yang penting pada diri kita ialah Perubahan. Mereka yang ingin kembali ke pangkal jalan adalah merupakan fitrah semula jadi manusia.
Pada tahap asalnya manusia adalah berada dalam sifat seperti kanak-kanak. Mereka tidak tahu untuk berbohong, memaki-hamun, panas baran atau bersifat nagetif. Sifat mereka amat mulia.
Dalam masa menjalani segi kehidupan, sifat-sifat negatif mula menetap dan mungkin menjadi nilai diri. Mulalah wujud sifat suka menipu, menabur fitnah, melayani nafsu negatif dan berbagai sifat dan sikap yang berada di luar norma kehidupan sebenar sebagai manusia hakiki.
Akhirnya apabila wujud kesedaran, usaha untuk kembali semula ke sifat fitrah manusia yang asal seperti semasa zaman kanak-kanak, mula timbul. Kita ingin kembali memiliki sifat-sifat mulia. Tidak menipu, tidak dibuai dengan hawa nafsu dan pelbagai sifat negatif yang lain.
Bagaimana untuk berubah:
1. Kita perlu mengetahui titik pemulaan. Kalau kita sesat di hutan , perlu tahu di mana tempat kita sesat supaya mudah kembali ke pangkal jalan.
2. Keperluan memiliki ilmu. Seperti kata saudara Salman, "Guru ketika inilah memainkan peranan yang amat penting." Pertautan antara guru dan murid amat penting. Kadang kala peranan Jurulatih boleh diambil kira. *****a sejauh mana jurulatih atau tenaga pengajar dapat memainkan peranannya.
3. Seperti kata saudara Salman,.."harus berikrar untuk mentaati janji. Janji memelihara kebaikan agar sentiasa terpelihara dalam perjalanan hidup." Ini bermaksud kita perlu berazam dengan sesungguhnya untuk berubah dan mengekal serta menguatkan azam untuk perubahan.
Proses menentang diri sendiri yang dianggap kompleks dan sukar itu pada pandangan saya bermaksud juga usaha untuk kembali ke sifat asal kita. Perubahan ini akan berkekalan apabila kita berada dalam alam sekeliling yang membolehkan proses itu berlaku. Semestinya alam persilatan adalah sebagai salah satu altenatifnya.
Oleh itu , di samping ilmu silat yang ingin kita sampaikan, aspek perubahan sifat dan sikap para penuntut kita perlu diambil kita. Kepada jurulatih atau tenaga pengajar, timbalah ilmu dan pengalaman seberapa banyak. Sekurang-kurangnya kita berupaya menjagi agen perubahan di kalangan penuntut kita.
Sekian dan terima kasih.
Monday, February 12, 2007
Tanggungjawab
Banyak tulisan mengenai ini. Di sini saya tulis lagi untuk meneguhkan lagi tanggungjawab kita. Perkara yang baik biarlah diulang-ulang . Sekurang-kurangnya boleh dijadikan sumber rujukan atau pengetahuan.
Sebagai Tenaga Pengajar, kelas yang dipertanggungjawabkan kepada kita merupakan amanah. Mengurusnya perlu mempunyai komitmen yang tinggi. Kita perlu sering meminta nasihat dan pengetahuan bagi membolehkan kita membuat keputusan yang tepat dan rasional tentang perjalanan kelas. Dalam konteks ini, sentiasalah berusaha mengemaskini pengetahuan dalam bidang persilatan khususnya silat kita sendiri. Ini boleh dilakukan melalui pertukaran pendapat, mendengar ceramah atau melaui pembacaan. Perkara pentingnya ialah kita sendiri suka mengerakkan kelas silat. Janganlah kita merasakan "terhimpit" dengan peraturan-peraturan. Percayalah pada kebolehan diri sendiri.
Penuntut yang menuntut di bawah penyeliaan kita, perlu dilayan dengan sebaik mungkin. Kita perlu mengambil berat perhubungan dengan mereka. Tunjukkan sikap positif terhadap mereka. Dengan ini kita sentiasa ada minat terhadap perkembangan anak didik kita. Pertuturan dan pergerakan silat kita biarlah selari untuk dicontohi . Belajarlah supaya kita mempunyai kemahiran komunikasi yang baik, jelas dan mempunyai suara yang boleh mendatangkan semangat kepada kelas yang kita pimpin. Satu faktor lagi yang amat penting, jangan lupa "keadaan badan" kita. Kita perlu mempunyai bentuk tubuh yang baik. Oleh itu jagalah berat , stimina dan saiz badan. Saya selalu menyarankan agar aspek-aspek tersebut dijaga kerana faktor-faktor itu memberi kesan kepada pergerakan dan semangat kita dalam mengendalikan kelas.
Di samping itu jangan lupa "hak"penuntut kita dalam menuntut ilmu. Pastinya yang utama ialah hak mereka untuk mendapatkan pelajaran silat daripada kita. Amalan ini sememangnya menjadi amalan kita. Yang tertinggal buah, akan tetap kita ulang dan berikan buah. Fahamilah penuntut kita. Sebagai tenaga pengajar, kita perlu mempunyai minat terhadap kebolehan penuntut kita. Kekurangan pengetahuan mengenai seseorang penuntut akan menjejaslkan keberkesanan kita menurunkan buah kepada penuntut tersebut. Ketahuilah kelemahan dan kekuatannya. Di samping itu aspek keselamatan penuntut perlu juga diambil kita. Tetapi ini tidak bermakna kita akan mengubah teknik mengambil buah. Sesuaikan dengan kebolehan penuntut. Jika penuntut itu mempunyai daya tahan dan kebolehan yang tinggi, sampaikan buah dalam bentuk yang sesuai dengan kebolehannya. Kalau perlu "kenakan perasa" sebenar setiap buah dalam SC, silakan. Perkara penting, kita jangan bersifat emosional atau memberi layanan yang berat sebelah walaupun kita mempunyai "sifat berat sebelahnya" sendiri. Dalam satu-satu ketika, utamakan penuntut kita dalam proses penurunan ilmu.
Dalam konteks diri, kita perlu mempunyai sifat yang boleh bergurau dan sentiasa berminat dan bersemangat serta menetapkan mutu yang tinggi pada pencapaian penuntut kita. Ini akan mewujudkan kemesraan dalam kelas. Sekurang-kurangnya akan membantu kesetiaaan mereka belajar hingga tamat. Aspek sabar , bertolak ansur dan yakin pada diri sendiri merupakan amalan yang sebati dengan diri kita. Seorang tenaga pengajar yang baik itu, pengaruhnya adalah abadi. Oleh itu milikilah dan berusahalah mendapatkan sifat sebagai seorang yang bijak, mahir, jujur dan bertimbang rasa kerana merekalah yang utama untuk mendapatkan pelajaran daripada kita. 'Tiada mereka, tiadalah kita'
Jatidiri Ahli Silat Cekak Hanafi
Ada di kalangan ahli-ahli Silat Cekak Hanafi khususnya yang baru tamat belajar Silat Cekak Hanafi dikatakan "cakap besar", "sombong" dan "angkuh". Pesepsi atau tanggapan ini berlaku kerana mungkin ahli-ahli kita ini masih baru dan bersemangat.
Perkara ini sebenarnya adalah satu perkara yang dijangkakan kerana tahap kefahaman mereka pada tahap ini masih belum sampai ke tahap penghayatan. Sememangnya perbezaan yang sangat ketara antara Silat Cekak Hanafi dan seni beladiri yang lain akan mengundang salah faham kepada mereka yang sukar atau tidak mahu menerima apa yang diutarakan oleh Silat Cekak Hanafi.
Kita harus mengingatkan diri kita bahawa perbezaan itu sendiri ada hikmahnya. Ia juga menunjukkan betapa luasnya alam seni beladiri di bumi Malaysia ini.
Kita tidak mengharapkan orang lain memahami kita dan sekiranya orang lain ingin pendapat mereka dihormati, mereka juga harus mempunyai fikiran yang terbuka untuk menerima pendapat kita.
Kita ingin mengingatkan kepada ahli-ahli Silat Cekak Hanafi supaya menjaga disiplin dan sentiasa mempamerkan jatidiri Silat Cekak Hanafi yang sebenar.
Kita ingatkan mereka akan niat mereka mempelajari Silat Cekak Hanafi. Kita ingatkan mereka mengenai hikmah pantang larang Silat Cekak Hanafi dan kita juga ingatkan mereka supaya berlatih bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kemahiran demi kepentingan diri mereka sendiri.
Silat Cekak Hanafi memerlukan ahli yang bersemangat waja, bijaksanan dan berani tampil ke hadapan untuk mempertahankan ugama, bangsa dan negara.
Subscribe to:
Posts (Atom)