Blogger Template by Blogcrowds

 
   

Thursday, May 20, 2010

Pantang Larang Silat Cekak Hanafi

1. Tidak boleh derhaka kepada guru
2. Tidak boleh derhaka kepada ibu
3. Tidak boleh derhaka kepada bapa
4. Tidak boleh bergaduh sesama ahli
5. Tidak boleh mencaci silat-silat Melayu asli yang lain

Apa sebenarnya kandungan pantang larang ini?


Tidak boleh derhaka kepada guru

Guru kat sini bukan saja membawa maksud Guru Utama Silat Cekak Hanafi tapi semua guru, iaitu orang yang mengajar kita sesuatu yang kita tak tahu sebelum ini dan kandungan pelajaran dia membawa kebaikan dalam hidup.

Contoh, cikgu sekolah yg ajar kita abc.. kalau tak kerana dia yang kenalkan kita dengan abc tak ke mana pun kita dalam dunia sekarang ni.. so kena hormat dan kenang jasa guru..setiap orang, walaupun budak kecik, dan kadang2 alam sekitar kita pun, yg bawak pengajaran kepada kita, patut kita hormat.

Dan sepatutnya kita takleh pandang rendah kat sesapa pun sebab kita mana tahu apa yang dia tahu. Entah2 lebih banyak yg dia lebih tahu daripada kita dalam mana2 perkara. Inilah pengajaran yg Ustaz Hanafi nak terapkan dalam pantang larang ni..

Dan yang paling penting, kalau kita belajar daripada guru, ada berkat dia.. berkat adalah benda yang tidak nampak tapi mempunyai makna yang sangat besar dalam sesuatu penggunaan ilmu. Berkat terbit dari bahasa arab “barakah” yg bermakna “cukup”.

Ilmu akan jadi cukup dan complete bila ada guru di hadapan. Sebab tu sangat berbeza bila kita belajar sesuatu daripada buku sahaja dengan kita belajar, kemudian rujuk kepada guru yang mursyid. Mursyid bermaksud “penunjuk jalan” dan benar lagi menerangkan..

Manusia dibezakan tinggi rendah taraf kredibilitinya berdasarkan ilmu yang dia ada…dan ilmu pulak kena amal..kalau banyak ilmu tapi tak amal nanti jadi mudarat kepada diri sendiri ibarat mengutip buah buahan ke dalam bakul yang digalas, makin banyak dipetik tapi tak dimakan, makin berat bakul yg digalas, buah yang segar akan jadi busuk begitu juga ilmu bila tidak diamal akan hilang begitu sahaja sebab sifat ilmu perlu diamal sebelum lupa..

Dalam konteks Silat Cekak pula, kita jangan sampai guna balik ilmu yg kita pelajari daripada guru untuk digunakan terhadap guru tersebut.. bila ini berlaku, derhaka lah kita terhadap guru tersebut..bila derhaka keberkatan hilang dan hilang kesukaan orang kepada kita..

…bersambung..

Wednesday, May 19, 2010

Iman Semut

Assalammualaikum w.b.t..


Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu; lantas Nabi Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus.

Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut: " Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu".

Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku".

Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya: " Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"

Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan".

Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong".

Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas; kemudian Nabi ambil gandum sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi tinggal semut didalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan.

Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut: "Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah".

Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa".

Itulah Iman Semut!!

IMAN MANUSIA??

Di zaman Imam Suffian, ada seorang hamba Allah yang kerjanya mengorek kubur orang mati. Kerja korek kubur orang mati bukan kerja orang ganjil. Bila ada orang mati, mayat terpaksa ditanam, oleh itu kubur perlu digali dulu. Tetapi yang ganjil mengenai hamba Allah ini ialah dia tidak gali kubur untuk tanam mayat.

Sebaliknya apabila orang mati sudah ditanam, waris sudah lama balik kerumah dan Munkar Nakir sudah menyoal, barulah penggali ini datang ke kubur untuk korek balik.

Dia nak tengok macam mana rupa mayat setelah di INTERVIEW oleh Munkar Nakir. Dia korek 1 kubur, 2 kubur, 3 kubur, 10 kubur, 50 kubur sampai 100 kubur. Lepas itu, penggali pergi kepada Imam Suffian dan bertanya kepadanya: "Ya Imam, kenapakah daripada 100kubur orang Islam yang aku gali, dua sahaja yang mana mayat di dalamnya masih berhadap kiblat. Yang 98 lagi sudah beralih ke belakang?".

Jawab Imam Suffian:" Diakhir zaman hanya 2 dari 100 umat Islam yang percaya rezeki itu di tangan Allah. 98 orang lagi tidak percaya bahawa rezeki di tangan Tuhan".

Itulah sebabnya apabila umat Islam tertekan dengan SOGOKAN duit yang banyak, biasanya, iman dia akan beralih. Nyatalah iman semut lebih kuat dari iman manusia.

Kata Saidina Ali kepada Kamil: "


" Wahai Tuhanku, aku tak layak ke SyurgaMu, namun tak pula aku sanggup ke nerakaMu, ampunkan dosaku, terimalah taubatku, sesungguhnya Engkaulah Pengampun dosa² ku. Amin Ya Rabbal'alamin "

Kata ustaz : "kita ini semuanya sama,tiada beza muda ataupun tua,jangan menyombong atau takbur sesama manusia,sekalipun kita berpangkat atau berilmu-kerana di sisi ALLAH SWT kita semuanya sama - cuma yang membezakan kita hanyalah AMAL dan TAQWA"

Mengapa perlu mencari kesempurnaan jika diri juga tidak sempurna, Mengapa perlu mencari kejujuran jika diri juga tidak pernah jujur.  Kita tidak perlu mencari seseorang insan yang sempurna untuk menjadi TEMAN, Cukuplah mempunyai seorang TEMAN yang menjadikan kita sempurna bila bersamanya.

Thursday, January 07, 2010

Ketenangan hati



Ketenangan hati ialah satu perkara yang sangat penting. Tidak mungkin ada seorang manusia walau apa pun latar belakang agama, budaya dan pemikiran yang tidak bersetuju bahawa ketenangan hati dan ketenteraman jiwa ialah satu perkara paling penting bagi seseorang manusia. Mungkin mereka berbeza dari segi cara untuk mencapai ketenangan hati, ketenteraman jiwa dan keheningan rohani, tetapi mereka tetap bersetuju bahawa perkara ini adalah satu perkara yang maha kritikal bagi setiap insan.

Keutuhan atau kemantapan emosi berkait rapat dengan keheningan spiritual dan kemantapan minda. Seseorang yang pemikirannya meyakini bahawa dirinya adalah berasal daripada suatu ketidaksengajaan biologi berevolusi daripada monyet kepada manusia, tentunya tidak sama dalam menghadapi kejadian hidup ini dengan seorang yang berkeyakinan bahawa insan adalah ciptaan Tuhan yang paling baik, dan di sana Tuhan tetap berperanan di dalam setiap gerak hukum apa yang berlaku di bumi mahupun di langit. Dan Tuhan bukan sahaja berurusan dengan manusia, tetapi setiap atom dan molekul yang ada di atas muka bumi ini, antara langit dan bumi ini serta apa yang ada di atas langit yang tujuh ini; semuanya adalah milik mutlak Tuhan Yang Maha Esa dan berfungsi berdasarkan ketetapan ilmu-Nya dan izin-Nya.

Dan seorang yang menjalani hidup dengan hanya melihat bahawa Tuhan ialah Tuhan dan aku ialah aku; sama sekali tidak sama dengan seseorang yang hidup di atas muka bumi ini dengan mengenal Tuhan ialah satu-satunya Tuhan, dan aku ialah hamba ciptaan-Nya; menyelami hakikat rasa hina seorang hamba dijalin dengan rasa mulia menjadi hamba kepada Tuhan Yang Maha Esa lagi Maha Agung. Seseorang yang menyedari bahawa sentiasa ada di sana satu Kudrat Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang serta Yang Sentiasa Berkata, Wahai hamba-Ku, mintalah kepada-Ku, akan Ku penuhi segala permintaan kamu! tentulah tidak sama dengan seseorang yang hanya melihat hidup ini hanyalah antara aku dan kemampuanku!

Seorang anak kecil akan merasa selamat dan tenang apabila berada di sisi ibu dan bapanya. Bukan sekali kita melihat senario seorang kanak-kanak yang menangis kerana terpisah daripada ibu dan bapanya semasa membeli belah di pasaraya. Kenapa? Adakah kerana fizikalnya tercedera? Tentu tidak, tetapi `ketenteraman' dan `ketenangan hatinyalah' yang tercedera.

Dan kita dapat lihat bagaimana seorang anak kecil yang menangis kerana lututnya berdarah lantaran jatuh; berhenti menangis hanya kerana si ibu berkata, ``Dah, jangan menangis sikit je tu! Nanti ibu sapukan ubat!'' Adakah dengan berkata demikian, sakit luka yang dirasainya sudah hilang? Tidak! Sakit luka di lututnya masih terasa, tetapi tangisannya terhenti kerana rasa `sakit' pada jiwa dan emosinya telah pun diubati dan telah hilang diganti dengan rasa tenteram, kerana anak itu yakin, ibunya memahami `penderitaannya' dan ibunya `mampu' mengubati luka di lututnya dengan ubat yang akan disapu nanti. Ini menunjukkan, ketenteraman hati dan ketenangan hidup adalah satu kuasa maha ajaib yang sangat diperlukan dalam hidup seorang manusia. Dan adalah satu hukum serta prinsip alam, seseorang itu akan merasa aman dan tenang apabila mengetahui dan merasa bahawa di sana adanya satu `kuasa' yang mampu mengatasi segala kebimbangan dan rasa terancam yang ada.

Seorang yang genius sekalipun, tanpa kemantapan dan kecemerlangan emosi pasti tidak dapat menggunakan kegeniusan dan ketinggian IQ-nya dengan betul jika jiwanya sentiasa bercelaru dan dan tidak mantap. Kecemerlangan dan kemantapan jiwa inilah yang disebut sebagai EQ. Tetapi seseorang yang mantap EQ-nya, walaupun dia hanya seorang yang buta huruf dan bekerja di sawah bendang, tetapi dengan ketenangan jiwa yang dimilikinya, ia dapat menghadapi
hidup dan segala masalah hidup ini dengan penuh ketenangan dan ketertiban.

Malahan, seringkali terlontar daripada patah bicaranya, perkataan-perkataan yang bersifat `teraputik' yang mampu menyegarkan kerengsaan jiwa dan kegersangan emosi.

Kekuatan rohaniah (SQ) akan menjadi penjana EQ yang kental, dan EQ yang ada akan menyempurnakan IQ seseorang walau pada tahap manapun IQ-nya berada.

Bukan semua orang dapat menjadi pandai tetapi semua orang boleh menjadi bijaksana. Allah, Tuhan yang telah menciptakan manusia malah seluruh alam ini telah menyatakan sebagai satu prinsip, Bukankah dengan berzikir kepada Allah itu, hati akan menjadi tenang? (Ar-Ra'd: 28). Berzikir di sini membawa maksud yang luas, iaitu kita dapat menyebut dan mengingat Allah, merasakan kehadiran-Nya dan merasa keagungan-Nya di dalam setiap masa dan keadaan.
Mana mungkin seseorang yang melihat Tuhan itu - dengan segala kebesaran dan kekuasaan-Nya - berada begitu hampir dengan dirinya, masih boleh merasa tidak tenteram dan aman?

Mereka yang benar-benar membina kekuatan dan `nur' kerohanian yang jernih, pasti akan mampu merasa ketenangan hidup dan kekentalan serta keharmonian emosi. Tuhan berfirman, Dialah yang menurunkan `sakinah' ke dalam hati orang-orang yang beriman! (Al-Fath: 4). Erti `sakinah' ialah ketenangan yang tetap.

Jika demikian, sudah tentu di dalam apa yang diperintah-Nya itu, ada alat-alat untuk membolehkan kita membawa dan membina ketenangan hati ini, seperti amalan zikrullah, solat, tafakkur, amalan doa, wuduk dan lain-lain lagi. Semoga hati kita tidak `buta' daripada melihat dan merasai kebesaran Allah, Tuhan seru sekalian alam ini. Sesungguhnya Dia-lah Allah, Zat Tunggal Maha Pencipta!

Free MP3s