Blogger Template by Blogcrowds

 
   

Thursday, July 21, 2005

Tanggungjawab dan Perkongsian Pengetahuan

Saya :

Tanggungjawab

Banyak tulisan mengenai ini. Di sini saya tulis lagi
untuk meneguhkan lagi tanggungjawab kita. Perkara yang
baik biarlah diulang-ulang . Sekurang-kurangnya boleh
dijadikan sumber rujukan atau pengetahuan.

Sebagai Tenaga Pengajar, kelas yang
dipertanggungjawabkan kepada kita merupakan amanah.
Mengurusnya perlu mempunyai komitmen yang tinggi. Kita
perlu sering meminta nasihat dan pengetahuan bagi
membolehkan kita membuat keputusan yang tepat dan
rasional tentang perjalanan kelas. Dalam konteks ini,
sentiasalah berusaha mengemaskini pengetahuan dalam
bidang persilatan khususnya silat kita sendiri. Ini
boleh dilakukan melalui pertukaran pendapat, mendengar
ceramah atau melaui pembacaan. Perkara pentingnya ialah
kita sendiri suka mengerakkan kelas silat. Janganlah
kita merasakan "terhimpit" dengan peraturan-peraturan.
Percayalah pada kebolehan diri sendiri.

Penuntut yang menuntut di bawah penyeliaan kita, perlu
dilayan dengan sebaik mungkin. Kita perlu mengambil
berat perhubungan dengan mereka. Tunjukkan sikap positif
terhadap mereka. Dengan ini kita sentiasa ada minat
terhadap perkembangan anak didik kita. Pertuturan dan
pergerakan silat kita biarlah selari untuk dicontohi .
Belajarlah supaya kita mempunyai kemahiran komunikasi
yang baik, jelas dan mempunyai suara yang boleh
mendatangkan semangat kepada kelas yang kita pimpin.
Satu faktor lagi yang amat penting, jangan lupa "keadaan
badan" kita. Kita perlu mempunyai bentuk tubuh yang
baik. Oleh itu jagalah berat , stimina dan saiz badan.
Saya selalu menyarankan agar aspek-aspek tersebut dijaga
kerana faktor-faktor itu memberi kesan kepada
pergerakan dan semangat kita dalam mengendalikan kelas.

Di samping itu jangan lupa "hak"penuntut kita dalam
menuntut ilmu. Pastinya yang utama ialah hak mereka
untuk mendapatkan pelajaran silat daripada kita. Amalan
ini sememangnya menjadi amalan kita. Yang tertinggal
buah, akan tetap kita ulang dan berikan buah. Fahamilah
penuntut kita. Sebagai tenaga pengajar, kita perlu
mempunyai minat terhadap kebolehan penuntut kita.
Kekurangan pengetahuan mengenai seseorang penuntut akan
menjejaslkan keberkesanan kita menurunkan buah kepada
penuntut tersebut. Ketahuilah kelemahan dan kekuatannya.
Di samping itu aspek keselamatan penuntut perlu juga
diambil kita. Tetapi ini tidak bermakna kita akan
mengubah teknik mengambil buah. Sesuaikan dengan
kebolehan penuntut. Jika penuntut itu mempunyai daya
tahan dan kebolehan yang tinggi, sampaikan buah dalam
bentuk yang sesuai dengan kebolehannya. Kalau perlu
"kenakan perasa" sebenar setiap buah dalam SC, silakan.
Perkara penting, kita jangan bersifat emosional atau
memberi layanan yang berat sebelah walaupun kita
mempunyai "sifat berat sebelahnya" sendiri. Dalam
satu-satu ketika, utamakan penuntut kita dalam proses
penurunan ilmu.

Dalam konteks diri, kita perlu mempunyai sifat yang
boleh bergurau dan sentiasa berminat dan bersemangat
serta menetapkan mutu yang tinggi pada pencapaian
penuntut kita. Ini akan mewujudkan kemesraan dalam
kelas. Sekurang-kurangnya akan membantu kesetiaaan
mereka belajar hingga tamat. Aspek sabar , bertolak
ansur dan yakin pada diri sendiri merupakan amalan yang
sebati dengan diri kita. Seorang tenaga pengajar yang
baik itu, pengaruhnya adalah abadi. Oleh itu milikilah
dan berusahalah mendapatkan sifat sebagai seorang yang
bijak, mahir, jujur dan bertimbang rasa kerana merekalah
yang utama untuk mendapatkan pelajaran daripada kita.
'Tiada mereka, tiadalah kita'

Ana:

Tenaga Pengajar yg ditauliahkan memegang amanah dan
tanggungjawab menurunkan ilmu persilatan kepada
penuntut2. Hakikatnya ilmu tenaga pengajar dr konteks
persilatan hendaklah sentiasa melebihi penuntut. Barulah
logic konsep mengajar kepada yang diajar. Konsep
penurunan ilmu kepada penuntut seharusnya konsisten agar
penuntut menjana pemahaman yg berterusan. Ini adalah
hak penuntut dalam mendapatkan pelajaran.

Tahap kritikal yg harus diambil berat dlm konteks
penurunan ilmu adalah sewaktu kemahiran. Di ketika ini
penuntut perlu dilayan kerenah mrk terutama dr segi
persilatan agar kesinambungan dan perkembangan
berterusan. Keupayaan TP mengupas dan mendalami
pergerakan persilatan menjadi titik tolak keberkesanan
membentuk dan mendidik penuntut tersebut. Ia juga
menjadi ujian kpd TP menentukan tahap kedudukan ilmu
diri ketika itu. Singkat ilmunya maka hambarlah kelas
tersebut. Hebat kupasan dan latihannya luar biasalah
hasil perkembangan penuntut.

Menjana ilmu utk penurunan ilmu perlu usaha yg
konsisten. Jarang TP mendapat Total Package penambahan
ilmu kemahiran. Kebiasaannya ia melalui perbualan2 dan
tokok tambah ilmu umpama kain2 perca yg dicantum
bersama. Lagi banyak kain perca lagi besar kainnya.
Pencorakan pemahaman banyak bergantung kpd TP itu
sendiri. Baik tahap tangkapan dan pemahamannya eloklah
hasilnya. Bantut pemikirannya maka banyak cerita2
tambahan yg direka2.

Mendapatkan Total Package memerlukan usaha kembali pada
asal. Yakni TP perlu dikedudukan belajar atau menuntut.
Pernah dinyatakan oleh penulis Salman bahawa TP harus
sentiasa dikedudukan belajar dan mengajar. Barulah
penjanaan ilmu berterusan dan konsisten. Konteks ini
sukar diimplimentasi terutama bila TP merasakan ilmunya
setanding ilmu TP yg lain. Perantaraan penambahan ilmu
biasanya menunggu org2 senior bercerita akan teknik2
lain yg blh digunakan. Penyampaian begini tidak seragam
dan tidak bersistematik utk diolahkan kembali kpd TP yg
lain.

Maka menyentuh bab tanggungjawab yg dikongsi oleh
Penulis Saya, TP perlu hadirkan kesedarannya utk
berusaha agar diri diperlengkapakan dgn penambahan ilmu
persilatan secara konsisten. TP juga satu ketika akan
menjadi senior dan menjadi harapan rujukan pada TP yg
baru. Secara totalnya, TP yg ada btanggungjawab juga
membentuk generasi TP yg baru. Jgnlah kita corakkan ilmu
mrk spt cantuman kain perca. Buruk rupanya.

Salam bahagia dari saya, Ana.

Salman:

Tajuk Perkongsian Pengetahuan yang dibentangkan oleh
penulis SAYA serta diperkuatkan dengan tambahan pendapat
dari Ana, adalah merupakan kesinambungan dari cetusan
rasa yang inginkan perkembangan ilmu dalam dunia SC
berjalan tanpa noktah. Saya bersetuju dengan kenyataan
SAYA bahawa perkara yang baik biarlah diulang-ulang.
Kesan dari pengulangan yang kerap mampu untuk membentuk
perubahan baik pada kefahaman mahupun dari segi sikap
dan perbuatan.

Dalam kontek perbincangan ini, Tenaga Pengajar (TP)
adalah merupakan pintu utama kepada pengenalan penuntut
kepada dunia SC. Seumpama kain putih, penuntut
membentangkan keseluruhan jiwa dan dirinya dihadapan
keikhlasan Guru untuk dicorak dengan segala warna ilmu,
haruman tingkah laku dan kekuatan peribadi. Cuma
seperti yang sedia maklum, masa tidak melimpah hingga
membolehkan Guru berada di sisi penuntut sepanjang hari.
Lantaran itu, telah diamanahkan tanggungjawab mengajar,
mendidik dan membentuk keperibadian penuntut kepada TP.
Mereka lebih hampir dan amat maklum dengan suasana dan
persekitaran pembelajaran. Cuma yang dipersoalkan oleh
ahli ialah bagaimana harus TP menghadapi tanggungjawab
ini andai kurang isi pada diri. Saya tidak berhasrat
untuk menyentuh sesiapa kerana seperti semua, saya masih
berada dalam zon belajar dan cuba-cuba mengajar.

SAYA melalui penulisannya menegaskan bahawa pengetahuan
perlu ditambah. Janganlah kita terus menjadikan alasan
"membaca buku seumpama berguru dengan Syaitan" sehingga
kita takut dan terus meninggalkan minat untuk membaca.
Selalu juga di Sidang ini ahli menyarankan kita
bertukar-tukar pendapat. Sedangkan pertukaran pendapat
adalah merupakan salah satu cara percambahan ilmu.
Setiap ilmu yang baik tidak salah untuk dimanfaatkan.
Bukankah ianya bermula setelah kita membaca pendapat
tersebut? Maklumat (information) adalah kuasa (power).
Dalam dunia yang serba pantas dan terbuka, persaingan
hebat akan diungguli oleh mereka yang bermaklumat dan
tahu bagaimana harus maklumat tersebut boleh
dimanfaatkan. Soal sama ada maklumat tersebut digunakan
kearah kebaikan atau keburukan tidak penting. Yang
pasti maklumat tersebut perlu diperolehi. Begitulah
halnya dengan TP. TP perlukan maklumat (pengetahuan)
agar kemampuan diri sentiasa melebihi penuntut. Benar
ilmu yang disampaikan tidak merugikan penyampai. Tetapi
sampai kapan penyampai akan berterusan menyampaikan
perkara yang sama kepada pendengar?

Pertambahan ilmu bukan sekadar dari buku. Ilmu boleh
berputik dari pertanyaan, pengalaman, pemerhatian dan
pergaulan seharian. Maka TP seharusnya menggunakan
sepenuhnya pendekatan ini untuk mengorek segala ilmu
Guru dan pengalaman dari mereka yang tahu. Seterusnya
jangan terus dicurah semula setiap yang diterima.
Sebaiknya pertimbanglah dahulu logik dan kebenaran
informasi itu agar hak diri dijaga. Jangan lupa. Diri
kita ada hak untuk menolak atau menerima maklumat
tersebut. Andai diri masih meragui logik atau kebenaran
maklumat maka adalah lebih baik dikala ini, kembali
kepada penjelasan dari penyampai asal maklumat.
Bertanyalah. Bahkan sebaiknya berdialoglah secara
hikmah. Letakkan diri pada kedudukan yang tidak tahu
agar mereka yang tahu akan menyalurkan segala yang dia
tahu secara baik dan berhemah. Percayalah. Tidak akan
rugi masa yang dihabiskan. Tidak aka sia-sia pertemuan
yang diaturkan.

Sejumlah besar pelajar SCH terdiri daripada pelajar dan
mereka yang terpelajar. Maaf. Jangan sesekali TP cuba
menghina minda mereka dengan rekaan cerita yang langsung
tidak membangkitkan minat untuk mereka menghargai masa
yang diluangkan bagi mendengar cerita yang
menelanjangkan kedangkalan kita. Saya percaya ini tidak
berlaku. Sistem pendidikan negara yang berteraskan
pembentukan kefahaman yang baik pada diri pelajar, akan
menghasilkan masyarakat yang kritis dan peka.
Sehubungan itu, TP harus berwaspada dengan sifat
kepekaan ini. Janganlah satu hari nanti, akibat dari
kekurangan kita menambahkan ilmu, ada pelajar SCH yang
menulis di sini memohon Guru Utama memecat si Anu bin Si
Anu kerana tahap pengetahuannya baik dari sudut
persilatan mahupun kehidupan seharian, jauh lebih rendah
dari yang bertanya.

Silat Cekak sangatlah mudah. Bagi mereka yang mendapat
Hidayah. Para ahli SCH yang budiman, Hidayah tidak hadir
secara tiba-tiba. Hidayah pula bukanlah milik semua.
Hidayah adalah untuk mereka yang terpilih. Maka
bersungguhlah untuk memastikan diri kita terpilih untuk
diberikan Hidayah. Kita bukanlah Ahlullah yang
dijanjikan kehebatan Laduni. Hidayah hadir bersama
ikhtiar berterusan disamping pengharapan yang tinggi
terhadap Yang Maha Segalanya. Mungkin Hidayah telah
terbentang dihadapan mata. Cuma lantaran kekotoran jiwa,
Hidayah yang amat bercahaya dilihat kelam umpama
melihatnya si buta. Hidayah perlukan lapangan yang
bersih untuk bertapak. Bersamalah kita memohon kemaafan
dan keampunan. Insyaalah apa yang dihajatkan akan
dipenuhi demi kebaikan yang berkekalan.

No comments:

Free MP3s