KALAMULLAH
DAN bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan bagi
seseorang melainkan (balasan) apa yang
diusahakannya. Dan bahawa sesungguhnya usahanya
itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada Hari
Kiamat kelak. (An-Najm : 39-40)
Huraian
Waktu dan usia adalah perakam abadi yang akan
menyimpan segala pengalaman hidup seseorang.
Waktu adalah modal bagi manusia.
Begitu pentingnya waktu hingga ada yang mengatakan:
"Jika kamu ingin tahu manusia yang paling bodoh,
lihatlah orang yang diberi modal dan modalnya
dihabiskan dengan sia-sia."
Dengan demikian, sesungguhnya suatu kerugian yang
sangat besar apabila seseorang hamba itu tidak
dapat memanfaatkan usianya dengan sebaiknya.
Di dalam surah al-Asr ayat 1 hingga 3 Allah s.w.t.
berfirman yang maksudnya: "Demi masa, sesungguhnya
manusia itu benar-benar berada dalam kerugian,
kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan
amal soleh dan saling menasihati dalam perkara
kebenaran dan nasihat-menasihati dalam kesabaran."
Dalam kerangka itulah Allah s.w.t. meletakkan waktu
sebagai nilai yang menentukan timbangan kerugian dan
keuntungan manusia dalam hidupnya semasa di dunia
kerana setiap amalan yang dilakukan akan dinilai
oleh Allah s.w.t. dan amalan itu akan diperlihatkan
kepada pelakunya pada hari akhirat kelak.
Di sana nanti, seseorang itu tidak dapat menanggung
dosa orang lain, sama ada untuk meringankan beban
dosa orang lain atau untuk membebankan orang lain
dengan dosa-dosanya.
Tiada sesiapapun yang boleh meringankan bebanan
dosanya, dan tiada sesiapa pun yang boleh secara
sukarela memikul dosa orang lain kerana seseorang
itu tidak dihisab dan dibalas melainkan mengikut
amalan dan perbuatan yang dilakukannya sahaja.
Dia tidak boleh ditambah dengan amalan orang lain
dan tidak boleh dikurangkan amalannya untuk orang
lain.
Oleh itu masa hidup di dunia ini merupakan
satu-satunya peluang yang diberikan kepadanya untuk
beramal dan berusaha mengikut ajaran dan acuan Islam.
Apabila meninggal kelak, maka hilanglah peluang itu
dan putuslah amalannya kecuali amalan-amalan berbentuk
jariah yang sentiasa mengalir pahalanya, seperti doa
daripada anak yang soleh, sedekah yang berkekalan
selepasnya, dan ilmunya yang dimanfaatkan oleh orang lain.
Ketahuilah, segala amalan dan usaha tidak akan hilang
sia-sia walau sedikitpun dan tidak akan luput daripada
pengetahuan Allah s.w.t. serta tidak akan lepas daripada
neraca timbangannya.
Setiap orang akan menerima balasan dengan sempurna tanpa
kurang sedikitpun dan tidak dianiaya sedikitpun.
Kesimpulan
Penekanan tentang dasar tanggungjawab mereka terhadap
amalan dan perbuatan di samping dasar keadilan balasan
di akhirat kelak.
Dengan demikian benarlah nilai insaniah seseorang manusia
yang ditegakkan di atas konsep memandang manusia sebagai
suatu makhluk yang berakal, yang bertanggungjawab dan yang
memegang amanah terhadap keselamatan diri sendiri.
Ia diberi peluang untuk beramal dan akan dibalas mengikut
amalannya. Dan dengan demikian juga seseorang itu akan
merasa aman dan tenteram terhadap keadilan balasan, iaitu
satu keadilan mutlak yang tidak terjejas kerana hawa nafsu
dan tidak tercacat kerana pengetahuan yang terbatas dan
taubat kerana kejahilan terhadap perkara-perkara yang sebenar.
- Dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
Wednesday, September 07, 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment