Blogger Template by Blogcrowds

 
   

Thursday, September 01, 2005

Peristiwa Israk Mikraj

1. Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada /
perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan
Mika'il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air
zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu
tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian
dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada
Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit
dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah".
Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama
Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam
perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram
ke
Masjidil-Aqsa):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A.
W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan
Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu
(tempat-tempat yang mulia dan bersejarah),
Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya
berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat.
Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana
Rasulullah akan melakukan hijrah. ii. Bukit
Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima
wahyu daripada Allah; iii. Baitul-Laham (tempat
Nabi 'Isa A. S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A.
W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api
jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa
simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

§ Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai
hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah)
yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi
dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah
S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum
yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan
pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan
sehingga gandaan yang lebih banyak.

§ Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W.
diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur
Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama
suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang
dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang
dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman
kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai
Tuhan).

§ Sekumpulan orang yang sedang memecahkan
kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala
mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula.
Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail
memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang
berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

§ Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan
mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain.
Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka
makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata
Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak
mengeluarkan zakat harta mereka.

§ Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan
daging mentah yang busuk sedangkan daging masak
ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki
dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki
dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri
/ suami.

§ Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan
dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang
makan riba`.
§ Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia
tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu
yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat
menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah
yang lain.

§ Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan
bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali.
Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka
kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang
yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang
dia sendiri tidak melakukannya.

§ Kaum yang mencakar muka dan dada mereka
dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah
orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan
menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

§ Seekor lembu jantan yang besar keluar dari
lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula
lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang
bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi
sudah terlambat.

§ Seorang perempuan dengan dulang yang penuh
dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak
memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika
Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya
umat Islam akan mengutamakan dunia daripada
akhirat.

§ Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan
dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A.
W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah
orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

§ Seorang perempuan bongkok tiga menahan
Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata
Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat
tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari
Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan
mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala
anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa
Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu.
Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata
Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika
arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan
menjadi sesat.

3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus
Menemui
Allah):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari
syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke
atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit
dunia (pintu Hafzhah).

. Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail
masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan
Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang
yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat
orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka
sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung
pada susu penzina perempuan.

i. Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik
tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu
dengan Nabi 'Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.

ii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu
dengan Nabi Yusuf A. S. iii. Langit Keempat: Naik
tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris
A. S.
iv. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima.
Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi
oleh kaumnya Bani Israil.

v. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam.
Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi
Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh
oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda
sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang
masuk syurga tanpa hisab.

vi. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan
masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi
Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di
Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya.
Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S.
bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada
malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu
dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah
umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA
QUWWATA ILLA BILLAH". Mengikut riwayat lain, Nabi
Irahim A. S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada
umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik
tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima
kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA
lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA
WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM.
Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan
ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah
melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib.
Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam
Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini
betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

vii. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi"
yang berbetulan dengan dahan pokok
Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan
pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air
yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan
sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan
dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi
permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas
berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh
manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat
menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus
masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke
syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik
penunggunya.

viii. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan
pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W.
masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan
Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki
yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di
dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya
tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu
bapanya.

ix. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di
Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu
dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata
kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah
dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S. W. T : Ya Muhammad. Rasulullah :
Labbaika. Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan
bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya,
Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil
dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau
berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud
kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi.
Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang
tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan
memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia,
syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan
Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan
orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang
mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada
syaitan. Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai
kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai
berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka
dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu
sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan
keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku
kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak
aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku
berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah
sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku
berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah,
sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku
kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam
dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan
aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh
(waktu) sembahyang.

4. Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. di bawa
menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A.
S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S. A. W.
merayu kepada Allah S. W. T agar diberi
keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang
itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali
dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan
memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam
dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu
juga.

5. Selepas Mikraj

Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula.
Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu
menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada
malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda
bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya
menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj
yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat
peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab,
kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).
Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id) Kesimpulannya,
peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar
sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali
setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih
penting untuk kita menghayati pengajaran di
sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara
yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik.
Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan
pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran
seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar
sentiasa mengingati Allah dan takut kepada
kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini
dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan
manusia mampu mengelakkan dirinya daripada
melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk
dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam
(apakah percaya atau tidak dengan peristiwa
tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi
Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak
mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi
sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan
mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan
Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala
telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan
kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi
Wasallam.

Mafhum Firman Allah S. W. T. : "Maha Suci Allah
yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu
malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa
yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami
perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda
kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha
Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1).


wallahua'lam..

No comments:

Free MP3s