Blogger Template by Blogcrowds

 
   

Friday, March 25, 2005

Memperbaharui Kehebatan

Tajuk : Memperbaharui Kehebatan
Pengguna : Salman
Tarikh : 2005-03-17 14:30:39

Assalamu'alaikum

Sudah menjadi satu kelaziman umum, mempertahankan
suatu kehebatan jauh lebih sukar dari mencipta kehebatan
tersebut.

Jika dilangkah awal penciptaannya, setiap halangan dilihat
sebagai pencetus untuk meneruskan kemaraan. Sebaliknya
ketika tindakan yang sama diambil untuk mempertahankan
kehebatan itu, adakalanya halangan dari persekitaran
bertindak terlalu rakus sehingga kita gagal menguasai diri.

Akhirnya hilang pertimbangan dan tewas tanpa kesudahan.
Amat malang sekali jika kita tidak berjaya menguasai kembali
diri untuk menghadapi halangan tersebut.

SC yang kini bergerak seiring dengan kekukuhan PSSCUHM
telah beberapa kali dari masa ke semasa, mengecapi saat-saat
kegemilangan. Cuma kadangkala hati kecil berbisik, adakah
kini kita berada dalam zon mempertahankan kegemilangan
tersebut atau kita akan terus berusaha untuk mencetuskan
kegemilangan yang baru?

Mungkin saudara semua tertanya-tanya apakah saya sekadar
melontarkan pandangan untuk mengisi kekosongan masa atau ini
adalah satu perkara serius yang perlu diberi perhatian?

Terpulang kepada semua untuk menilai. Cuma bagi saya jika kita
ingin terus mempertahankan kehebatan maka kita hanya sekadar
melakukan perkara rutin. Sebaliknya jika kita ingin terus
bergerak membina kehebatan demi kehebatan yang baru,
amatlah wajar kita menyemak keupayaan diri sebagai langkah
persediaan untuk memahami erti kegemilangan yang baru.

Saya harap saya tidak keterlaluan jika mengatakan bahawa
kita amat hebat dari segala segi. Kajilah jika saudara masih
meragui kata-kata saya.

Sejarah, falsafah, kefahaman, sistem pelajaran, seni gerak
dan buah, adat dan istiadat, budaya, siasah hinggalah
ke sudut penampilan, SCH tetap memperlihatkan keunggulan
yang tiada tara.

Kita hampir sebati dengan kehebatan ini, yang dahulunya
terpaksa dibawa dengan penuh kepayahan oleh para pendokong
yang setia. Kita merasakan apa yang berlaku kini sudah menjadi
satu kebiasaan, biarpun dahulunya amalan yang membentuk
kehebatan ini pernah ditertawa dan dicerca kerana kelainannya.

Inilah pahit maung yang terpaksa dihirup oleh para pendokong
generasi awal. Inilah yang ingin saya jelaskan. Tatkala kita begitu
senang dengan tahap ketinggian yang telah tersedia, ramai
dikalangan kita yang sudah segan untuk mencipta kehebatan yang baru.

Kita amat senang untuk bermegah dengan kehebatan dahulu.
Sedangkan ilmu yang masih tersembunyi dalam ruang bicara SCH
masih banyak. Ramai dari generasi terkini yang seolah-olah
mengharapkan agar kehebatan ini berkekalan. Sedangkan kita semua
tahu bahawa tiada keagungan yang pasti kekal.

Demikian itulah, jiwa yang sentiasa mengimpikan kehebatan, akan
terus berusaha memastikan agar bukan sahaja kehebatan ini
dipertahankan bahkan perlu diperbaharui agar terus kekal hidup
bersama setiap generasi baru yang mengiring.

Pengalaman yang ditempuh sepanjang pembikinan kehebatan
silam adalah sandaran terbaik untuk merencana perubahan
baru.

Sebagai ahli SCH, perubahan baru harus dilihat dari sudut
mengadaptasikan persekitaran sebagai teras kekuatan untuk
melangkah lebih pantas dan jauh. Sehubungan itu dalam
pembentukan perubahan yang baru, jangan kita terlalu
ghairah memikirkan kelainan secara total.

Kelainan tidak semestinya membuahkan kebaikan. Perubahan
(dalam kontek perbincangan ini) harus menjurus kepada
membangkitkan keyakinan berasaskan kemampuan, bukan
sekadar cerita hebat yang diperturunkan secara lisan.

Perubahan baru perlu bertitik tolak dari kesediaan kita untuk
kembali kepada fitrah yang terkandung dalam SC. Fitrah ini
perlu diterjemah sebaik mungkin dengan merujuk kepada
didikan, pesanan dan kefahaman yang diterapkan oleh
YM Tuan Guru Utama. Usaha ini tidak mudah.

Kita sebagai ahli dan murid, sepanjang proses penghayatan didikan,
pesanan dan kefahaman ini akan sentiasa berhadapan dengan
situasi yang memerlukan kesabaran yang tinggi.

Inilah mujahadah yang diri dalam pembikinan kehebatan.

Tiada apa yang lebih diinginkan sepanjang pembabitan diri dalam
kehebatan ini selain daripada terus menabur budi dan jasa.

Kita diajar mengenang jasa Guru, ibu dan bapa. Kita diasuh untuk
menabur kembali bakti kepada semua yang telah berjasa kepada kita.

Lantaran itulah, setelah memahami segala maksud tersirat
dan tersurat setiap perkara yang berlaku sepanjang usaha
mengekalkan dan memperbaharui kehebatan, ramai yang
amat mensyukuri akan pertemuan mereka dengan SC ini.

Kesyukuran mereka digambarkan dengan sumbangan yang
tiada tolok banding. Mereka begitu selesa dengan apa yang
dilakukan. Mereka menjadi lebih hidup dan lebih sempurna
kematangannya. Maka tidak hairanlah jika ada diantara mereka
yang seolah-olah layu tiada kesegaran jika berpisah dengan
keselesaan tersebut. Itukah yang dinamakan cinta? Entah.
Saya tidak mampu memberikan pandangan.

Apa yang pasti, jangan biarkan diri leka dalam keenakan semasa.
Hidupkan wadah ini dengan menjana matlamat baru. Jika tidak
pada pergerakan berikanlah pada diri sendiri.

Insyaalah tiada siapa yang rugi.

SALMAN

No comments:

Free MP3s