Blogger Template by Blogcrowds

 
   

Tuesday, September 13, 2005

:: 10 amalan yang terbalik ::

Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung
kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita
akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan
dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam.

Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau
terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan
apa yang dipaparkan di bawah sebagai contoh amalan yang
terbalik:-

1. Amalan kenduri aruah beberapa malam yang dilakukan
oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam
pertama, kedua, ketiga, ketujuh
dan seterusnya) adalah
terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana
Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak
makanan untuk keluarga simati untuk meringankan
kesusahan dan kesedihan mereka.

Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula
menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang
membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri
tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak
yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan
simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut
Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin)
orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa
bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka
segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah
orang mati, tidak segan pula salam tak berisi.
Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut
memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak
apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan
untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian
cantik,kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik
di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan
ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang
terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan,
kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan
kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut
dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya
tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah,
sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak
dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah
untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu
makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku
bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam
akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang
tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan
di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan
kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan
membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila
balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri
dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir,
maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka
dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita
mempunyai tujuan lain.

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka
gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau
pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca
Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar
tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam.
Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu
pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar
RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan.
Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih
berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat
dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam,
pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi
kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah
(masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke
masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta
tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami
atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah,
masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias
untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan
amalan yang terbalik ini membuatkan rumah tangga kurang
bahagia.

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang
dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada
kebenaraan agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam
yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah
yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan
peraturan hidup kita."

No comments:

Free MP3s