Blogger Template by Blogcrowds

 
   

Wednesday, July 28, 2010

HIJRAH - Azam dan Tekad

Tajuk      :      HIJRAH - Azam dan Tekad
Pengguna      :     Zoy2
Tarikh      :     2005-02-10 00:53:50

Assalamua'laikum warahmatullah hiwabarakatuh kepada semua pembaca dan penulis sidang yang dihormati...salam perkenalan dari Zoy2.

Sekian lama menjadi pembaca setia sidang, teringin juga mengungkapkan bicara di sidang ini sekadar berkongsi pandangan - jika kurang kemas tutur bicara, mohon maaf dan diharap penulis lain dapat memurnikannya.

1425H berlalu sudah...tempoh masa setahun pasti ada suka duka, pahit manis dalam menjalani kehidupan seharian - menguruskan diri, keluarga, kerjaya, kelas persilatan dan persatuan di tempat masing-masing.
Persoalannya, adakah semua yang kita harapkan sudah dicapai? Adakah kejayaan sudah dicapai 100%, 50%, 10% atau 0%(tiada tercapai langsung)?

Alhamdu lillah, dengan izinya kita masih dipanjangkan usia untuk menyambut ketibaan 1426H. Inilah peluang dan kesempatan untuk menilai semula diri kita. Sesungguhnya pengenalan tahun HIJRAH oleh Saidina Usman Bin Affan, Khalifah yang Ke-2 adalah satu sejarah sempena perpindahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah. Sesungguhnya kalimah HIJRAH amat penting dan besar ertinya kepada kehidupan kita. HIJRAH bermaksud berpindah. Perpindahan Nabi SAW bersama kaum Muhajirin adalah satu rahmat dan mengandungi pengajaran mencakupi seluruh kehidupan manusia- aspek hidup, tanah air, kerajaan dan ummat.

Satu aspek yang boleh dijadikan pengajaran ialah jika kita ingin mencapai kejayaan dalam hidupdan ingin maju kita kena berpindah. Perpindahan ada kaitan dengan perubahan dan penambahbaikan. Dalam contoh yang mudah tetapi payah untuk dilaksanakan - dari sikap malas kepada rajin, bercakap bohong kepada bercakap benar, dari kedekut kepada pemurah, dari menderhaka kepada ibu bapa kepada mentaati ibu bapa, dari khianat kepada amanah dan sebagainya. Kepayahan ini merupakan satu cabaran kepada kita. Sebagaimana yang diungkapkan oleh penulis "Saya" bahawa kita sebagai pendaki dan sebagai pendaki cabaran pasti menanti kita. Apabila kita berjaya mengatasi cabaran, barulah kepuasan akan timbul dalam diri kita.

Jika kita menilai kembali pencapaian tahun lalu sebagaimana yang dinyatakan di awal penulisan saya, maka kita perlu tingkatkan usaha agar pencapaian matlamat mencapai tahap yang lebih tinggi dari 10% ke tahap 50% atau 80% dan akhirnya tidak mustahil berjaya 100%. Kita perlu mempunyai azam dan tekad yang tinggi untuk merubah hidup kita menjadi lebih baik.

Sebagai contoh, peladang yang ingin menanam pokok kelapa sawit. Benih perlu disemai di tapak semaian terlebih dahulu dan menjalani proses tumbuh dan hidup. Adakah di tapak semaian ia akan memberi hasil yang baik? Tidak. Untuk mendapatkan hasil yang baik dan memuaskan, kita perlu pindahkan pokok benih ke ladang. Justeru itu, dalam konteks kehidupan kita perlu berpindah dan berubah- menilai kelemahan dan kekuatan diri serta membuat satu analisis bagaimana dapat meningkatkan pencapaian diri tanpa menekan orang lain. Kita insan biasa dan kelemahan pasti ada di mana-mana. Kelemahan diperbaiki dan kekuatan diperkemaskan. Diri kita adalah amanah dan amanah perlu dijaga. Usaha yang istiqamah dalam konteks HIJRAH ini, insya-Allah dapat menjana kecemerlangan dalam hidup kita.

Salam hormat dari Zoy2.


Benang Mesej
   
Format Paparan :     


Tajuk      :      Re:Suatu pandangan
Pengguna      :     Saya
Tarikh      :     2005-02-12 10:39:32

Minta maaf, izinkan saya "menumpang bersama" atas penulisan saudara.

Kadang kala apa yang terjadi tidak seperti apa yang diharapkan. Lain yang dirancang , lain yang berlaku. Itulah kelemahan kita sebagai Hamba di muka bumi. Walau bagaimanapun, bagi mempastikan jiwa kita terus positif, kita tidak perlu melihat apa yang telah diusahakan semata-mata tapi lihat apa yang belum diusaha atau diselesaikan. Fahaman ini perlu dikuatkan dengan sikap tidak membuat apa yang disuruh sahaja atau sebagai seorang yang mahu membuat apa yang disuruh sahaja. Kita perlu proaktif. Seperti yang saudara katakan, perpindahan ada kaitan dengan perubahan dan penambahbaikan. Istilah penambahbaikan, sangat besar ertinya kepada saya.

Apa yang dilakukan, jadikan hobi. Dalam konteks ini, misalnya, kadang kala kita berasa hairan dengan tabiat orang yang memancing ikan. Dari pagi sampai ke petang. Hasil tangkapan tidak seberapa. Bila ditanya kenapa, lantas dijawab itu Hobi. Hobi banyak menguasai daya fikir kita. Alangkah baiknya jika penglibatan kita menyumbangkan tenaga dan bakti dalam SCH juga dianggap sebagai hobi. Pasti akan ada orang yang bertanya jesteru iri hati atau kehairanan. Lantas kita menjawab Hobi. Saya sentiasa jadikan istilah ini sebagai perisai dan benteng bagi mempastikan diri sentiasa mempunyai azam dan tekad yang tinggi untuk "merubah hidup menjadi lebih baik" seperti yang saudara katakan.

Untuk perkongsian pengalaman, dalam proses kita berubah juga, kita akan berhadapan dengan manusia-manusia Toksid. Manusia jenis ini akan berusaha meracuni diri kita. Perubahan yang ingin kita lakukan umpama onak kepada mereka. Golongan ini kurang berusaha dan sentiasa memburukkan orang lain untuk mendapatkan kepercayaan. Waspadalah dengan golongan ini. Mereka juga pernah kecewa dan tidak bersedia lagi menghadapi cabaran. Mereka sentiasa inginkan penghormatan tapi jarang yang dapat. Lengkapkan diri kita untuk menghadapi mereka dengan cara menggunakan Gerak Laku, Pemikiran dan Jiwa kita. Insya-Allah satu masa akan saya huraikan maksud saya itu.

Sekian , haraf maaf jika tulisan saya lari dari sudut pemurnian seperti yang saudara harapkan.


Benang Mesej
   
Format Paparan :     


Tajuk      :      Hijrah-Manusia Toksid
Pengguna      :     Zoy2
Tarikh      :     2005-02-13 08:30:02

Assalamua'alaikum, terima kasih kepada saudara "Saya" yang menjadi orang pertama memberi respons/pemurnian terhadap tulisan saya setelah 3 hari menanti. Sebagai orang yang masih "hijau", huraian saya tidaklah begitu mendalam kerana pengetahuan dan pengalaman yang tidak seberapa. Pandangan "Saya" memang bernas dan melebihi jangkaan saya sendiri. Hal ini merupakan sesuatu yang positif kerana dapat memperluas skop perbincangan seterusnya perkongsian ilmu yang bermanafaat dapat dilakukan.

Sepanjang pengamatan saya terhadap penulisan "Saya" yang terdahulu, membuktikan "Saya" seorang yang cukup berprinsip, berpengalaman sama ada di dalam bidang persilatan mahupun kerjaya. Hujahnya bernas dan logik dan ia boleh menjadi penawar yang mujarab kepada pembaca yang dibukakan pintu hati oleh-Nya.

Saya tertarik dengan istilah "manusia toksid". Toksid bermaksud racun. Racun sifatnya membunuh sama ada secara terus ataupun secara perlahan-lahan. Golongan ini cukup bahaya dan jika dibiarkan akan merosakkan perkembangan organisasi terutamanya pengurusan pentadbiran persilatan SCH mahupun organisasi lain yang dipimpin. Memang tidak dinafikan bahawa golongan ini wujud di mana-mana. Ia menjadi penghalang kepada perubahan dan penambahbaikan yang ingin dilakukan. Bermacam-macam ungkapan dan kata-kata negatif yang menyentuh perasaan dan hati nurani yang kadang kala melunturkan semangat juang...Tak ape lah..ikut aje cara lama..selamat..tak perlu susah payah buat itu ini...engko nak buat, buat le sendiri. Engko buat ni dapat ape-ape ke? Engko orang muda, apa tau...kami dah buat dah dulu tak berjaya pun!

Kadang kala faktor usia dijadikan isu menyebabkan perubahan-perubahan yang dicanang ditentang oleh golongan ini. Sebagai contoh, di bidang pentadbiran, X merupakan orang yang paling muda di kalangan 8 orang pentadbir. Adakalanya pandangan X dipandang enteng dan tidak diendahkan hinggakan kadang kala idea X diperlekehkan walaupun jika dihalusi idea X boleh digunakan dan mungkin menghasilkan output yang maksimum! Adakah disebabkan X muda, ideanya ditolak? Di sinilah pentingnya sikap keterbukaan untuk menerima perubahan/penambahbaikan untuk kebaikan bersama sama ada barisan kepimpinan ataupun orang bawahan ke arah matlamat yang hendak dicapai. Kadang kala apabila sesuatu idea itu diterima oleh pihak pentadbiran, maka akan timbul pula masalah pelaksanaan oleh orang bawahan yang berstatus "toksid". Mereka beranggapan perubahan yang ingin dibawa ini menyusahkan dan menambah beban mereka serta mudah berasa puas hati atas apa yang ada tanpa ada rasa ingin melakukan penambahbaikan. Mereka membantah dalam diam, mewujudkan "klik toksid" dan tidak menjalankan tanggung jawab yang sepatutnya. Akhirnya, hasrat murni yang diwar-warkan terbengkalai dan tidak mencapai matlamat sebagaimana yang diharapkan. Pada saya, sekiaranya idea itu diterima, ia hendaklah dilaksanakan bersama-sama dan bukan hanya terletak dibahu pemberi idea itu sahaja. Dalam hal ini, saya fikir kerja dalam 'team-work' dapat membantu melancarkan urusan perlaksanaan yang dibuat.

Walau bagaimanapun, mungkin wujud kesilapan diri/kelemahan diri pada orang yang ingin membuat perubahan sehingga boleh dieksploit dan menjadi 'ratahan' manusia toksid. Mungkin cara berkomukasi yang tidak betul? Salah Strategi/Perancangan? atau 'Masa yang betul tetapi perkara yang salah'? atau Perkara yang betul tetapi tidak kena pada masanya? Justeru itu, bilakah wujud keadaan "Perkara yang betul dan kena pada masanya"? Mungkinkah ada cara untuk memenangi hati orang yang lebih tua sama ada pentadbir atau orang bawahan? Apakah benteng diri yang perlu ada untuk menghadapi pemimpin, rakan setugas atau golongan yang dipimpin yang berperangai "manusia toksid" ini?

Mungkin ada pandangan/ulasan dari "Saya" atau penulis-penulis lain yang berpengalaman untuk mengupas lebih mendalam persoalan dan isu ini untuk dikongsi bersama - Salman barangkali?

Salam hormat dari Zoy2.


Benang Mesej
   
Format Paparan :     


Tajuk      :      Fenomena
Pengguna      :     Salman
Tarikh      :     2005-02-14 08:28:30

Assalamu'alaikum

Saudara Zoy2 telah membuka satu ruang yang baik untuk semua pembaca renungkan. Bermula dengan definasi Hijrah, yang mana umum faham cuma payah dilakukan, diakhiri dengan ulasan kepada Manusia Toksid, jiwa racun yang merosakkkan.

Sebagai sebuah organisasi yang telah berdiri dan berlari, kita telah melihat perubahan atau hijrah yang agak seimbang. Tidak keterlaluan bahkan sezaman. Kita dahulunya janggal dikaca mata masyarakat. Kini umum melihat SCH sebagai satu kebiasaan. Kita perlu lebih berusaha agar kita bisa melahirkan satu keadaan dimana SCH adalah satu fenomena.

Melahirkan fenomena memerlukan ahli yang luarbiasa. Keluarbiasaan tercetus dari kehebatan perilaku dan kefahaman. Tindak kita kemas. Idea kita pintar. Bicara kita hikmah. Persoalannya bersediakah kita untuk mencipta fenomena tersebut. Wajar sekali jika hasrat ini diletakkan pada posisi wahid, kita mesti berhijrah. Sungguhpun begitu para sahabat Rasullulah tidak sesukahati mereka berhijrah tanpa restu Baginda dan strategi. Begitulah kita. KIta tidak bersemuka dengan Nabi SAW. Kita cvuma hidup bersama Guru. Mintalah tunjuk ajar agar hijrah diri lebih bermakna. Strategi melibatkan pengalaman dan nasihat dari mereka yang berpengalaman dan tahu. Jangan bertindak semborono. Kita adalah umpama rombongan pendakian. Kepayahan harus dibantu. Kesusahan Harus ditangani bersama.

Usaha yang baik pasti ada halangan. Hambatan mungkin ada pada diri dan selalu juga hadir dipersekitaran. Seperti kata penulis SAYA, yang berada disekeliling jika mereka adalah manusia maka mereka adalah racun yang merosakkan. Jangan peduli kekurangan mereka. Mereka sakit. Kitalah sepatutnya membantu mereka. Saya katakan mereka sakit kerana jiwa mereka tidak tenteram melihat kebaikan. Biarkan mereka menjadi racun agar jiwa sakit mereka terubat. Tiadalah sempurnanya timbangan andai tiada batu pengimbang. Mereka juga adalah batu pengimbang. Masakan kita tahu nilai diri kita jika tiada pembanding yang menjadi cabaran.

Begitulah sedikit pandangan saya. Saudara Zoy2 perlu terus bersama agar usaha kita mencipta fenomena berjaya. Apa yang dilakukan mungkin kecil tetapi percayalah yang kecil ini pemangkin kepada satu perubahan.

SALMAN


Benang Mesej
   
Format Paparan :     


Tajuk      :      Re: Pembetulan/Penambahan
Pengguna      :     Zoy2
Tarikh      :     2005-02-10 07:39:39

Pembetulan/ralat: Perenggan 4, baris 4-5. Saidina Umar Alkhattab Khalifah Kedua. Harap maaf.

No comments:

Free MP3s