Blogger Template by Blogcrowds

 
   

Wednesday, April 06, 2005

HIKMAH SUJUD

HIKMAH SUJUD

Sujud lega sistem pernafasan .MUNGKIN ramai di kalangan
umat Islam tidak sedar mengenai pelbagai hikmah yang
tersembunyi ketika sujud. Pada hal, kita perlu sedar bahawa
tiada suatu pun ciptaan dan suruhan Allah s.w.t. yang sia-sia,
malahan setiap ciptaan itu mempunyai kelebihan yang selalunya
tidak terjangkau akal manusia.

Manusia melakukan sujud dalam dua bentuk, iaitu sujud fizikal
seperti ketika bersolat dan sujud spiritual berbentuk ketaatan
kepada perintah Allah s.w.t. dan menjauhi larangannya.

Ulama mengatakan sujud ketika solat adalah waktu manusia
paling hampir dengan Allah s.w.t. dan mereka menggalakkan kita
bersujud lebih lama.

Antara hikmah lain sujud adalah melegakan sistem pernafasan
dan mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya.

Bernafas ketika sujud pula boleh:

- membetulkan kedudukan buah pinggang yang terkeluar sedikit
dari tempat asalnya.

- membetulkan pundi peranakan yang jatuh.

- melegakan sakit hernia. (burut)

- mengurangkan sakit senggugut ketika haid.

- melegakan paru-paru daripada ketegangan.

- mengurangkan kesakitan bagi pesakit apendiks atau limpa.

- kedudukan sujud adalah paling baik untuk berehat dan
mengimbangkan lingkungan bahagian belakang tubuh.

- meringankan bahagian pelvis.

- memberi dorongan supaya mudah tidur.

- menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut serta punggung
ketika akan sujud dan bangun daripada sujud.

- pergerakan otot itu menjadikan ototnya lebih kuat dan elastik,
secara automatic memastikan kelicinan perjalanan darah yang
baik.

- bagi wanita, pergerakan otot itu menjadikan buah dadanya
lebih baik, mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan
terhindar daripada sakit buah dada.

- mengurangkan kegemukan.

- pergerakan bahagian otot memudahkan wanita bersalin,
organ peranakan mudah kembali ke tempat asal serta terhindar
daripada sakit gelombang perut (convulsions).

- organ terpenting iaitu otak manusia menerima banyak
bekalan darah dan oksigen.

- mengelakkan pendarahan otak jika tiba-tiba menerima
pengepaman darah ke otak secara kuat dan mengejut serta
terhindar penyakit salur darah dan sebagainya.

Dari segi psikologi pula, sujud membuatkan kita merasa rendah
diri di hadapan Yang Maha Pencipta sekali gus mengikis sifat
sombong, riak, takbur dan sebagainya.

Dari segi perubatan, kesan sujud yang lama akan menambahkan
kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening
kepala dan migrain,menyegarkan otak serta menajamkan akal
fikiran sekali gus menguatkan mentaliti seseorang.

Menurut kajian, terdapat beberapa urat saraf di dalam otak
manusia yang tidak dimasuki darah sedangkan setiap inci otak
manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara
normal dan sempurna.

Tujuh kalimat Sabda Rasulullah S.A.W

" Barang siapa hafal tujuh kalimat, ia terpandang mulia di sisi
Allah dan Malaikat serta diampuni dosa-dosanya walau sebanyak
busa/buih laut "

1. Mengucap Bismillah pada tiap-tiap hendak melakukan
sesuatu.

2. Mengucap Alhamdulillah pada tiap-tiap selesai melakukan
sesuatu.

3. Mengucap Astagfirullah jika lidah tersilap perkataan yang
tidak patut

4. Mengucap Insya Allah jika merencanakan berbuat sesuatu
di hari esok.

5. Mengucap La haula wala kuwwata illa billah jika menghadapi
sesuatu tak disukai dan tak diingini.

6. Mengucap inna lillahi wa inna ilaihi rajiun jika menghadapi dan
menerima musibah.

7. Mengucap La ilaha illa Allah Muhammad Rasulullah sepanjang
siang malam sehingga tak terpisah dari lidahnya dari tafsir hanafi,
mudah-mudahan ingat, walau lambat-lambat mudah-mudahan
selalu, walau sambil lalu mudah-mudahan jadi bisa, kerana sudah
biasa!

Sunday, April 03, 2005

Iktibar sebuah kisah - Salman

Tajuk : Iktibar sebuah kisah
Pengguna : Salman
Tarikh : 2005-04-01 11:30:38

Assalamu'alaikum

Sekadar merenung kembali peristiwa hitam yang berlaku pada
11 April 1993. Kisah yang berakhir dengan sorak keriangan
kumpulan yang menang dan kesedihan sahabat yang
memperjuangkan kebenaran. Ramai yang terpinga-pinga dan
bertanya apakah sebenarnya peristiwa, kerana sebilangan besar
daripada mereka adalah generasi yang masih muda, namun
tidak kurang yang turut melahirkan kedukaan yang sama.

Apa yang jelas pada petang yang muram itu, bahtera layar yang
selama ini dipelihara sebegitu cermat, dicemari dengan strategi
kotor dan perancangan hina. Ramai sungguh bidak-bidak
dipergunakan untuk memastikan teraju bahtera beralih
tangan. Sedangkan bidak-bidak tersebut ramai yang masih
belum mengerti bahawa diri mereka sedang ditunggangi untuk
memenuhi cita-cita golongan tertentu.

Usaha yang berterusan walau begitu hina tujuannya, jika
ditakdirkan berjaya pasti akan berjaya. Demikianlah kisah
pada hari tersebut.

Sejarah merakamkan rasmilah bahtera beralih kepimpinan.
Belum sempat hilang kesedihan, tampil Nakhoda berdiri
megah mengumumkan satu lagi bahtera pengiring perlu
dimansuhkan. Sekali lagi mereka menyorak kegembiraan.
Sekali lagi para sahabat merenung jauh memikirkan nasib
sebuah perjuangan.

Sebagai pemerhati, hati tertanya-tanya masih adakah esok
dalam perjuangan ini. Diri ini tidak pasti kerana jika ingin
digambarkan kegirangan yang terpancar diwajah mereka,
pastinya hala tuju perjuangan jauh dari landasan sebenar.

Hampir semua sahabat tunduk kesedihan seolah-olah
menerima khabar kematian. Mereka hampir kehilangan punca
dan kekuatan. Lesu dan pilu. Namun demi untuk meneruskan
langkah yang ada, ramailah yang bernaung dibawah semangat
dan kekuatan Bonda.

Di situlah bersemaraknya kembali semangat, keyakinan
dan tenaga.

Masa yang berlalu menjangkaui dasawarsa. Janji balasan Tuhan
pasti akan berlaku. Mana mungkin kekejian beroleh
kebahagiaan. Mana bisa keluhuran beroleh kekecewaan.

Terbaru kita dikhabarkan dengan pincangnya sebahagian
bahtera lawan. Ini bukan tohmahan. Ini adalah perkhabaran
benar. Jika dahulu bahtera yang mereka lobakan, pasti kini
bahtera jugalah yang telah menimbulkan kerumitan.

Tanggung sendiri akibat dari ketelanjuran. Bagi kita yang masih
setia bersama, jangan dipandang kepincangan ini dengan
kesumat dan dendam.

Insaflah kerana tidak mustahil akan berlaku juga ke atas kita
andainya alpa.

Tiada sebab tanpa musabbab. Kepincangan yang berlaku
di pihak sana bukan tidak sengaja. Bahkan berani diri ini
katakan bahawa semua ini berlaku berpunca dari kekurangan
mereka juga.

Mereka sebenarnya tiada upaya. Mereka terlalu sibuk
menyusun pelan rangka menentukan arah tuju bahtera setelah
ketiadaan Nakhoda tua. Walhal itu semua adalah irama
muslihat yang dialun agar cita-cita penangguk di air keruh
terlaksana.

Ramai sungguh yang terhibur. Tidak kurang juak-juak yang
bercakaran dalam keasyikan dendang irama hingga terlupa
dengan tujuan perjalanan. Penangguk di air keruh tersengeh
memperlihatkan kedangkalan.

Itu mereka. Apa yang nyata bagi kita ialah kebendaan bukanlah
matlamat yang diburu. Kenikmatan harta dan tinggalan pusaka
jauh sekali dari impian. Kita amat cenderung untuk menggali
nilai khazanah ilmu buat pengisian.

Kita terlalu merindui ajar nasihat dari Panrita yang bangkit
mengepalai perjalanan. Biarlah orang lain bersusah dalam
mempertahankan benda. Benda akhirnya binasa. Namun kita
sewajarnya berpayahan dalam menambahkan ilmu di dada.

Dengan ilmu martabat diangkat maruah terpelihara. Lantaklah
orang lain berpesta diawal waktu asalkan kita berbahagia
menghampiri matlamat yang makin nyata.

Bahtera kita semakin gagah merentas gelombang dan arus.
Panrita selaku Nakhoda, memegang erat kemudi menuju
destinasi pasti. Pelayaran kita penuh kegemilangan.

Pengalaman emas silam membolehkan kita mengharungi
kesusahan dengan tenang dan tabah. Itulah sikap kita. Semakin
jauh kita menempuh kematangan usia, semakin banyak
khazanah terkumpul buat bekalan sepanjang perjalanan.

Teruskan pelayaran. Jangan ditoleh kebelakang secara
keterlaluan. Bukalah minda, tundukkan jiwa. Bertindaklah
secara matang dan berani.

Insyaallah kita akan terus diberkati.

SALMAN


-------------------------------------------------------------
Sambungan benang oleh Ana
-------------------------------------------------------------

Tajuk : Senafas Seudara
Pengguna : Ana
Tarikh : 2005-04-01 15:41:00

Aduhai seribu kisah. Bahtera dibawa berlayar dihala entah
kemana. Pernah dilaungkan kegemilangan itu pasti, tapi yang
pincangnya tahun tidak dikenalpasti. Confirm ia bukan pada
masa ini. Perkhabaran di terima sehingga ke Menteri menjadi
perbualan apa sebenarnya telah terjadi. Tapi itu tidak relevan
lagi untuk dipedulikan. Lantaklah walau karam dipukul ombak
sekali pun.

Tanpa usaha mana mungkin tempa kejayaan. Tanpa
kebenaran mana mungkin ada keberkatan. Hadir kita berserta
usaha dan kebenaran melonjakkan kita ke tangga kejayaan.
Nyata dan benar itu hakikatnya.

Namun, tinggi tangga kejayaan, senang lagi untuk
diperhatikan. Peringatan awal dialunkan untuk menangkis
segala dugaan yang bakal melanda. Biar nasi tak dingin , pinggan
tak retak.

Adat musuh, gagal disorak gembira, sakit hati bila dilihat
berjaya. Kita bersedia, jangan melampau kerisauannya.

Nakhoda jelas perjalanan, pengikut pula setia dibelakangnya.

Memang jauh sudah perjalanan, tapi jauh lagi perjalanan kita
kehadapan. Senafas seudara diterjemahkan, menjadi ujian
ketika pelayaran. Apakah semua bersedia menghadapi
harungan atau mungkin sekadar laungan. Doa iringan kita
panjangkan mengukuhkan semangat mancapai matlamat
perjuangan.

Senafas seudara jangan hanya menjadi laungan. Kata biarlah
dikotakan. Nakhoda yang satu jangan bisa kita ragukan.

Eratkan hubungan itulah pukulan bagi musuh yang sentiasa
memporak perandakan keadaan.

Benar bicara Salman. Khazanah ilmu banyak terkumpul
menjadi bekalan. Biarlah ada pengisian sepanjang perjalanan.

Kata pujangga, orang menunggu perigi, tiada akan mati
kehausan. Hanya kita yang gagal berikhtiar dan berusaha.

Selamat maju jaya bersama.

Salam bahagia dari saya Ana.

Perkongsian Pengalaman - Sayang

Diambil daripada:
http://www.cekakhanafi.com/sidang/SidangCh.03_Main.php

Tajuk : Perkongsian Pengalaman
Pengguna : Sayang
Tarikh : 2005-04-02 11:31:15

Dalam tulisan ini saya ingin berkongsi pengalaman saya sebagai
penuntut dan jurulatih SC satu masa yang lalu. Harap akan dapat
dijadikan panduan pada mereka yang berminat.

Saya mula menceburi SC ketika berumur 22 tahun. Jiwa remaja.
Ketaksuban pada SC amat kuat tapi berasas.

Setelah mengalami proses bincang dan "try", memang SC hebat.

Minat pada silat selalu disertai bersama dengan azam untuk
menjadikan diri "hebat" dalam persilatan.

Atas sikap inilah ketika bersilat, diri ini diarah untuk buat
bersungguh hati. Kadang kala lupa pasangan kita. Banyak kali
pasangan yang menderita.

Akibatnya sukar mencari pasangan bersilat.

Jika bersilat, bengkak dan pukulan padu daripada Jurulatih
merupakan kepuasan. Kadang kala peristiwa itu menjadi
bualan sesama ahli yang mempunyai minat dan fahaman yang
sama.

Oleh itu timbullah perbandingan antara sesama Jurulatih.
"Jurulatih ni tak bestlah. Lembut sangat. Tak puaslah aku
bersilat malam tadi."

Itu merupakan cakap-cakap pada diri dan rakan-rakan yang
inginkan bersilat secara padu dan kasar.

Tapi terfikir juga di hati. Pada ahli yang bersilat secara lembut,
pasti akan bercakap,"Teruklah Jurulatih tu. Kasar sangat.
Aku dihentamnya. Dia ingat aku musuhke?"

Begitulah susahnya peranan Jurulatih. Bak kata pepatah,
Tak Terkajang Batu Sepulau. Pandai-pandailah Jurulatih
melayan karenah penuntutnya.

Mungkin kita boleh dan perlu memahami kehendak dan
perasaan penuntut kita. Tapi pada diri saya, kalau bersilat
"tak puas", tidur akan tak selesa.

Saya sangat bernasib baik kerana keseluruhan buah, saya
rasa kesannya. Pasti yang "buatnya" Allahyarham Guru
Utama. Betullah kata orang kalau pitam akan nampak bintang
yang berkelipan.

Prinsip ini dapat kita gunakan dalam kelas. Saya berpegang
bahawa penuntut perlu tahu "penangan" setiap buah. Kenal
pasti penuntut.

Antara penuntut tentu ada "tangan"nya. Setiap kali saya
"menurunkan" buah, penuntut itu dipanggil dulu. Ketika 'bagi
buah', pastikan hampir-hampir 90% (ukuran tafsiran
perasaan) penangannya.

Oleh sebab penuntut itu 'taf', tak jadi masalah. Kalau dia
meraung pun hanya sikit-sikit sahaja. Sebabnya, dia memang
seronok dan rela diperbuat demikian. Sama seperti saya
menuntut dulu.

Kalau jurulatih 'hentam' saya dengan kuat macam manapun
saya rela. Pastinya mereka ikhlas menurun buah. Mungkinkah
dalam satu-satu kelas itu tidak ada yang boleh diperlakukan
seperti itu.

Sepanjang pengalaman saya, saya belum mengalaminya. Setiap
kelas pasti ada penuntut yang hebat dan lain daripada rakan
sepenuntutnya. Kalau tak ada, saya rasa kita perlu sesuaikan
dengan keperluan semasa.

Ketika menjadi Jurulatih, kewibawaan kita perlu dipertahankan.
Salah satu caranya ialah jaga stamina. Ukuran stamina bolehlah
diibaratkan (agaknya) kita boleh berlatih dari asas hingga buah
umum. Stamina ada kaitan dengan berat badan.

Kita perlu sentiasa menjaga berat badan. Bila melebihi berat,
jaga pemakanan dan perlu bersenam. Ukuran berat badan,
sesuaikan dengan tinggi kita.

Kalau kita 'fit' akan banyak membantu kita menurunkan
pelajaran silat. Janganlah hendaknya ketika menurunkan
pelajaran, dada kita berombak-ombak. Malu.

Penuntut sentiasa menilai diri kita. Sesungguhnya dari aspek
membina keyakinan diri, peranan jurulatih banyak memberi
sumbangan dan pengaruh.

Salah satu caranya, pelihara kewibawaan kita. Stamina yang
mantap merupakan salah satu ciri jurulatih yang berwibawa.

Sekian dan terima kasih.

Sayang

--------------------------------------------------------------
Tread disambung oleh Salman
--------------------------------------------------------------

Tajuk : Re: Pandangan saya
Pengguna : Salman
Tarikh : 2005-04-02 14:29:51

Terima kasih atas coretan pengalaman yang diberi.
saya terpanggil untuk memberikan sedikit pandangan
berhubung dengan kenyataan yang Sdr kemukakan.

"Jika bersilat, bengkak dan pukulan padu daripada Jurulatih
merupakan kepuasan"

Saya berpendapat Sdr bermaksud kesungguhan dalam
mempelajari ilmu silat ini perlu dititikberatkan. Jangan terlalu
diambilkira kesakitan kerana memang pada dasarnya silat itu
bersifat keras dalam lembut, berseni dalam berani.

Sebagai pelajar jika kita terlalu melayan kesakitan, pastinya kita
akan berakhir dengan kekurangan. Pelajar yang ingin berjaya
untuk menguasai ilmu ini harus terlebih dahulu merasai setiap
gerak seni dan pukulan yang ada, kerana disitulah letaknya
makna sebenar SC.

Tanpa melalui pendekatan ini, saya berani mengatakan
sia-sialah masa yang kita luangkan sepanjang mempelajari
silat ini.

Saya juga amat bersetuju dengan kenyataan Sdr... "Ketika
menjadi Jurulatih, kewibawaan kita perlu dipertahankan."

Jurulatih yang baik akan melahirkan pelajar yang baik
sepertinya atau mungkin melebihi pencapaiannya.

Namun begitu dalam kesungguhan kita mengajar atau
menyampaikan mesej pendidikan melalui penurunan ilmu
persilatan, kewibawaan diri perlu dijaga. Kewibawaan bukan
sekadar mencakupi bidang persilatan bahkan turut
diperluaskan maknanya ke bidang pergaulan dan penampilan
diri.

Jurulatih adalah model yang akan atau mungkin sedang menjadi
ikutan anak buahnya. Tanpa disedari cara berfikir, berhujah,
bergaul hinggakan cara makan sekalipun, akan diikuti oleh
pelajar kerana Jurulatih wujud bersama kebaikan yang boleh
mereka terima.

Jurulatih perlu sihat. Sihat pada fizikal dan sihat juga pada
mental. Maksud saya mental yang sihat ialah tahap pemikiran
mereka mestilah mampu menyumbangkan buah fikiran yang
baik lagi bernas untuk ditafsir, digunapakai dan dijadikan
bahan rujukan para ahli.

Pastinya jika inilah maksud kewibawaan yang diperlukan, status
Jurulatih yang baik memang sukar dicapai. Sungguhpun begitu ia
tidak mustahil bahkan telah ada dikalangan kita yang mencapai
tahap tersebut.

Pergaulan sudut persilatan yang saya dapat rasakan intim
diantara Sdr Sayang dengan Allahyarham Guru Utama juga
seharusnya menjadi ikutan kita semua.

Ketika ini, kita selaku pelajar dan murid kepada Tuan Guru
Utama semestinya berusaha untuk menjalin tahap perhubungan
yang sebegitu.

Hubungan ikhlas diantara Guru dan murid. Jangan dihirau
dengan kata-kata nista dari mereka yang lemah. Kita
berdamping dengan Guru tiada lain hanyalah untuk
membentuk keperibadian terpuji dan menambahkan ilmu buat
diri sendiri.

Biarkan mereka dengan lagak mereka. Kita perlu maju dengan
cara kita. Pastikan masa kita sepanjang berada dalam dunia
SC ini terisi dengan seribu kebaikan. Jangan sekali-kali masuk
bersama golongan yang kerugian.

SALMAN

Free MP3s