Blogger Template by Blogcrowds

 
   

Tuesday, September 20, 2005

Dalami ilmu agama - Sebelum berpoligami

Oleh ZUNAIDAH ZAINON


RAMAI beranggapan, wanita yang memberi keizinan
kepada suaminya berkahwin lain akan mendapat
ganjaran payung emas di syurga.Adakah benar
kenyataan di atas ini dan bagaimanakah seharusnya
poligami yang disarankan dalam Islam?

Tidak ada ayat al-Quran atau hadis-hadis yang
menerangkan hal tersebut, demikian menurut
Pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Falsafah,
Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan
Malaysia, Prof. Madya Dr. Jawiah Dakir.

Malah jelas beliau, kebanyakan lelaki yang
berhasrat untuk mengamalkan poligami sering kali
menggunakan alasan `mendapat ganjaran payung emas'
untuk mendapatkan keizinan. Malahan mereka juga
menyatakan, poligami diharuskan kerana mengikut
sunah Nabi Muhammad s.a.w.

``Memang mereka mengikut sunah Nabi tetapi hanya
pada jumlah bilangan isteri yang dikahwini, tidak
dari segi cara perlaksanaannya. Suami perlu
memahami perasaan isteri yang mana kita tidak
ketahui sejauh mana hatinya terluka apabila
mengetahui suami ingin menambah isteri. Oleh itu
suami perlu bertindak bijaksana untuk mendapatkan
keredhaan isteri,'' terang beliau mengenai amalan
poligami yang selalu disalah tafsir golongan
lelaki.

Dalam Islam, jelas dinyatakan syarat-syarat
poligami yang dibenarkan dalam Islam berdasarkan
kepada surah al-Nisa' ayat 3 :

Dan jika kamu tidak akan dapat berlaku adil
terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (apabila
kamu mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita
(lain) yang kamu senangi; dua, tiga atau empat.
Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku
adil, maka (kahwinilah) seorang saja, atau
hamba-hamba yang kamu miliki. Yang demikian itu
adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.

Sejarah poligami telah bermula sebelum kedatangan
agama Islam. Apabila syiar Islam semakin
berkembang, Rasulullah s.a.w. mengatur poligami
supaya ia dijalankan dengan lebih bermaruah dan
tidak mendatangkan masalah kepada keluarga.

Rasulullah s.a.w. telah mengIslamkan ramai para
sahabatnya. Ada di antara mereka yang mempunyai
lebih daripada empat isteri. Baginda menyarankan
agar memilih empat sahaja dan yang lain harus
diceraikan.

``Berdasarkan kepada riwayat tersebut, lelaki yang
beragama Islam boleh berkahwin tidak melebihi
empat isteri. Paling utama, mampu berlaku adil
kepada isteri-isterinya, sama ada adil dari segi
layanan, giliran, nafkah dan yang berkaitan dengan
tanggungjawab suami kepada isteri'' tambah beliau
lagi.

Adil, menurut Jawiah terlalu luas tafsirannya dan
ia merupakan satu tanggungjawab berat yang harus
dipikul bagi lelaki yang mengamalkan poligami. Ia
melibatkan aspek material, rohaniah dan
bergantung kepada keadaan isteri-isteri dan jumlah
keluarga yang ditanggung oleh seorang lelaki.

Suami wajar berlaku seadil-adilnya dalam
melaksanakan tanggungjawab itu dan dalam hal ini
kaum lelaki yang mahu berpoligami hendaklah
meneliti dan memahami penegasan Allah s.w.t.
bahawa adil itu amat sukar untuk dilaksanakan.
Para suami yang mempunyai keinginan berkahwin satu
lagi wajar berusaha supaya berjaya
melaksanakannya atau melupakan sahaja untuk
berpoligami.

Bijaksana

Firman Allah s.w.t.: Kamu sekali-sekali tidak akan
dapat berlaku adil terhadap isteri-isteri kamu,
sekalipun kamu berusaha untuk berlaku adil.
(an-Nisa: 129)

Berdasarkan kepada firman di atas, jika lelaki
merasakan tidak boleh berlaku adil, maka
diharuskan berkahwin satu sahaja.

Adil itu pula wajar difahami secara yang mendalam
dan bijaksana, misalnya, isteri pertama mempunyai
lima orang anak manakala isteri kedua pula baru
mempunyai seorang anak, maka sudah tentulah duit
perbelanjaan yang harus diberikan juga adalah
berbeza bergantung kepada keadaan para isterinya.

``Inilah tanggungjawab berat yang kadang kala
mendatangkan masalah kepada amalan poligami.
Sedangkan dalam Islam, Allah s.w.t. telah
meletakkan syarat-syaratnya supaya poligami dapat
berjalan dengan baik,'' kata beliau merujuk
kepada ayat al-Quran.

Daripada riwayat Tirmizi, Rasulullah s.a.w.
bersabda: Lelaki yang tidak berlaku adil atau
cenderung pada seorang isteri, apabila
dibangkitkan pada Hari Akhirat, bahunya akan
kelihatan senget.

Syarat kedua yang perlu diberi pertimbangan oleh
masyarakat pada hari ini ialah belajar mendalami
ilmu agama, khususnya ilmu berkeluarga terutama
membabitkan hal-hal tanggungjawab suami isteri dan
juga poligami.

Beliau menasihati agar amalan poligami itu lengkap
dengan pengisian ilmu di dada agar ia mengikut
syariat Islam. Kadang-kadang tujuan itu bukan
bersandarkan syariat Islam tetapi mengikut hawa
nafsu dan menerima godaan daripada wanita yang
mempunyai niat tidak baik.

``Kita seharusnya belajar cara Nabi melaksanakan
poligami dan melihat wanita bagaimana yang
dipilih. Baginda tidak berkahwin dengan wanita
cantik sebaliknya memilih janda yang kematian
suami. Malah dua isteri baginda sahaja yang masih
gadis, iaitu Aisyah dan Mariatul Qatiah. Manakala
selebihnya ialah janda yang telah berumur,'' ujar
beliau.

Tambahnya, sekiranya lelaki pada hari ini
benar-benar mengamalkan poligami bersandarkan
kepada sunah Nabi, memang tercapai hasrat
berpoligami yang bertujuan membela nasib kaum
wanita yang kehilangan tempat bergantung.

Bagaimanapun, pandangan negatif wanita terhadap
amalan poligami boleh dikikis, sekiranya ia
dilakukan dengan cara yang betul seperti tidak
merahsiakan daripada pengetahuan isteri pertama
dan kaum keluarga ataupun berkahwin lari dan tidak
mendaftarkannya secara sah.

``Wanita menjadi marah atau amat sensitif kerana
poligami yang diamalkan oleh sesetengah para
suami, tidak berdasarkan kepada lunas-lunas Islam
yang suci.

``Suami harus belajar mendalami ilmu agama dan
isteri pula perlu ambil tahu dan memahami kenapa
poligami diharuskan, dalam keadaan apa ia
diharuskan dan dalam suasana bagaimana ia tidak
harus.

``Sekurang-kurangnya, ia merupakan jalan
penyelesaian terbaik kepada kedua-dua belah
pihak,'' ujar Jawiah mengenai sikap golongan
wanita mengenai tindakan suami yang berkahwin
lain.

Walaupun tidak memerlukan keizinan isteri pertama,
alangkah baiknya kalau suami dan isteri duduk
bersama untuk berunding. Suami wajar memilih waktu
dan cara yang sesuai agar perasaan isteri tidak
terluka.

Dari segi Enakmen Keluarga Islam, lelaki yang
hendak berkahwin lain perlu mendapatkan kebenaran
Mahkamah Syariah. Mahkamah akan melakukan
siasatan dan memanggil isteri pertama untuk
memastikan sama ada suaminya layak dan mampu untuk
berkahwin lain.

``Jika mahkamah telah memberi kebenaran kepada
suaminya untuk berkahwin lain, si isteri perlu
memahami kehendaknya dan jangan lakukan
perkara-perkara yang memudaratkan seperti
menyimbah asid kepada suami atau sebagainya.

``Selain itu, suami juga perlu pandai memujuk,
jangan sampai mengganggu perasaannya, jauh sekali
untuk menganiaya isteri atau mencederakan isteri
yang tidak membenarkannya berpoligami,'' nasihat
beliau agar isteri menjaga maruah dengan baik dan
suami pula menunjukkan sifat sewajarnya sebagai
seorang lelaki dan suami yang ditugaskan menjaga
dan memimpin isteri.

Lelaki perlu memahami sikap wanita yang suka
cemburu dan tidak suka berkongsi kasih dengan
wanita lain. Amat penting jika lelaki berusaha
mencari jalan terbaik bagi menghilangkan sikap
tersebut dan menanganinya secara bijak.

``Saya tidak nafikan, terdapat sesetengah wanita
yang berpendirian lebih baik hilang suami daripada
berkongsi kasih dengan wanita lain. Dengan itu,
carilah jalan terbaik, pandang ke hadapan dan
fikirkan masa depan anak-anak dan keluarga,
lebih-lebih lagi fikirkan dosa dan pahalanya
kerana perkahwinan adalah sunah dan wajib
dipelihara dengan sebaik-baiknya,'' tegas Jawiah.

Beliau juga berpendapat bahawa poligami dapat
ditangani dengan mudah sekiranya permulaannya
adalah baik dan tidak menimbulkan huru hara. Jika
semuanya berjalan dengan sempurna, tidak timbul
sebarang masalah sama ada dari pihak suami mahupun
isteri.

1 comment:

HAMDEN YAHAYA said...

Selepas saya membaca nota anda, saya faham dan setuju bahawa sesiapa MUSLIM, lelaki dan wanita, yang bercadang hendak melansungkan pernikahan poligami mestilah belajar ILMU.

ILMU tersebut adalah ISLAM sebagai agama. Ertinya, bukan belajar agama yang agama itu seperti ISLAM misalnya pendapat sendiri ditafsir seperti agama lalu dianut dan diamal sendiri.

Berkait suami yang tidak [akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (apabila kamu mengahwininya)], maka kahwinilah wanita-wanita(lain) yang kamu senangi; dua, tiga atau empat.

Ternyata suami yang akan dapat berlaku adil sahaja dibenar bernikah poligami. Suami yang tidak akan dapat berlaku adil hanya dibenar bernikah monogami.

Apa yang ditekan/dianjur adalah ADIL. Olih itu,ILMU ADIL yang perlu dipelajari suami dan calon isteri yang mahu pernikahan poligami dilansungkan.

Apakah ILMU ADIL itu. Kalau dikaji nota anda, ILMU ADIL itu ialah cara [lelaki yang beragama Islam boleh berkahwin tidak melebihi empat isteri. Paling utama, mampu berlaku adil
kepada isteri-isterinya, sama ada adil dari segi layanan, giliran, nafkah dan yang berkaitan dengan
tanggungjawab suami kepada isteri]

Pertama, CARA MUSLIM
Kedua, CARA LAYANAN
Ketiga, CARA GILIRAN
Keempat, CARA NAFKAH

Kalau sekadar cara itu sahaja, ia sememangnya tidak cukup, belum cukup.

Belum juga cukup kalau ditambah dengan CARA FAHAMAN seorang isteri dan semua isteri.

Kita perlu menyedari bahawa pehak yang bakal melansung pernikahan poligami itu ada 2 pehak iaitu pehak lelaki dan pehak wanita. Tetapi, anda lebih menyedari pehak lelaki dan lansung tidak menyedari pehak wanita. Disini, anda sebenarnya tidak lah adil karena cenderong pada satu pehak manakala pehak lain diabaikan sahaja.

Pada saya, ADIL itu adalah pengurusan institusi demi pentadbiran individu. Sememangnya setiap individu mempunyai pentadbiran. Ertinya, suami ada pentadbiran dan isteri pun ada pentadbiran demi membangun peribadi masing-masing.

Apabila pernikahan poligami berlansung, setiap pentadbiran individu tersebut digabong dengan pentadbiran peribadi suami. Ia dimulai dengan muafakat dan pengurusan.

Sebuah keluarga adalah sebuah institusi sebenarnya. Sama seperti sebuah persatuan/ pertubuhan. Kalau persatuan terdapat keahlian, maka dalam KELUARGA POLIGAMI pun ada keahlian. Siapakah keahlian didalam KELUARGA POLIGAMI kalau lah bukan setiap orang isteri yang telah diterima nikah mereka olih seorang suami.

Apabila pengurusan dan pentadbiran itu dirujuk kepada CARA MUSLIM, saya pasti ia dirujuk pada RUKUN IMAN.

RUKUN IMAN itu sebenarnya struktur pentadbiran institusi. Apa maksud saya sebenarnya. Maksud saya setiap institusi mistilah mempunyai KETUA yang bolih berfungsi secara menyeluruh keatas semua urusan keahlian.

Seorang KETUA dibantu olih MAJLIS(kabinet para petugas). Ertinya, suami yang jadi KETUA tidak lah dibenarkan bertindak sesuka hati atau sewenangnya melainkan terdapat petugas. Isteri ialah petugas didalam KELUARGA POLIGAMI. Mereka ini memberi dan menyelia khidmat secara peribadi didalam keluarga. Modelnya ialah 10 malaikat yang ada fungsi sendiri yang diizinkan ALLAswt pada mereka yang mentadbir seluruh alam termasuklah bumi ini.

Demikianlah seterusnya yang anda lebih maklum menurut apa yang terkandung pada RUKUN IMAN itu.

Sebenarnya pentadbiran dan pengurusan itu kini terdapat pengajiannya di universiti/IPT. Mereka yang lulus pengajian ini ditakrif sebagai profesional. Olih itu, suami yang mahu melansung pernikahan poligami mestilah seorang profesional, bukan sebarang orang dan tangkap muat apa saja.

Kalau begitu, suami yang akan dapat berlaku/berbuat ADIL adalah suami MUSLIM profesional.

Masaalah pernikahan poligami sekarang adalah isteri yang jadi petugas KELUARGA POLIGAMI itu tidak profesional. Mereka tidak tahu lansung fungsi dan khidmat mereka sebenar. Olih itu, mereka tidak bertindak betul lalu menyusah/mendesak KETUA mereka seperti orang suruhan.

SEKIAN

Free MP3s