Boroi Petanda Bahaya
Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my
SETIAP kali membeli barang keperluan untuk diisi dalam rak dapur,
penulis menghabiskan banyak masa cuba memahami makna label
yang sehalus semut untuk mengetahui kandungan barang dibeli.
Lama membelek dan membandingkan dua tiga jenama, termasuk
yang baru di pasaran, akhirnya penulis mencapai barangan lebih
popular di arena iklan dan maklumat pada label ditolak ke tepi - kerana
tidak faham.Bertanya kepada rakan, rupa-rupanya penulis tidak
bersendirian.
Ramai juga tidak ‘berapa tahu’ makna terselindung di sebalik senarai
panjang bahan, terutama nama saintifik seperti tertera di bungkusan
pembalut.
Pakar Diet Weight Management Information Center Berhad (WMIC),
Lee Ching Li, berkata kurang faham mengenai maklumat pemakanan
pada barang dibeli menyebabkan ramai gagal menurunkan berat
badan, walaupun kurang makan.Malah, tidak kurang merungut dan
berputus asa melihat jarum penimbang menunjukkan angka lebih
besar sebelum mereka mengamalkan diet dan hanya makan makanan
terpilih.
“Bahan yang terkandung dalam makanan disenaraikan mengikut
kuantiti. Bahan yang ditulis dulu atau pada kedudukan teratas,
kuantitinya paling banyak. Jika tidak ditulis beratnya pun, kita masih
boleh buat anggaran kasar.“Caranya mudah. Contohnya kandungan
gula. Semua perkataan berakhir dengan -sa seperti sukrosa, glukosa,
maltosa atau fruktosa adalah gula. Madu, gula tebu, susu pekat,
molasses dan sebarang sirap buah juga adalah gula.
Jadi kiralah berapa kali nama-nama ini ditulis.“Begitu juga lemak.
Perkataan minyak, lemak dihidrogenkan separa atau penuh, lemak
sayuran, mentega, marjerin, lelemak, lemak konfeksionari atau lemak
gantian semuanya membawa makna sama: lemak.“Nama saintifik
memang boleh mengelirukan kita, tetapi ambil cara yang mudah. Ingat
perkataan yang berakhir dengan -sa adalah gula dan semua sodium,
tidak kira apa jenisnya adalah garam,” katanya.
Perkara kedua penting untuk diberi perhatian adalah saiz hidangan.
Boleh dikatakan hampir semua makanan kini disertakan dengan saiz
hidangan yang dicadangkan pengeluar bersama peratusan kandungannya
dan jumlah kalori.
Jika ditulis satu hidangan bersamaan tiga keping biskut atau 250 mililiter
jus buah, bermakna kita disarankan makan tiga keping biskut saja atau
minum 250 mililiter jus sehari.“Jika kita makan enam keping biskut,
bermakna kita makan dua hidangan.
Kandungan lemak dan gulanya mungkin jauh lebih tinggi daripada
sepinggan nasi. Ini antara punca ramai gagal menurunkan berat badan,
walaupun mereka tidak makan nasi,” katanya.
Pengarah Eksekutif WMIC, Pauline Low, pula berkata pengurusan berat
badan perlu bermula sejak kecil, seawal mungkin dengan mengamalkan
pemakanan seimbang dan kerap bersenam kerana ketika ini anak lebih
mudah dilatih.
Lebih penting, ibu bapa perlu menjadi teladan terbaik kepada anak-anak.
Caranya juga mudah iaitu kurangkan makan di luar, sebaliknya masak
sendiri makanan anda dengan memilih resipi menyihatkan serta kurangkan
makanan diproses (seperti nugget, daging burger, sosej, biskut).“Jangan
jadikan ‘makanan’, terutama makanan segera, sebagai hadiah untuk anak
atau diri sendiri. Kunjungan ke restoran makanan segera pula tidak
seharusnya menjadi aktiviti yang ditunggu-tunggu anak-anak.
“Sesekali makan di luar itu bagus untuk mengeratkan ikatan keluarga,
tetapi ajarlah anak memilih sajian menyihatkan. Contohnya, mi sup jauh
lebih menyihatkan daripada mi goreng atau galakkan anak memilih
hidangan yang banyak serat kerana ia cepat mengenyangkan,” katanya.
Bimbang dengan peningkatan kanak-kanak obes, Low berkata, ibu
bapa perlu membawa anak mendapatkan pemeriksaan untuk memastikan
ia bukan disebabkan masalah kesihatan.
Bagaimanapun, kanak-kanak tidak perlu mengamalkan diet kerana
mereka, terutama yang aktif, memang banyak menggunakan tenaga.
Namun, ibu bapa hendaklah mengawal pertambahan berat supaya
seimbang dengan ketinggian.
Penjagaan berat badan, khususnya bagi anak obes, adalah tanggungjawab
seisi keluarga. Maknanya, bukan saja daripada segi pemilihan makanan
seimbang, tetapi turut membabitkan kegiatan harian yang aktif dan
selalu bersenam.
Lebih baik jika ia dijadikan aktiviti keluarga bagi mengurangkan anak
menghabiskan terlalu banyak masa di depan komputer dan televisyen.
Individu yang mengalami masalah berat badan juga boleh mendapatkan
khidmat nasihat percuma daripada pakar pemakanan di WMIC, selain
menjalani analisis berat dan kandungan lemak dalam badan.
Tiga kaedah digunakan iaitu melalui penentuan Indeks Jisim Tubuh
(BMI), saringan kandungan lemak badan dan ukuran pinggang yang
disaran dilakukan setiap bulan.
Mengapa ukuran pinggang juga penting? Individu boroi perlu ambil
perhatian. Boroi bukan saja tidak cantik, tetapi ia petanda bahaya. Ini
kerana kebanyakan organ penting ada di sini dan kehadiran lemak
berlebihan boleh menjejaskan fungsi organ berkenaan lalu menimbulkan
pelbagai masalah kesihatan.
“Tiada jalan mudah untuk kurus. Ia perlukan masa, kesabaran dan
disiplin menjaga makan serta bersenam. Jangan terpengaruh dengan
iklan ubat kurus badan, terutama pil dan herba yang tidak diiktiraf
kerajaan.“Jika masih mahu ambil pil kurus, pastikan ia di bawah seliaan
doktor. Berbincang dengan doktor mengenai hal ini dan pastikan juga
anda faham kesan sampingan setiap ubat. Jangan bahayakan kesihatan
semata-mata ingin cepat kurus,” katanya.
Monday, April 11, 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment