Tajuk : Iktibar sebuah kisah
Pengguna : Salman
Tarikh : 2005-04-01 11:30:38
Assalamu'alaikum
Sekadar merenung kembali peristiwa hitam yang berlaku pada
11 April 1993. Kisah yang berakhir dengan sorak keriangan
kumpulan yang menang dan kesedihan sahabat yang
memperjuangkan kebenaran. Ramai yang terpinga-pinga dan
bertanya apakah sebenarnya peristiwa, kerana sebilangan besar
daripada mereka adalah generasi yang masih muda, namun
tidak kurang yang turut melahirkan kedukaan yang sama.
Apa yang jelas pada petang yang muram itu, bahtera layar yang
selama ini dipelihara sebegitu cermat, dicemari dengan strategi
kotor dan perancangan hina. Ramai sungguh bidak-bidak
dipergunakan untuk memastikan teraju bahtera beralih
tangan. Sedangkan bidak-bidak tersebut ramai yang masih
belum mengerti bahawa diri mereka sedang ditunggangi untuk
memenuhi cita-cita golongan tertentu.
Usaha yang berterusan walau begitu hina tujuannya, jika
ditakdirkan berjaya pasti akan berjaya. Demikianlah kisah
pada hari tersebut.
Sejarah merakamkan rasmilah bahtera beralih kepimpinan.
Belum sempat hilang kesedihan, tampil Nakhoda berdiri
megah mengumumkan satu lagi bahtera pengiring perlu
dimansuhkan. Sekali lagi mereka menyorak kegembiraan.
Sekali lagi para sahabat merenung jauh memikirkan nasib
sebuah perjuangan.
Sebagai pemerhati, hati tertanya-tanya masih adakah esok
dalam perjuangan ini. Diri ini tidak pasti kerana jika ingin
digambarkan kegirangan yang terpancar diwajah mereka,
pastinya hala tuju perjuangan jauh dari landasan sebenar.
Hampir semua sahabat tunduk kesedihan seolah-olah
menerima khabar kematian. Mereka hampir kehilangan punca
dan kekuatan. Lesu dan pilu. Namun demi untuk meneruskan
langkah yang ada, ramailah yang bernaung dibawah semangat
dan kekuatan Bonda.
Di situlah bersemaraknya kembali semangat, keyakinan
dan tenaga.
Masa yang berlalu menjangkaui dasawarsa. Janji balasan Tuhan
pasti akan berlaku. Mana mungkin kekejian beroleh
kebahagiaan. Mana bisa keluhuran beroleh kekecewaan.
Terbaru kita dikhabarkan dengan pincangnya sebahagian
bahtera lawan. Ini bukan tohmahan. Ini adalah perkhabaran
benar. Jika dahulu bahtera yang mereka lobakan, pasti kini
bahtera jugalah yang telah menimbulkan kerumitan.
Tanggung sendiri akibat dari ketelanjuran. Bagi kita yang masih
setia bersama, jangan dipandang kepincangan ini dengan
kesumat dan dendam.
Insaflah kerana tidak mustahil akan berlaku juga ke atas kita
andainya alpa.
Tiada sebab tanpa musabbab. Kepincangan yang berlaku
di pihak sana bukan tidak sengaja. Bahkan berani diri ini
katakan bahawa semua ini berlaku berpunca dari kekurangan
mereka juga.
Mereka sebenarnya tiada upaya. Mereka terlalu sibuk
menyusun pelan rangka menentukan arah tuju bahtera setelah
ketiadaan Nakhoda tua. Walhal itu semua adalah irama
muslihat yang dialun agar cita-cita penangguk di air keruh
terlaksana.
Ramai sungguh yang terhibur. Tidak kurang juak-juak yang
bercakaran dalam keasyikan dendang irama hingga terlupa
dengan tujuan perjalanan. Penangguk di air keruh tersengeh
memperlihatkan kedangkalan.
Itu mereka. Apa yang nyata bagi kita ialah kebendaan bukanlah
matlamat yang diburu. Kenikmatan harta dan tinggalan pusaka
jauh sekali dari impian. Kita amat cenderung untuk menggali
nilai khazanah ilmu buat pengisian.
Kita terlalu merindui ajar nasihat dari Panrita yang bangkit
mengepalai perjalanan. Biarlah orang lain bersusah dalam
mempertahankan benda. Benda akhirnya binasa. Namun kita
sewajarnya berpayahan dalam menambahkan ilmu di dada.
Dengan ilmu martabat diangkat maruah terpelihara. Lantaklah
orang lain berpesta diawal waktu asalkan kita berbahagia
menghampiri matlamat yang makin nyata.
Bahtera kita semakin gagah merentas gelombang dan arus.
Panrita selaku Nakhoda, memegang erat kemudi menuju
destinasi pasti. Pelayaran kita penuh kegemilangan.
Pengalaman emas silam membolehkan kita mengharungi
kesusahan dengan tenang dan tabah. Itulah sikap kita. Semakin
jauh kita menempuh kematangan usia, semakin banyak
khazanah terkumpul buat bekalan sepanjang perjalanan.
Teruskan pelayaran. Jangan ditoleh kebelakang secara
keterlaluan. Bukalah minda, tundukkan jiwa. Bertindaklah
secara matang dan berani.
Insyaallah kita akan terus diberkati.
SALMAN
-------------------------------------------------------------
Sambungan benang oleh Ana
-------------------------------------------------------------
Tajuk : Senafas Seudara
Pengguna : Ana
Tarikh : 2005-04-01 15:41:00
Aduhai seribu kisah. Bahtera dibawa berlayar dihala entah
kemana. Pernah dilaungkan kegemilangan itu pasti, tapi yang
pincangnya tahun tidak dikenalpasti. Confirm ia bukan pada
masa ini. Perkhabaran di terima sehingga ke Menteri menjadi
perbualan apa sebenarnya telah terjadi. Tapi itu tidak relevan
lagi untuk dipedulikan. Lantaklah walau karam dipukul ombak
sekali pun.
Tanpa usaha mana mungkin tempa kejayaan. Tanpa
kebenaran mana mungkin ada keberkatan. Hadir kita berserta
usaha dan kebenaran melonjakkan kita ke tangga kejayaan.
Nyata dan benar itu hakikatnya.
Namun, tinggi tangga kejayaan, senang lagi untuk
diperhatikan. Peringatan awal dialunkan untuk menangkis
segala dugaan yang bakal melanda. Biar nasi tak dingin , pinggan
tak retak.
Adat musuh, gagal disorak gembira, sakit hati bila dilihat
berjaya. Kita bersedia, jangan melampau kerisauannya.
Nakhoda jelas perjalanan, pengikut pula setia dibelakangnya.
Memang jauh sudah perjalanan, tapi jauh lagi perjalanan kita
kehadapan. Senafas seudara diterjemahkan, menjadi ujian
ketika pelayaran. Apakah semua bersedia menghadapi
harungan atau mungkin sekadar laungan. Doa iringan kita
panjangkan mengukuhkan semangat mancapai matlamat
perjuangan.
Senafas seudara jangan hanya menjadi laungan. Kata biarlah
dikotakan. Nakhoda yang satu jangan bisa kita ragukan.
Eratkan hubungan itulah pukulan bagi musuh yang sentiasa
memporak perandakan keadaan.
Benar bicara Salman. Khazanah ilmu banyak terkumpul
menjadi bekalan. Biarlah ada pengisian sepanjang perjalanan.
Kata pujangga, orang menunggu perigi, tiada akan mati
kehausan. Hanya kita yang gagal berikhtiar dan berusaha.
Selamat maju jaya bersama.
Salam bahagia dari saya Ana.
Sunday, April 03, 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment