Bismillah [hidayahnet] Edisi KL: Awasi e-mel kiamat suria
insani Fri, 10 Jun 2005 01:30:27 -0700
KUALA LUMPUR: Ramalan berlaku kiamat ketika gerhana
berpasangan Oktober ini yang diedarkan melalui e-mel dalam
laman web forum tempatan hanyalah andaian semata-mata.
Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, berkata umat Islam
perlu menolak ramalan itu yang bertujuan merosakkan akidah
mereka. Katanya, mereka perlu berhati-hati apabila membaca
e-mel berkenaan dan jangan mempercayainya.
"Hari kiamat perkara ghaib yang sebenarnya berada di bawah
ilmu Allah. Sesiapa pun tidak tahu sedangkan Nabi sendiri pun
tidak tahu bila hari kiamat. "Sudah banyak ra malan
sedemikian
dibuat dari semasa ke semasa dan dilakukan sejak zaman Nabi,
tetapi tidak pernah terjadi. Nabi pernah menyatakan tukang
nujum itu bohong, walaupun ada kejadian yang betul tetapi ia
hanya kebetulan," katanya.
Menurutnya, penyebaran e-mel itu adalah perbuatan pihak yang
ekstrem atau berniat memesongkan akidah umat Islam.
"Manusia mempunyai akal yang terbatas jangkauannya. Jangkauan
manusia ke angkasa lepas masih lagi terbatas. Kemampuan
manusia mengetahui bila berlakunya gempa bumi juga terbatas. Hal
seperti Tuhan, malaikat, qada dan qadar bagi akal manusia juga
terbatas," katanya.
Harussani berkata, perbuatan mengedar e-mel itu mungkin
dibuat pihak tertentu yang berniat memesongkan kepercayaan umat
Islam. "Jika pengarangnya mendakwa ramalan itu berdasarkan
sebuah kitab, apakah ia benar kerana kita tidak pernah
ditunjukkan
kitab itu.
"Apa pun, saya nasihatkan penerima e-mel berkenaan supaya
jangan percaya kandungannya, tetapi boleh mengambilnya
sebagai
iktibar untuk kita bersedia menghadapi hari itu. "Banyakkan
amalan mulai sekarang, ikhlaskan hati ketika beribadah dan
baiki perangai kerana semuanya tidak mustahil," katanya
ketika mengulas pengedaran e-mel bertajuk 'Tahun Gempar 2005' itu
yang meramalkan hari kiamat akan berlaku selepas fenomena
gerhana berpasangan pada Oktober.
Ia disebarkan sejak awal tahun lalu menerusi laman web forum
tempatan.
Antara kandungan e-mel itu, manusia akan menghadapi konflik
besar selepas kematian pemerintah Arab Saudi sekarang. Sebaik
saja kematiannya, manusia akan dikejutkan dengan peristiwa
langit yang menakjubkan pada Ramadan yang juga Oktober tahun
ini.
Peristiwa langit yang didakwa akan berlaku adalah fenomena
gerhana berpasangan pada satu bulan, tahi bintang jatuh di
Amerika Syarikat menyebabkan kemusnahan teruk.
Sementara itu, Pensyarah Ilmu Falak Syarie di Institut Agama
Islam Negeri Kedah (Insaniah), Abdul Ghani Salleh, berkata
fenomena gerhana berpasangan sudah banyak berlaku dalam
takwim Islam dan banyak pihak cuba mengambil kesempatan daripada
kejadian itu.
"Fenomena gerhana berpasangan iaitu gerhana matahari dan
bulan yang berlaku pada satu bulan tiada kaitan dengan petanda
akhir zaman. Ini kerana ia sesuatu kejadian semula jadi ditetapkan
hukum Allah.
"Kejadian gerhana tidak ada kena-mengena dengan petanda akhir
zaman. Apa yang didakwa dalam e-mel itu hanya rekaan kerana
ingin menipu umat Islam dengan mengambil kesempatan daripada
fenomena gerhana berpasangan," katanya.
Oleh itu, bagi mengelakkan diri ditipu, teraniaya atau
dizalimi golongan yang cuba mengambil kesempatan, umat Islam
wajar mengetahui ilmu falak syarie, terutama berkaitan fenomena
gerhana berpasangan.
Beliau berkata, pengarangnya mungkin berniat negatif untuk
menakutkan umat Islam, misalnya, meramalkan peperangan
berlaku pada bulan haji supaya mereka takut ke Makkah.
Abdul Ghani berkata, memang ramai bertanya kepadanya
mengenai hal berkenaan, namun mereka yang tidak
mendalami ilmu falak syarie mudah salah faham dan terpedaya.
Katanya, berdasarkan hitungan falak tahun ini, ada empat
kejadian gerhana tetapi tiada yang berlaku berpasangan pada
Ramadan.
"Kejadian gerhana terbaru adalah pada April lalu iaitu
gerhana matahari pada 8 haribulan dan gerhana bulan pada 24
haribulan.
"Berikutnya, gerhana matahari pada jam 4 petang, 3 Oktober
tetapi tidak kelihatan di Malaysia kerana ia akan melalui
Utara Afrika dari Lautan Atlantik seterusnya ke Gibraltar dan
Somalia sebelum ia mati di Lautan India, manakala gerhana
bulan pada 17 Oktober jam 8 malam tetapi hanya 28 peratus
saja boleh dilihat," katanya.
Beliau berkata, ilmu falak syarie penting kepada umat Islam
kerana ia menerangkan mengenai hakikat alam dan kaitannya
dengan perlakuan ibadat. Mendalaminya boleh dianggap satu
ibadat kerana ia dapat menimbulkan rasa keinsafan dan
mendekatkan diri kepada Allah.
"Namun, apa yang dikesalkan generasi muda sekarang
seolah-olah tidak berminat mempelajarinya dan jika ada
pun hanya separuh jalan, sedangkan pengkajian dalam ilmu
ini membolehkan ibadat solat,puasa dan haji dijalankan
dengan sempurna kerana masa yang menjadi syarat sah
kepada ibadat berkenaan dapat ditentukan seperti yang
dikehendaki," katanya.
Sunday, August 21, 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment