Blogger Template by Blogcrowds

 
   

Monday, April 11, 2005

Kahwin Cepat - Yang Berkat Jadi Mudarat?

Kahwin Cepat - Yang Berkat Jadi Mudarat?

InsyaAllah ..boleh buat panduan... Baca la..interesting..bnyk
yang kita tak tau..

Majlis akad nikah itu baru sahaja selesai. Saya dan
beberapa orang sahabat masih menikmati minuman ringan
yang disediakan oleh pihak tuan rumah.

Tiba-tiba seorang lelaki tua yang memang saya kenali
menarik tangan saya dan bertanya, "Kenapa orang
sekarang kahwin lambat sangat?"

Saya lantas bertanya, "Tuk dulu kahwin cepat?"

"Umur 15 tahun, nenek kau dah dapat anak seorang..."

Terbayang anak perempuan saya yang menuntut di
tingkatan 5 sekarang.

Sukar nak membayangkan betapalah di usia itu dia sudah
mempunyai anak. "Bahagia Tuk?"

"Tak bahagia apa... anak Tuk 12 orang!"

Terhibur saya berbual dengannya, semuanya diukur
dengan angka. "Saya berkahwin pada umur 21 tahun.
Waktu tu masih menuntut lagi, orang heboh saya tak sabar,"
adu saya tanpa dipinta. Sengaja mengundang reaksi.

"Tak sabar? Pelik, kalau zaman Tuk, tu kira terlajak dah tu!"

"Betulkah saya tak sabar, Tuk? " tanya saya semacam
mengusik.

"Eh, taklah. Kalau nak buat baik, eloklah cepat. Selamat
dari maksiat. Kalau betul tak sabar, Tuk ni lagilah tak sabar
... umur 17 tahun dah kahwin, heh, heh, heh..."

"Setuju tak Tuk kalau dikatakan soal kahwin ni bukan soal
cepat lambat, tapi soal dah bersedia atau tidak?"

"Setuju. Tapi kena hurailah maksud persediaan tu..." tajam
Tuk membalas. "Kalau ikut pandangan Tuk, apa agak-agaknya
persediaan tu?"

"Soal ni tak boleh agak-agak... Mesti tepat."

Terkedu saya dibuatnya. Tuk ni bukan sebarang orang.

"Maksud bersedia bukan sahaja dari segi umur... Asal akil
baligh dah boleh kahwin. Bukan sahaja diukur oleh badan
yang sihat, pendapatan yang cukup, tapi yang penting
kematangan diri... Ertinya, seseorang yang nak kahwin mesti
dah mula dapat berfikir dengan baik, dah boleh sedikit
sebanyak kawal perasaan, dan jiwa tu sikit-sikit dah agak
tenang."

Saya menung panjang. Tertikam di sudut hati petanyaan,
sudahkah saya matang sewaktu mula berkahwin dahulu?

"Jangan menung... Tuk cuma kata, dah sedikit sebanyak
matang. Tak payah tunggu matang betul... nanti tak kahwin
pula!" usik Tuk seperti dapat membaca fikiran saya.

Walau tanpa ijazah, Tuk sebenarnya sedang menjelaskan
asas kebahagiaan rumah tangga yang kadang kala tidak
dapat ditimba di mana-mana menara gading.

"Macam mana nak matang?" tanya saya perlahan. Malu
rasanya untuk diajukan soalan sedemikian di usia 40-an ini.
Terasa terlambat!

"Tentulah dengan ilmu. Dulu Tuk dan kawan-kawan... umur
sebelas tahun dah khatam Quran. Dah selesai belajar ilmu
fardu ain. Rukun, sah, batal dan lain-lain ilmu asas dah OK.
Bila sudah baligh buka kitab Muhimmah, baik lelaki, baik
perempuan. Dah diterangkan tanggung jawab suami, isteri
dan asas-asas kerukunan rumah tangga."

"Itu sahaja? Ilmu lain?" soal saya pendek.

"Eh, perlu. Mesti ada ilmu untuk cari rezeki. Yang otak baik,
jadilah guru, pegawai kerajaan... ikut keadaan zaman tulah.

Tuk ni tak nasib baik... kerja kampung sahaja, guna tulang
empat kerat, buka tanah. Itulah dusun yang Tuk kutip
hasilnya sampai sekarang ni..."

"Tapi sekarang Tuk dah senang. Dengarnya dah dua kali
naik haji."

"Tak senang. Tapi mudah-mudahan... tenang. Tulah doa Tuk,
biar hidup kita tenang."

"Agaknya sebab kurang matang nilah orang sekarang kahwin
lambat?" cuit saya, kembali ke tajuk asal.

"Ni agak Tuklah. Budak sekarang tak macam dulu. Mereka
ni macam lambat matang. Kalau dulu umur 13 dah boleh
pikul tugas. Dah berdikari, dah boleh harap jaga emak bapak.

Setakat jadi imam dan baca berzanji tu lancar... tapi
sekarang lain, umur dah 23 tahun pun masih bergantung
kepada emak bapak. Nak jadi imam? Jauh sekali."

Terbayang kekesalan di wajahnya. Dia menyambung, "Sekali
tu Tuk tengok betul-betul dengan mata kepala ni macam
mana seorang bakal pengantin tersekat-sekat mengucap
kalimah syahadah depan tuk kadhi.

Bila tanya rukun sembahyang, geleng kepala. Yang
dihafalnya rukun nikah saja..."

"Kalau macam tu macam mana?"

"Baik tak usah kahwin. Macam mana dia nak pimpin isteri
dan anak-anaknya nanti? Tu baru ilmu yang paling asas,
belum lagi ilmu... apa orang kata... ... parenting skill."

"Tuk pun tahu parenting skill?"

"Sekarang ni macam-macam sumber ilmu ada. Di radio, tv,
ceramah, buku-buku... ah, macam-macam."

"Tapi Tuk, kalau tak kahwin pun susah juga... Nanti terjebak
dengan maksiat," kilas saya.

"Tulah, ajaran Islam ni macam mata rantai. Lepas satu
disambung satu.

Bermula dengan yang paling utama, diikuti yang kedua,
ketiga dan seterusnya... Ilmu tauhid, fekah dan akhlak perlu
diasak di awal usia.

Diiring ilmu akademik. Jadi, bila dah nak kahwin nanti, ilmu
tu semua dah ada. Persediaan agama ada, persediaan material
ada."

"Macam mana kalau ada yang lambat-lambatkan kahwin
kerana katanya belum bersedia, dari segi material dan
agama?"

"Apapun biarlah berpada-pada. Kalau nak diikutkan ilmu
agama... sampai mati pun tak akan habis dituntut. Cukuplah
sekadar keperluan dulu dan tambah lagi selepas kahwin.

Begitu juga soal material, soal kerja, profesion... Ni pun tak
akan habis-habis. Ukurlah ikut keperluan dan kemampuan
diri. Jangan sampai terlanjut usia sudahlah. Jangan nanti
ilmu ada, matang ada, duit ada, calon pulak tak ada..."

"Tuk lihat macam mana keadaan anak muda masa kini?"
terluncur soalan yang berbau akademik tanpa saya sedari.

"Akibat tak ikut tertib dalam menghayati ajaran Islam,
keadaan jadi agak lintang-pukang sekarang. Yang berkat
jadi mudarat. Tak dikahwinkan, membuat maksiat. Bila
dikahwinkan, tak bertanggungjawab."

"Antara dua keadaan ni... yang mana patut kita pilih?"

"Perlukah kita buat pilihan? Pada Tuk... pilihlah keadaan
yang tidak memaksa kita membuat pilihan!"

Saya terdiam. Kagum. Kata-kata tersirat itu boleh mengundang
seribu wacana para sarjana!

No comments:

Free MP3s