Blogger Template by Blogcrowds

 
   

Monday, February 12, 2007

Perubahan

Saya menulis

Mengulas tulisan saudara Salman, saya rasa aspek yang penting pada diri kita ialah Perubahan. Mereka yang ingin kembali ke pangkal jalan adalah merupakan fitrah semula jadi manusia.

Pada tahap asalnya manusia adalah berada dalam sifat seperti kanak-kanak. Mereka tidak tahu untuk berbohong, memaki-hamun, panas baran atau bersifat nagetif. Sifat mereka amat mulia.

Dalam masa menjalani segi kehidupan, sifat-sifat negatif mula menetap dan mungkin menjadi nilai diri. Mulalah wujud sifat suka menipu, menabur fitnah, melayani nafsu negatif dan berbagai sifat dan sikap yang berada di luar norma kehidupan sebenar sebagai manusia hakiki.

Akhirnya apabila wujud kesedaran, usaha untuk kembali semula ke sifat fitrah manusia yang asal seperti semasa zaman kanak-kanak, mula timbul. Kita ingin kembali memiliki sifat-sifat mulia. Tidak menipu, tidak dibuai dengan hawa nafsu dan pelbagai sifat negatif yang lain.

Bagaimana untuk berubah:

1. Kita perlu mengetahui titik pemulaan. Kalau kita sesat di hutan , perlu tahu di mana tempat kita sesat supaya mudah kembali ke pangkal jalan.

2. Keperluan memiliki ilmu. Seperti kata saudara Salman, "Guru ketika inilah memainkan peranan yang amat penting." Pertautan antara guru dan murid amat penting. Kadang kala peranan Jurulatih boleh diambil kira. *****a sejauh mana jurulatih atau tenaga pengajar dapat memainkan peranannya.

3. Seperti kata saudara Salman,.."harus berikrar untuk mentaati janji. Janji memelihara kebaikan agar sentiasa terpelihara dalam perjalanan hidup." Ini bermaksud kita perlu berazam dengan sesungguhnya untuk berubah dan mengekal serta menguatkan azam untuk perubahan.

Proses menentang diri sendiri yang dianggap kompleks dan sukar itu pada pandangan saya bermaksud juga usaha untuk kembali ke sifat asal kita. Perubahan ini akan berkekalan apabila kita berada dalam alam sekeliling yang membolehkan proses itu berlaku. Semestinya alam persilatan adalah sebagai salah satu altenatifnya.

Oleh itu , di samping ilmu silat yang ingin kita sampaikan, aspek perubahan sifat dan sikap para penuntut kita perlu diambil kita. Kepada jurulatih atau tenaga pengajar, timbalah ilmu dan pengalaman seberapa banyak. Sekurang-kurangnya kita berupaya menjagi agen perubahan di kalangan penuntut kita.

Sekian dan terima kasih.

Tanggungjawab


Saya menulis

Banyak tulisan mengenai ini. Di sini saya tulis lagi untuk meneguhkan lagi tanggungjawab kita. Perkara yang baik biarlah diulang-ulang . Sekurang-kurangnya boleh dijadikan sumber rujukan atau pengetahuan.

Sebagai Tenaga Pengajar, kelas yang dipertanggungjawabkan kepada kita merupakan amanah. Mengurusnya perlu mempunyai komitmen yang tinggi. Kita perlu sering meminta nasihat dan pengetahuan bagi membolehkan kita membuat keputusan yang tepat dan rasional tentang perjalanan kelas. Dalam konteks ini, sentiasalah berusaha mengemaskini pengetahuan dalam bidang persilatan khususnya silat kita sendiri. Ini boleh dilakukan melalui pertukaran pendapat, mendengar ceramah atau melaui pembacaan. Perkara pentingnya ialah kita sendiri suka mengerakkan kelas silat. Janganlah kita merasakan "terhimpit" dengan peraturan-peraturan. Percayalah pada kebolehan diri sendiri.



Penuntut yang menuntut di bawah penyeliaan kita, perlu dilayan dengan sebaik mungkin. Kita perlu mengambil berat perhubungan dengan mereka. Tunjukkan sikap positif terhadap mereka. Dengan ini kita sentiasa ada minat terhadap perkembangan anak didik kita. Pertuturan dan pergerakan silat kita biarlah selari untuk dicontohi . Belajarlah supaya kita mempunyai kemahiran komunikasi yang baik, jelas dan mempunyai suara yang boleh mendatangkan semangat kepada kelas yang kita pimpin. Satu faktor lagi yang amat penting, jangan lupa "keadaan badan" kita. Kita perlu mempunyai bentuk tubuh yang baik. Oleh itu jagalah berat , stimina dan saiz badan. Saya selalu menyarankan agar aspek-aspek tersebut dijaga kerana faktor-faktor itu memberi kesan kepada pergerakan dan semangat kita dalam mengendalikan kelas.

Di samping itu jangan lupa "hak"penuntut kita dalam menuntut ilmu. Pastinya yang utama ialah hak mereka untuk mendapatkan pelajaran silat daripada kita. Amalan ini sememangnya menjadi amalan kita. Yang tertinggal buah, akan tetap kita ulang dan berikan buah. Fahamilah penuntut kita. Sebagai tenaga pengajar, kita perlu mempunyai minat terhadap kebolehan penuntut kita. Kekurangan pengetahuan mengenai seseorang penuntut akan menjejaslkan keberkesanan kita menurunkan buah kepada penuntut tersebut. Ketahuilah kelemahan dan kekuatannya. Di samping itu aspek keselamatan penuntut perlu juga diambil kita. Tetapi ini tidak bermakna kita akan mengubah teknik mengambil buah. Sesuaikan dengan kebolehan penuntut. Jika penuntut itu mempunyai daya tahan dan kebolehan yang tinggi, sampaikan buah dalam bentuk yang sesuai dengan kebolehannya. Kalau perlu "kenakan perasa" sebenar setiap buah dalam SC, silakan. Perkara penting, kita jangan bersifat emosional atau memberi layanan yang berat sebelah walaupun kita mempunyai "sifat berat sebelahnya" sendiri. Dalam satu-satu ketika, utamakan penuntut kita dalam proses penurunan ilmu.

Dalam konteks diri, kita perlu mempunyai sifat yang boleh bergurau dan sentiasa berminat dan bersemangat serta menetapkan mutu yang tinggi pada pencapaian penuntut kita. Ini akan mewujudkan kemesraan dalam kelas. Sekurang-kurangnya akan membantu kesetiaaan mereka belajar hingga tamat. Aspek sabar , bertolak ansur dan yakin pada diri sendiri merupakan amalan yang sebati dengan diri kita. Seorang tenaga pengajar yang baik itu, pengaruhnya adalah abadi. Oleh itu milikilah dan berusahalah mendapatkan sifat sebagai seorang yang bijak, mahir, jujur dan bertimbang rasa kerana merekalah yang utama untuk mendapatkan pelajaran daripada kita. 'Tiada mereka, tiadalah kita'

Jatidiri Ahli Silat Cekak Hanafi


Ada di kalangan ahli-ahli Silat Cekak Hanafi khususnya yang baru tamat belajar Silat Cekak Hanafi dikatakan "cakap besar", "sombong" dan "angkuh". Pesepsi atau tanggapan ini berlaku kerana mungkin ahli-ahli kita ini masih baru dan bersemangat.
Perkara ini sebenarnya adalah satu perkara yang dijangkakan kerana tahap kefahaman mereka pada tahap ini masih belum sampai ke tahap penghayatan. Sememangnya perbezaan yang sangat ketara antara Silat Cekak Hanafi dan seni beladiri yang lain akan mengundang salah faham kepada mereka yang sukar atau tidak mahu menerima apa yang diutarakan oleh Silat Cekak Hanafi.
Kita harus mengingatkan diri kita bahawa perbezaan itu sendiri ada hikmahnya. Ia juga menunjukkan betapa luasnya alam seni beladiri di bumi Malaysia ini.
Kita tidak mengharapkan orang lain memahami kita dan sekiranya orang lain ingin pendapat mereka dihormati, mereka juga harus mempunyai fikiran yang terbuka untuk menerima pendapat kita.
Kita ingin mengingatkan kepada ahli-ahli Silat Cekak Hanafi supaya menjaga disiplin dan sentiasa mempamerkan jatidiri Silat Cekak Hanafi yang sebenar.
Kita ingatkan mereka akan niat mereka mempelajari Silat Cekak Hanafi. Kita ingatkan mereka mengenai hikmah pantang larang Silat Cekak Hanafi dan kita juga ingatkan mereka supaya berlatih bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kemahiran demi kepentingan diri mereka sendiri.
Silat Cekak Hanafi memerlukan ahli yang bersemangat waja, bijaksanan dan berani tampil ke hadapan untuk mempertahankan ugama, bangsa dan negara.

Niat mempelajari Silat Cekak Hanafi.


Niat untuk melakukan satu perbuatan atau amalan adalah satu perkara yang sangat penting dan perlu diberi penekanan. Hukuman bagi setiap perbuatan kita adalah berdasarkan kepada niat yang kita pasang sebelum melakukan perbuatan tersebut. Inilah ajaran Islam.
Atas dasar inilah Silat Cekak Hanafi begitu menekankan perihal niat ini. Setiap orang akan diperbetulkan niatnya semasa majlis ijazah pertama oleh YM Guru Utama.. Silat adalah satu ilmu yang berbahaya. Sebagai guru, YM Guru Utama harus memastikan bahawa Silat Cekak Hanafi tidak disalahgunakan bagi tujuan mungkar. Dan semasa melafazkan niat ini, seseorang ahli itu harus melakukan di atas hamparan kain putih yang suci bersih. Sewajarnyalah niat kita untuk mempelajari Silat Cekak Hanafi harus bersifat suci dan bersih juga.
Niat adalah satu perkara yang penting kerana ia berkait rapat dengan hati. Niat yang baik datangnya daripada hati yang luhur. Kita tidak boleh berbangga atau riak dengan ilmu Silat Cekak Hanafi yang kita pelajari. Kita tidak boleh melakukan perkara mungkar seperti menceroboh, mencuri, merogol dan merompak dengan menggunakan ilmu Silat Cekak Hanafi yang kita belajar. Kita juga tidak boleh sombong, bongkak dan angkuh apabila kita mendapat ilmu Silat Cekak Hanafi daripada YM Guru Utama.
Oleh itu setiap ahli harus memasang niat yang betul untuk mempelajari Silat Cekak Hanafi. Niatnya adalah semata-mata untuk menjaga nyawa sendiri. Niatnya adalah Silat Cekak Hanafi harus digunakan bagi tujuan untuk mempertahankan maruah dan kehormatan diri supaya selamat daripada bahaya yang menimpa semasa diri digugat dan diganggu.
Semuga perjuangan kita diberkati Allah swt.

Pantang Larang Tidak Boleh Menderhaka Kepada Ibu dan Bapa.


Sebagai ahli Silat Cekak Hanafi, antara yang dilafazkan berkaitan dengan pantang larang Silat Cekak Hanafi adalah kita tidak boleh menderhaka kepada ibu dan bapa kita. Apakah yang dimaksudkan dengan pantang larang ini? Ia bermaksud bahawa kita tidak boleh menggunakan ilmu Silat Cekak Hanafi terhadap kedua ibu bapa kita setelah kita mempunyai ilmu ini..
Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa ilmu silat adalah satu ilmu berbahaya yang boleh mengancam jiwa manusia. Maka itu ia tidak boleh disalahgunakan sama sekali atau digunakan dengan sewenang-wenangnya.
Kita tidak mahu apabila sudah pandai silat kita menggunakan silat kita untuk mencederakan kedua ibu bapa kita. Perkara ini bukan sahaja tidak beradap tetapi juga melanggari hukum Islam. Kita akan masuk neraka dan tidak dapat mencium bau syurga.
Kita juga tidak mahu kisah Si Tanggang berulang kembali.
Dengan pantang larang ini kita melahirkan ahli-ahli yang bukan sahaja menghormati kedua ibu bapa masing-asing tetapi juga mentaati mereka selari dengan batasan Islam. Kita tanamkan konsep kenang jasa di kalangan ahli kita kerana jasa kedua ibu dan bapa kita melahirkan kita di dunia ini adalah satu jasa yang sangat besar dalam kehidupan kita.
Dengan cara ini juga kita melahirkan masyarakat yang menghormati ibu bapa yang menjadi tunjang kepada sistem sebuah keluarga yang harmoni. Secara langsung kita menyumbang kepada keutuhan keluarga, masyarakat dan negara yang kita cintai.
Semuga usaha kita ini diberkati Allah swt.
.

Sesama ahli Silat Cekak Hanafi tidak boleh bergaduh.


Perpaduan adalah satu perkara yang sangat penting dalam satu pergerakan termasuk Silat Cekak Hanafi. Mana mungkin kita mencapai perpaduan sekiranya dalam sistem pembelajaran Silat Cekak Hanafi wujudnya "pertarungan" ,"sparring" dan "beradu kekuatan" di kalangan kita? Akan ada ahli yang merasa dirinya lebih hebat daripada rakannya. Keadaan ini tentunya akan menyebabkan ketidakharmonian berlaku dalam pergerakan kita. Ini merugikan kita.
Dalam Silat Cekak Hanafi, kita meletakkan pantang larang sesama ahli Silat Cekak Hanafi tidak boleh bergaduh di antara satu sama lain. Kita ingin wujudkan perpaduan yang jitu dalam pergerakan kita. Kita telah melafazkan ikrar ini semasa majlis ijazah pertama di hadapan YM Guru Utama kita dan kita juga diajar diperingkat tammat melalui kaedahnya kita tidak boleh mengatasi di antara satu sama lain.
Akhirnya kita tahu bahawa dalam Silat Cekak Hanafi, selepas kita tamat, kita adalah sama. Tidak ada perbezaan di antara kita. Kita adalah sama.
Kita tidak mahu peristiwa pertikaian Hang Tuah lima bersaudara yang akhirnya bersengketa di antara satu sama lain berlaku lagi. Satu guru tetapi akhirnya bertelingkah dan salah satu sebabnya ini berlaku adalah kerana tiadanya pantang larang sepertimana yang wujud dalam Silat Cekak Hanafi.
Natijah daripada pantang larang ini adalah kita dapat wujudkan satu pergerakan yang bersatu dan kukuh, kuat dan utuh, satu semangat dan satu hala. Ini akan menguntungkan masyarakat, bangsa dan negara.
Semuga perjuangan kita diberkati Allah swt.

Silat Beladiri

Antara perkara yang Ustaz Hanafi masukkan dalam Silat Cekak Hanafi adalah ciri-ciri mengenai silat berbentuk beladiri berbanding silat yang berbentuk sukan.
Sebagai silat yang berbentuk seni beladiri, perkataan "main silat" tidak wujud. Yang ada adalah perkataan "belajar silat". Begitu juga dengan perkataan "gelanggang" yang tidak digunakan dalam Silat Cekak Hanafi. Silat Cekak Hanafi menggunakan perkataan "tempat latihan silat".
Itu sebab bila kita berada di tempat latihan, kita harus berlatih dengan serius dan tidak main-main dan gurau senda.
Kita harus menumpukan perhatian dan usaha kita ke arah meningkatkan ilmu dan kemahiran kerana Silat Cekak Hanafi adalah pakaian kita untuk menghadapi musuh yang mengganggu kita.
Kita adalah silat beladiri diri bukan silat jenis sukan.

Belajar Silat Cekak Hanafi.


Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa terdapat berbagai ragam manusia yang datang untuk belajar Silat Cekak Hanafi. Bergantung kepada latar belakang masing-masing, ada yang datang dengan niat untuk menjadi "orang kuat" atau "orang handal". Ada yang datang kerana ikut kawan dan rakan. Ada yang datang kosong. Ada yang datang selepas melihat pertunjukan Silat Cekak Hanafi. Ada yang tertarik dengan keterampilan dan jatidiri Silat Cekak Hanafi. Ada yang pernah belajar seni beladiri yang lain samada dalam mahupun luar negeri.
Disebabkan perkara-perkara di atas tentunya pesepsi ahli-ahli baru ini dalam kelas Silat Cekak Hanafi adalah berbeza. Di atas berlainan pesepsi inilah maka harapan atau kehendak mereka adalah berbeza. Ada yang merasakan Silat Cekak Hanafi tidak memberatkan senaman fisikal. Ada yang kata kita tidak memberatkan senaman penafasan dan sebagainya.
Kita ingin jelaskan di sini bahawa tugas tenaga pengajar Silat Cekak Hanafi adalah untuk memberikan buah mata pelajaran setiap kali latihan mengikut silibus. Setiap kali latihan mesti ada buah pelajaran yang diberikan sebagaimana yang dijanjikan. Ini penting supaya Silat Cekak Hanafi dapat dihabiskan dalam tempoh yang telah ditetapkan.
Tenaga pengajar juga harus memberikan latihan yang secukupnya supaya ahli-ahli dapat membuat buah-buah mata pelajaran dengan kemas. Kaedahnya tepat dan cara membuat buah-buah adalah betul.
Tenaga pengajar juga harus boleh mengenalpasti mana-mana ahli yang "lemah" dan berikan tumpuan sewajarnya. Matlamatnya adalah tidak lain dan tidak bukan agar ahli-ahli dapat melaksanakan pergerakan dengan lebih baik demi kepentingan mereka.
Tenaga pengajar harus juga memastikan buah-buah mata pelajaran diberikan selari dengan garis panduan mengajar Silat Cekak Hanafi. Ini penting untuk memelihara kaedah dan keaslian Silat Cekak Hanafi. Mereka juga seharusnya boleh melakukan buah-buah dengan cekap dan kemas serta laju.
Dengan kata lain tugas utama tenaga pengajar sebagai wakil YM Guru Utama adalah untuk memastikan ilmu Silat Cekak Hanafi diperturunkan dengan sempurna. Silat Cekak Hanafi mengutamakan "personal touch".
Aspek-aspek lain seperti senaman, regangan, ketahanan, kepantasan dan kemahiran lanjutan haruslah dilakukan dalam kelas-kelas kemahiran selepas tamat.
Maksud tamat disini adalah segala buah-buah dan mata pelajaran telah diberikan kepada ahli. oleh tenaga pengajar.
Selepas itu terpulanglah kepada ahli-ahli sendiri untuk memahirkan diri kerana ini perlu dilakukan secara berterusan sebab malang tidak berbau. Usaha-usaha untuk menjaga diri perlu dilakukan dan selepas itu barulah kita serahkan bulat-bulat kepada Allah swt.
Kita mahu bila saat genting, kita dapat menggunakan ilmu Silat Cekak Hanafi untuk menjaga keselamatan dan nyawa kita.

Tali pinggang Silat Cekak Hanafi.


Silat Cekak Hanafi menggunakan satu kaedah yang mudah untuk mengenali dan membezakan sesuatu tahap dalam aspek persilatan. Kita tidak menggunakan bengkung. Kita juga tidak menggunakan sistem gred untuk naik taraf sepertimana yang terdapat dalam seni beladiri yang lain
Dalam Silat Cekak Hanafi, kita gunakan warna tali pinggang sebagai pembeza tahap. Bagi mereka yang telah tammat pelajaran Silat Cekak Hanafi, kita membenarkan mereka memakai tali pinggang berwarna putih.
Bila mereka menjadi tenaga pengajar Silat Cekak Hanafi dan ditauliahkan oleh Lembaga Pelajaran & Tatatertib yang dipengerusikan YM Guru Utama, warna tali pinggang mereka bertukar menjadi warna merah.
Dan untuk membezakan antara murid Silat Cekak Hanafi dan Guru Utama, warna tali pinggang YM Guru Utama adalah kuning.
Pada pendapat kita, kaedah ini adalah memadai.

Amanah


Amanah: Beban yang tak terbawa

Diolah dari buku Mempertajam Mata Hati oleh Ibnu Athoillah Assukandari

Allah menjelaskan di dalam al Qur'an bahawa manusia diwajibkan menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya sebagaimana firmanNya:


"Sesungguhnya Allah menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan hukum dengan adil" (al Nisa: 58)


Amanah adalah hak yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang, baik hak itu milik Allah atau hak hamba, baik berupa pekerjaan, perkataan atau kepercayaan hati.


Amanah adalah tanggungjawab yang wajib dilaksanakan oleh orang yang bersangkutan, dan bila tidak dilaksanakan suatu pelanggaran yang berhak menerima balasan Allah. Kerana menunaikan amanah suatu kewajipan, maka orang sufi selalu memperhatikan amanah yang dibebankan kepadanya dan selalu berusaha sekuat tenaga untuk menunaikan amanah itu.


Amanah adalah undang-undang Allah yang harus dilaksanakan oleh yang bertanggungjawab untuk melaksanakannya, dan masing-masing manusia memegang amanahnya masing-masing yang wajib dijalankan.


Rasulullah SAW bersabda:


"Kamu sekalian pemimpin dan kami sekalian akan diminta bertanggungjawabnya tentang apa yang kamu pimpin, imam adalah permimpin dan ia akan diminta pertanggungan jawab tentang apa yang dipimpinnya, orang laki-laki adalah pemimpin dalam lingkungan keluarganya dan ia akan ditanya tentang apa yang dipertanggungjawabkan kepadanya, orang wanita juga pemimpin, dalam mengendalikan rumahtangganya, dan ia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya, pembantu rumahtangga juga pemimpin dalam mengawasi harta benda, dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya". (Riwayat Bukhari)


Dengan demikian menjadi jelas bahawa setiap manusia memikul amanah yang wajib dipegang dengan erat-erat sesuai dengan situasi dan keadaannya masing-masing. Rasulullah SAW bersabda: "Laki-laki adalah dipertanggungjawabkan harta benda ayahnya dan ia akan diminta pertanggungan jawabnya". (Muttafaq Alaihi)


Pengertian amanah di dalam Islam cukup luas, kerana kata amanah dapat diertikan 'tanggungjawab' yang harus dilaksanakan, baik tanggungjawab yang berupa ibadah kepada Allah, yang lebih dikenali dengan sebutan Hablu min Allah, hubungan manusia dengan Allah, atau tanggungjawab sesama manusia, yang lebih dikenali dengan sebutan Hablu min al-nas, hubungan manusia sesama manusia.


Bahkan berat sekali sangsi yang diterima bagi orang yang tidak menunaikan amanah.


Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bersumber daripada Anas ra:

"Tidak sempurna iman seseorang yang tidak menyampaikan amanah, dan tidak sempurna agama seseorang yang tidak menunaikan janji". (Riwayat Ahmad)


Sikap amanah adalah suatu sifat yang diperlukan oleh setiap orang dalam kehidupannya sehari-hari untuk mencapai tujuannya dan memperoleh harapan yang dicita-citakan. Demikian pula suatu ummah atau bangsa tidak akan dapat menegakkan sendi-sendi hidupnya jika sikap amanah tidak terdapat dalam pergaulan sehari-hari di antara sesama anggotanya. Kalau sikap amanah sudah lenyap bererti suatu tanda bahawa akhlaq masyarakat telah rosak, yang akhirnya akan diikuti oleh kerosakan bangsa itu sendiri. "Sesungguhnya bangsa itu terganting pada akhlaqnya, jika rosak akhlaq maka rosaklah bangsa itu".


Kita selalu melihat perbezaan yang nyata di antara orang yang bersikap amanah dan orang bersikap curang dan khianat. Orang pertama selalu menjadi tempat kepercayaan orang yang sangat dihormati dan disegani, sedang yang kedua selalu dibenci orang dan dipencilkan dalam pergaulan sehari-hari.


Agama Islam mewajibkan kepada penganutnya agar selalu bersikap amanah dan tidak sekali-kali meninggalkannya dalam segala hal dan pada semua kesempatan. Kerana amanah adalah suatu unsur penting, bahkan yang menentukan bagi berhasilnya seseorang dalam usaha dan amalnya, begitu berhasilnya bangsa dalam mempertahankan kelestarian hidupnya dan di samping itu semua, Allah menjadikan amanah salah satu sifat hamba-hambaNya yang soleh yang menjadi kekasihNya.


Allah Taala berfirman:


"Maka hendaklah yang dipercayai itu menunaikan amanahnya, dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah" (al-Baqarah: 283)


"Dan orang-orang (mu'min) yang memelihara amanah-amanah dan janji yang dipikulnya" (al-Mu'minun)


Amanah juga merupakan salah satu unsur pembinaan keperibadian yang sempurna.


Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:


"Jaminan bahawa kamu akan melaksanakan enam perkara akan ku jamin syurga bagimu, katakanlah yang benar jika kamu bercakap, tepatilah jika kamu berjanji, kembalikanlah apa yang diamanahkan kepada kamu, pejamkanlah matamu (dari pandangan maksiat), jagalah kemaluanmu (daripada perbuatan zina), tahanlah tangan-tanganmu (daripada melakukan hal-hal yang terlarang)". (Riwayat Ahmad, Ibnu Hibbah dan Albaihaqi)


Meninggalkan sifat amanah dapat menghilangkan pahala ibadah seseorang, bahkan menjadikan orang tidak beragama. Ali krw berkata, "Pada suatu ketika apabila kami duduk bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba seorang penduduk A'liah datang bertanya kepada Rasulullah, 'Ya Rasulullah, beritahukanlah kepadaku tentang kewajipan yang paling berat dan yang paling nudah dalam agama ini'. Kemudian Rasulullah menjawab pertanyaan orang itu:


"Yang paling mudah ialah ikrar bahawa Tuhan hanya Allah dan Muhammad adalah hambaNya dan RasulNya, sedangkan yang paling berat adalah menjadi orang yang amanah. Sesungguhnya tiada beragama orang yang tidak beramanah, juga tidak dianggap solat dan zakat baginya" (Riwayat al-Bazar)


Ruang lingkup amanah itu luas sekali, mencakup seluruh perilaku manusia mempertahankan iman adalah amanah, mengikhlaskan ibadah kepada Allah adalah amanah, bahkan memegang teguh-teguh agama adalah amanah. Allah Ta'ala berfirman:


"Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah (tugas-tugas agama) kepada langit, bumi dan gunung-ganang maka semuanya enggang memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dibawalah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat jahil". (al Ahzab: 72)


Menjaga rahsia adalah amanah, kerana dengan menjaga dan menyimpan rahsia orang bererti menjaga hak dan kepentingan orang lain, bahkan membuka rahsia orang termasuk dosa.


Rasulullah bersabda:


"Jika orang bercakap-cakap seraya menoleh ke kanan dan ke kiri maka itu merupakan amanah".


Rasulullah juga bersabda:


"Tunaikanlah amanah kepada yang mempercayaimu dan janganlah engkau mengkhianati orang yang pernah mengkhianatimu".

Konsep Silat Melayu Asli

Kita sebagai ahli Silat Cekak Hanafi sering ditanya berkaitan apa yang ditakrifkan sebagai Silat Melayu Asli. Kita juga telah diminta dan melakukan lafaz ikrar untuk tidak mencaci mana-mana silat melayu yang asli. Mencaci silat melayu yang asli adalah seperti mencaci diri sendiri atau seperti meludah ke langit.
Us. Hanafi telah menggariskan beberapa kriteria berkaitan perkara ini.
1. Silat Melayu adalah mana-mana silat yang terbit dan yang berasal daripada rumpun Melayu di nusantara.
2. Silat Melayu yang asli adalah mana-mana Silat Melayu yang "original" yang tidak bercampur aduk dengan seni beladiri luar negara.
Dalam Silat Cekak Hanafi, terdapat buah-buah keputusan beberapa silat melayu asli seperti Sendeng, Gayung Fatani, Harimau, Kemanga, Terlak dan Lintau. Buah-buah ini adalah sebahagian daripada sukatan mata pelajaran dalam Silat Cekak Hanafi.
Us. Hanafi sedar bahawa ini akan mengundang kontroversi sekiranya ia disalahfahamkan. Namun beliau tetap mengekalkan nama-nama ini kerana beliau tidak mahu mengubah sejarah atau menipu sejarah. Nama-nama buah Silat Cekak Hanafi inilah yang diperolehinya daripada En. Yahya Said dan beliau mengekalkannya. Ada satu ketika beliau cuba menggunakan kaedah lain seperti menamakan buah-buah sebagai Buah 1,2,3...... atau Buah A,B,C..... tapi ia tidak "menjadi" atau tidak "umph" untuk didengar, difahami dan dilaksanakan.
Intipatinya di sini adalah Us Hanafi tahu bahawa yang mewujudkan Silat Cekak ini (originator) adalah seorang yang pakar dalam silat melayu. Adalah tidak wajar dan tidak baik untuk mengubah sejarah dan keasliannya. Menurut beliau, Silat Cekak ini adalah intisari dan intipati silat.
Maka kita sebagai pengamal Silat Cekak Hanafi harus sedar dan insaf bahawa kita mewarisi satu silat yang bermutu tinggi. Kita berkewajipan untuk menjaga keasliannya. Itu sebab mata pelajaran kita tidak akan berubah setelah Us Hanafi menggubal kurikulumnya. Apa yang dimaksudkan silibus di sini adalah menjurus kepada silibus Silat Cekak Hanafi sehingga peringkat Buah Penamat dan Buah Serang.

Penguasaan Silat Cekak


saya menulis

Penguasaan Silat Cekak.

Satu ketika dulu , dalam pertunjukan, sentuh sikit musuh akan tewas . Sekarang saya perhatikan dalam pertunjukan, pergerakan dengan aksi yang hebat sangat diberatkan. Aksi Silat Cekak adalah teras dalam babak tersebut. Janganlah terasa di hati yang kita hanya cuba memuaskan hati penonton hingga boleh merugikan pergerakan sendiri. Namun, yang penting kita tidak ditertawakan akibat aksi kita yang tidak logik.

Walau bagaimanapun sebagai ahli SCUH,

beratkanlah pelajaran seni SCH itu sendiri. Pastikan penguasaan, kefahaman, ketangkasan dan keyakinan kita terhadap CH benar-benar berada pada tahap maksimum. Kalau tamat setakat enam bulan, maka kebolehan kita setakat itu sahaja. Kalau belajar setakat PMR, kebolehan PMRlah yang kita dapat. Kalau setakat universiti, pelajaran setakat itu pula yang kita dapat. Jangan belajar setakat enam bulan, minat semakin kurang dan kita lupa kepada pembelajaran silat dan tumpuan lebih kepada aktiviti lain. Ini merugikan. Penglibatan biar seimbang.

Ilmu silat merupakan teman setia kita. Dalam keadaan sesak, ia amat berguna. Sekurang-kurangnya ilmu tersebut dapat memberi keyakinan. Keyakinan akan melahirkan sifat berani. Secara logik, apabila kita berani, musuh akan takut. Tidak ada orang lain yang akan membantu. Kalaulah kita takut, musuh akan berani. Perkara penting biarlah keberanian itu berasas. Kita semua diberitahu bahawa Silat Cekak adalah silat yang benar-benar bertanggungjawab, hebat dan dapat mengatasi pelbagai bentuk serangan. Persoalannya, kita bagaimana? Adakah benar kita dapat bertanggungjawab atas diri kita dengan ilmu Silat Cekak yang kita pelajari atau setakat ungkapan sahaja.

Menjadi Tenaga Pengajar merupakan satu langkah yang baik bagi memahirkan diri sama ada secara teori atau praktikal. *****a jangan jadikan diri kita, “umpama lilin yang menyinari sekeliling tapi membakar diri.” Maksudnya, kita melahirkan penuntut yang berkebolehan dalam silat, tetapi kita masih berada di takuk lama. Tiada peningkatan pada kebolehan diri kita. Sepatutnya lagi lama kita “mengajar” silat , lagi tinggi kebolehan kita dari segi kefahaman dan aplikasinya.

Oleh sebab silat itu ‘gerak’, pastikan semasa mengajar, kita memerhati gerak penuntut kita. Hal ini demikian supaya kita dapat mengasuh diri kita untuk membezakan gerak kawan atau gerak musuh. Sambil kita mengajar, kita memikir dan mengkaji. Ini meliputi cara kita menghantar penumbuk, membuat buah, memotong atau bertindak balas. Semuanya mesti dilakukan dalam keadaan berfikir dan waspada. Saya percaya cara ini akan dapat membantu meningkatkan keupayaan dan kemahiran kita dalam persilatan.

Perkara yang paling penting sekali pada pandangan saya, setiap penerangan tentang gerak silat yang kita lakukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran silat, mesti selari dengan perbuatan kita sendiri. Terbukti bahawa penuntut lebih memerhati atau mendapat ilmu melalui perbuatan yang kita lakukan. Sedikit sangat melalui penerangan. Kalau tenaga pengajar tidak selaras dari segi penerangan dengan apa yang dilakukan amat malang kepada penuntut. Saya yakin dan percaya, kalaulah aspek “cakap serupa bikin” sentiasa kita ambil berat, kita akan menjadikan diri kita hebat dalam pesilatan.

Pembentukan Peribadi Penuntut

saya menulis

Pada saya persatuan atau silat semata-mata, tidak dapat membentuk sepenuhnya keperibadian seseorang dalam konteks persilatan. Perkara penting ialah mesti ada orang yang berperanan untuk membentuk peribadi sebagai pemimpin berdasarkan falsafah Silat Cekak. Kita sering mengait-ngaitkan persatuan dan silat sebagai pembentuk peribadi. Itu merupakan harapan kita. Dalam konteks ini, sebenarnya kita memerlukan orang yang berkualiti dan benar-benar faham tentang silat dan dapat menyampaikan falsafah silat ini supaya dijadikan pegangan yang akhirnya akan menjadi sebagai pemimpin pertubuhan.

Sebagai contoh, konsep dalam penyampaian silat.

Pada saya konsep penyampaian Silat Cekak kepada penuntut bukan hanya terhad berdasarkan konsep “ajar” tetapi juga sangat menekankan konsep “pandu” kerana semua pergerakan telah ada pada penuntut. Oleh sebab kurang pengetahuan, adalah menjadi tanggungjawab kita memupuk sikap dan tingkah laku yang telah pun ada pada diri mereka. Kalau kita memegang istilah “memandu”, akan lahirlah sikap menghormati ahli yang sedang belajar. Wujud perbincangan dan usaha untuk menyakinkan penuntut secara rasional. Dengan ini lahirlah satu ikatan sebenar antara ahli Silat Cekak yang sedang belajar dengan jurulatih yang bertindak sebagai pemimpin ketika itu. Secara langsung akan merapatkan hubungan ahli dengan persatuan. Sebaliknya jikalau istilah “ajar” yang hanya kita tekankan, lahirlah sikap menganggap orang lain tidak tahu. Perbincangan mungkin dianggap sebagai mencabar jurulatih. “Jangan tanya, ikut sahaja,” Itulah laungan yang sering didengar. Sebagai pemimpin, saya rasa ini tidak baik. Perasaan tidak puas hati akan berkekalan hingga ke sudah.

Dalam hal ini siapakah yang berperanan untuk membentuk peribadi sebagai pemimpin. Kalau setakat persatuan dan silat sahaja, ini lebih merupakan harapan. Yang pentingnya ada orang yang berperanan untuk membentuk peribadi tersebut. Orang itu mesti faham falsafah dan matlamat Silat Cekak. Silat Cekak mempunyai ciri-ciri keistimewaan yang unik. Orang yang faham sahaja yang boleh menyingkap keistimewaan tersebut untuk faedah ahli. Ahli perlu dilayan sesuai dengan tahapnya sebagai penuntut. Jangan wujudkan suasana tidak puas hati di kalangan mereka.

Untuk mencapai ke tahap Jurulatih yang berkesan, pengetahuan (Ilmu) dan pengalaman amat penting. Banyak kaedah yang telah dibincangkan dalam usaha untuk menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman kepada jurulatih atau tenaga pengajar.

Kita perlu sentiasa bersikap positif. Saya pernah nyatakan bahawa tahap IQ dan EQ penuntut adalah berbeza-beza. "CC" mereka tak sama. Ada yang beribu cc dan ada yang beratus cc. Perhatikan; adakah di kalangan penuntut kita ada golongan cerdik (brilliant) dan bijak (gifted). Mereka mempunyai sikap dan sifat yang tersendiri. Golongan ini apabila diajar, cepat dapat. Pemikiran mereka kreatif dan sentiasa bersikap kritis. Kita perlu pandai melayan karenah mereka. Kadang kala pengetahuan yang kita beri semacam tiada kepuasan kepada mereka. Tetapi kalau betul caranya, merekalah nanti yang akan menjadi eset kepada pergerakan yang kita pimpin. Merekalah nanti yang akan dan boleh membantu kita untuk memaju dan mengembangkan SCH.

Lahirnya Cekak Kerana Kesedaran

Salman menulis

Assalamu'alaikum

Lahirnya Cekak kerana kesedaran
Bukan bermusuh sebagai tujuan

Cekak dizahirkan bersama kesedaran dan iltizam Us. Hanafi untuk membawa perubahan. Ini bukan satu yang mudah. Seiring perubahan pasti ada tentangan. Tanyalah para sahabat beliau yang masih kekal memperjuangkan cita-citanya. Adakah Us. Hanafi sedar bahawa perjuangan yang dibawa bukan kecil anak? Tetapi Hanafi tetap Hanafi. Atas kesedaranlah maka dikumpulkannya ahli demi mempelajari Silat yang tiada nama pada mulanya. Siapa sangka, telah tersemat dilembaran sejarah, di lantai rumah Shafie Darus, Us. Hanafi dan rakan-rakan menerima kaedah yang pertama. Bermulalah langkah untuk merubah sebuah kisah. Lahirnya Cekak.

Ustaz Hanafi cukup sedar bahawa masyarakat Melayu terlalu alpa. Tahyul dan khurafat menjadi satu budaya. Hendak disanggah kurang kekuatan. Terus bertindak kurang upaya. Kalau terus dibiar, hati sakit. Melalui Cekak, Hanafi cuba membuka minda masyarakat untuk berfikir. Rupanya Melayu masih tak peka. Perubahan yang dibawa menjadi ancaman mereka. Pembaharuan ketara gerak pendekar cukup merunsingkan musuh. Sepakatlah mereka untuk menentang hatta ada yang sanggup membunuh. Allah tahu hambaNya benar. Mana mungkin insan sebegini dibiar sendirian tanpa petunjuk.

Us. Hanafi sedar bahawa Cekak bukan seni sembarangan. Seni berasal dari istana. Tempat mulia penuh kemegahan. Jika Melayu kampong menolak, mungkin Melayu bandar menerima. Strategi disusun bersama sahabat dan murid-murid setia. Cekak mula mendapat tempat. Kuala Lumpur menyaksikan percambahan kelas yang ketara. Sungai Way, Keramat, Kampong Baru tercatat antara kelas-kelas awal dibuka. Us. Hanafi bukan sekadar bersilat. Tetapi turut menyirami mereka dengan mutiara nasihat. Melayu bandar ramai yang kosong jiwa. Ustaz Hanafi sedar. Hati mereka perlu diisi. Agar menjadi mukmin sejati.

Us. Hanafi sedar perkembangan memerlukan pemangkin yang hebat. "Satu hari nanti Silat ini akan berkembang di seluruh Universiti". Doa dimakbul. Universiti Malaya membuka jalan. Melalui ahli universiti yang tamat, Cekak dibicarakan secara ilmiah oleh professional dan bijak pandai. Gerak Cekak semakin pantas. Langkah Cekak semakin berani dan tersusun. Satu persatu Universiti menerima Cekak yang dibawa Hanafi. Musuh yang dulunya sepakat, kini terpaksa menerima hakikat. Hanafi memang seorang tokoh yang hebat. Hendak dikejar payah. Hendak dihalang susah. Biarkan. Usahanya penuh siasah lagi terpuji.

Ustaz Hanafi sedar pemimpin yang hebat tidak memandang musuh sebagai masalah. Seringkali mereka dilihat umpama pendorong meningkatkan keazaman dan tumpuan. Biar musuh beribu asalkan jangan wujud musuh dalam selimut. Jangan dibiarkan gunting tersembunyi dalam lipatan. Maka permusuhan harus diperangi dengan kekuatan persaudaraan. Jangan dicaci ilmu orang. Kerana mulut badan binasa. Ukhwah sesama ahli diperkukuhkan dengan penerapan kefahaman agama. Islam cintakan kedamaian. Islam menganjur permuafakatan. Cekak menjadi wadah untuk perlaksanaan.

SALMAN

Ikutlah Yang Ada

Salman menulis

Assalamu'alaikum

Pemerhatian saya terhadap isu-isu yang dibangkitkan beberapa hari yang lepas, banyak yang memperkatakan soal status dan kedudukan ahli-ahli lama. Ada yang beranggapan mereka seharusnya dinilai berdasarkan sumbangan. Tidak kurang juga yang menyarankan agar mereka diterima seadanya berdasarkan jangkamasa lama di dalam persatuan. Walau apapun, tiada kata pasti yang boleh dijadikan sandaran bagi perbahasan tersebut. cuma apa yang menarik perhatian saya ialah secara keseluruhan semua menyentuh keinginan untuk lebih memahamai kefahaman dan ketokohan Us. Hanafi melalui penceritaan dan pengalaman orang lama.

Us. Hanafi telah lama tiada. Itu adalah pasti. Sungguhpun demikian, beliau seakan-akan kekal hidup bersama kita meneruskan perjuangan ini melalui tinggalan khazanah ilmu yang bernilai. Beliau telah menyemai benih kesungguhan dan keyakinan pada sebilangan besar ahli-ahli yang setia untuk meneruskan cita-cita dan impiannya. Bagi mereka yang mengenali Us. Hanafi secara terus, nostalgia bersama banyak mendorong ke arah merealisasikan impian beliau. Mereka amat jelas dan faham apa yang diinginkan. Bagi generasi baru, adalah tidak wajar untuk kita terus menerus bersandar atas nostalgia ini. Selama mana harus kita mainkan irama yang bukan lagi menjadi siulan generasi kini? Kelibat Ustaz tidak pernah sama sekali ditemui. Maka atas faktor apa harus kita kukuhkan kata-kata perangsang, untuk terus membawa marak obor pembakar semangat?

Di sini kita sering terlupa. Insan sentiasa perlukan pedoman untuk menunjuk jalan. Tidak mungkin mereka bertanya kepada angin kerana sifat angin akan terus berlalu tanpa kesan. Jauh sekali untuk bertanya pada alam kerana sifat alam terlalu abstrak untuk difahami. Maka disini telah dibangkitkan bagi kita pemimpin untuk mengepali arah. Pemimpin diangkat oleh mereka yang setia agar kita generasi baru mempunyai kesinambungan untuk memahami maksud dan hasrat pemimpin terdahulu. Dalam konteks perbincangan ini, pemimpin kita ialah YM Guru Utama. GU adalah penterjemah atau pentafsir kepada segala kata bicara ilmu persilatan dan intisari kefahamannya. Selaku pentafsir, tafsirannya adalah berlandaskan kepada apa yang berlaku disekeliling. Ia bersifat kontemporari dan nyata. Apa yang dizahirkan, pastinya adalah satu kenyataan yang bakal dijadikan pedoman bagi mereka yang faham. Kita sering tertanya-tanya bagaimana silat ini harus dibawa? Mudah. Ikut sahaja apa bicara GU. Jangan terlalu membandingkan antara yang lama dan baru. Generasi baru seharusnya jelas bahawa yang ada di depan mata itulah yang nyata lagi pasti.

Maaf saya pohonkan. Tidak salah jika kita masih mengenang jasa Us. Hanafi melalui pergaulan bersama orang lama. Tetapi jika keterlaluan, kita akan ketinggalan. Kita adalah ibarat penumpang sebuah kereta. Yakinkah kita jika pemandu terlalu asyik merenung cermin belakang pada tahap kelajuan tinggi. Seolah-olah terlalu banyak kereta mengekori. Sedangkan jalan hadapan yang perlu dilalui penuh kepelbagaian. Begitulah kita sekadar satu perumpamaan. Kita perlukan contoh sebagai ikutan. Kita perlukan nasihat untuk dijadikan pegangan. Kita kepinginkan kata mutiara buat mengisi kekosongan jiwa. Apakah masih harus bergantung harapan pada kenangan? Jiwa yang hebat adalah diri yang kenal realiti. Masakan Saidina Ali begitu pasti menyatakan bahawa perlaksanaan pemerintahan baginda tidak sama dengan pembawakan Rasullulah SAW, sekiranya baginda diangkat menjadi khalifah pengganti Saidina Umar. Begitulah hebatnya Saidina Ali. Baginya "Aku adalah aku". Aku tahu persekitaran. Aku arif dengan keadaan. Aku tahu pengikutku dan aku juga maklum arah tujuku.

Realiti adalah kehidupan kini. Apa yang lepas sangat jauh untuk dikembalikan meskipun terlalu hampir dibayangan. Bersamalah kita terus menjadi pengikut yang setia kepada Guru yang ada. Sifat mulia seorang Guru, tidak sekali-sekali mensia-siakan pengikut apatah lagi muridnya. Ikhlaskan hati untuk menerima segala teguran dan nasihat. Contohilah segala kebaikan yang kita perhatikan pada dirinya. Rujuklah persoalan atau perselisihan secara beradap dan sopan. Insyaalah darinya akan ada penyelesaian. Bentuklah diri agar menghormati apa yang dikata. Sungguhpun demikian, jangan dilupa hak diri untuk menilai dan memikir. Biar setinggi mana kehebatannya, Guru kekal manusia seperti kita. Bezanya beliau yang dipilih membawa amanah ini dan bukannya kita. Maka atas kelebihan pada Guru maka wajar bagi kita terus bersama dan mendokong segala usaha ke arah kebaikan yang diterajui oleh Guru Utama.

SALMAN

Peneraju Warisan Mutlak

Salman menulis


Assalamu'alaikum

Menerajui satu perjuangan adalah usaha yang mulia tetapi payah. Halangan terlalu banyak. Musuh yang iri bersepah. Sungguhpun demikian, atas satu amanah dan wawasan maka peneraju biasanya cekal dan kental. Halangan bukan hambatan tetapi satu mangkin yang membangkitkan dorongan. SCH mendukung kata-kata bahawa kita adalah Peneraju Warisan Mutlak. Bagaimanakah harus kita lihat pengertian dan perlaksanaan kata-kata ini. Janganlah kita *****a megah melaungkan moto. Sedang hakikatnya kita gagal memahami anjuran maksud.

Peneraju menggambarkan tanggungjawab selaku yang paling utama dalam melaksanakan sesuatu. Dalam konteks perbincangan ini, kita mendahului yang lain dalam memperjuangkan warisan. Warisan yang bagimana? Adakah warisan sekadar silat pada luaran. Atau yang lebih diutamakan ialah ertikata warisan seni silat secara keseluruhan. Jika yang difahami ialah silat pada luaran, maka samalah kita dengan semua wadah perjuangan yang lain. Kita berjalan dan kehadapan hanya sekadar memenuhi keperluan rutin. Program yang dianjurkan tidak lebih dari hiburan yang akhirnya membinasakan tujuan. Jangan ada diantara peneraju yang bersikap begini. Peneraju yang sebenar adalah mereka yang sentiasa "current" atau berdiri atas kehendak semasa. "Current" berkehendakkan kita sentiasa proaktif, dinamik dan rasional dalam perancangan dan perlaksanaan. "Current" memerlukan pertambahan ilmu dari masa ke semasa. Bergantung kepada kepandaian kertas bukan matlamat. Paling diutamakan ialah memahami ilmu serta menjadikannya menarik untuk disebar apatah lagi dikongsi.

Peneraju sentiasa outstanding dalam serba serbi. Pendekatannya up-to-date. Tindakannya penuh hemah lagi bersedia. SCH perlu memperjuangkan keseluruhan maksud yang wujud pada Seni Silat Cekak. Warisan SC bukan sahaja mahal pada geraknya bahkan yang paling bernilai ialah pada kefahaman dan falsafah perjuangannya. Berapa ramai diantara kita yang bangga dengan slogan tetapi kurang berupaya untuk menzahirkan apa yang dikata? Tidak ramai. Itu adalah normal bagi semua. Tetapi tidak bagi peneraju yang sebenar. Memahami keseluruhan erti kata Cekak mengundang kepada pengorbanan. Adakah kita sanggup? Nyata yang kedengaran ialah jeritan ahli muda di pelbagai peringkat pengajian yang berkobar ingin mengungguli perubahan. Ada diantara mereka yang awal-awal lagi menyatakan kesanggupan untuk terus bersama memperjuangkan SC tanpa terlebih dahulu merasai kenikmatan beristeri. Akibatnya merekalah yang paling awal terkandas lantaran wangian dikamar. Biar berpada bila berkata. Biar sederhana dalam perbuatan.

Pengorbanan dalam memahami isi perjuangan harus bergerak seiring dengan memahami kehendak dan hasrat sebenar Guru. Kita, biar diulit dengan kemerdekaan masa dan ringgit, tidak boleh terus ke depan menyahut laungan, andai gagal memahami perkara ini. Guru adalah tuan punya mutlak kepada Silat ini. Seharusnya arah tuju persilatan adalah dibawah telunjuk beliau. Kita hanya bergerak atas semangat membantu. Bantuan yang lahir setelah faham. Faham yang terbit melalui ilmu yang disampaikan. Kenangilah jasa mereka yang membangunkan jiwa. Maka sesudah menyakini akan tujuan dan hasrat Guru, maka bergeraklah ke arah matlamat yang ingin dicapai. Tatkala ini sebarang permasalahan, jelasnya bukan lagi persoalan. Biar diri keseorangan dirantau asing, peneraju tetap terus bersaing. Seolah Guru kekal berdiri disamping.

Seperti yang saya nyatakan diawal, warisan yang diperjuangkan perlu menitik beratkan keseluruhan maksud. Bermula seawal pergerakan SC itu sendiri hinggalah ke tahap penghayatan gerak yang dikuasai. Peneraju sebenar adalah lambang hakiki SC. Bukan logo dan bukan pula warna. Itu semua adalah definasi lambang bagi mereka yang biasa. Bukan bagi mereka yang arif dan hebat. SC tidak perlu diperlambangkan kerana lambang sebenarnya bergerak seiring dengan kemajuan sahsiah peneraju. Gagah peneraju dipentas masyarakat maka gagahlah silat dikacamata semua. Megah peneraju dipersada ilmu nescaya megahlah silat di medan yang sama. Jika ini tercapai maka yang paling berbahagia ialah Guru yang mendidik peneraju. Dikala ini, Guru tidak segan untuk mengaku mereka adalah muridnya. Adakah kita mampu? Fikirkan

SALMAN

Free MP3s