Salman menulis
Assalamu'alaikum
Pemerhatian saya terhadap isu-isu yang dibangkitkan beberapa hari yang lepas, banyak yang memperkatakan soal status dan kedudukan ahli-ahli lama. Ada yang beranggapan mereka seharusnya dinilai berdasarkan sumbangan. Tidak kurang juga yang menyarankan agar mereka diterima seadanya berdasarkan jangkamasa lama di dalam persatuan. Walau apapun, tiada kata pasti yang boleh dijadikan sandaran bagi perbahasan tersebut. cuma apa yang menarik perhatian saya ialah secara keseluruhan semua menyentuh keinginan untuk lebih memahamai kefahaman dan ketokohan Us. Hanafi melalui penceritaan dan pengalaman orang lama.
Us. Hanafi telah lama tiada. Itu adalah pasti. Sungguhpun demikian, beliau seakan-akan kekal hidup bersama kita meneruskan perjuangan ini melalui tinggalan khazanah ilmu yang bernilai. Beliau telah menyemai benih kesungguhan dan keyakinan pada sebilangan besar ahli-ahli yang setia untuk meneruskan cita-cita dan impiannya. Bagi mereka yang mengenali Us. Hanafi secara terus, nostalgia bersama banyak mendorong ke arah merealisasikan impian beliau. Mereka amat jelas dan faham apa yang diinginkan. Bagi generasi baru, adalah tidak wajar untuk kita terus menerus bersandar atas nostalgia ini. Selama mana harus kita mainkan irama yang bukan lagi menjadi siulan generasi kini? Kelibat Ustaz tidak pernah sama sekali ditemui. Maka atas faktor apa harus kita kukuhkan kata-kata perangsang, untuk terus membawa marak obor pembakar semangat?
Di sini kita sering terlupa. Insan sentiasa perlukan pedoman untuk menunjuk jalan. Tidak mungkin mereka bertanya kepada angin kerana sifat angin akan terus berlalu tanpa kesan. Jauh sekali untuk bertanya pada alam kerana sifat alam terlalu abstrak untuk difahami. Maka disini telah dibangkitkan bagi kita pemimpin untuk mengepali arah. Pemimpin diangkat oleh mereka yang setia agar kita generasi baru mempunyai kesinambungan untuk memahami maksud dan hasrat pemimpin terdahulu. Dalam konteks perbincangan ini, pemimpin kita ialah YM Guru Utama. GU adalah penterjemah atau pentafsir kepada segala kata bicara ilmu persilatan dan intisari kefahamannya. Selaku pentafsir, tafsirannya adalah berlandaskan kepada apa yang berlaku disekeliling. Ia bersifat kontemporari dan nyata. Apa yang dizahirkan, pastinya adalah satu kenyataan yang bakal dijadikan pedoman bagi mereka yang faham. Kita sering tertanya-tanya bagaimana silat ini harus dibawa? Mudah. Ikut sahaja apa bicara GU. Jangan terlalu membandingkan antara yang lama dan baru. Generasi baru seharusnya jelas bahawa yang ada di depan mata itulah yang nyata lagi pasti.
Maaf saya pohonkan. Tidak salah jika kita masih mengenang jasa Us. Hanafi melalui pergaulan bersama orang lama. Tetapi jika keterlaluan, kita akan ketinggalan. Kita adalah ibarat penumpang sebuah kereta. Yakinkah kita jika pemandu terlalu asyik merenung cermin belakang pada tahap kelajuan tinggi. Seolah-olah terlalu banyak kereta mengekori. Sedangkan jalan hadapan yang perlu dilalui penuh kepelbagaian. Begitulah kita sekadar satu perumpamaan. Kita perlukan contoh sebagai ikutan. Kita perlukan nasihat untuk dijadikan pegangan. Kita kepinginkan kata mutiara buat mengisi kekosongan jiwa. Apakah masih harus bergantung harapan pada kenangan? Jiwa yang hebat adalah diri yang kenal realiti. Masakan Saidina Ali begitu pasti menyatakan bahawa perlaksanaan pemerintahan baginda tidak sama dengan pembawakan Rasullulah SAW, sekiranya baginda diangkat menjadi khalifah pengganti Saidina Umar. Begitulah hebatnya Saidina Ali. Baginya "Aku adalah aku". Aku tahu persekitaran. Aku arif dengan keadaan. Aku tahu pengikutku dan aku juga maklum arah tujuku.
Realiti adalah kehidupan kini. Apa yang lepas sangat jauh untuk dikembalikan meskipun terlalu hampir dibayangan. Bersamalah kita terus menjadi pengikut yang setia kepada Guru yang ada. Sifat mulia seorang Guru, tidak sekali-sekali mensia-siakan pengikut apatah lagi muridnya. Ikhlaskan hati untuk menerima segala teguran dan nasihat. Contohilah segala kebaikan yang kita perhatikan pada dirinya. Rujuklah persoalan atau perselisihan secara beradap dan sopan. Insyaalah darinya akan ada penyelesaian. Bentuklah diri agar menghormati apa yang dikata. Sungguhpun demikian, jangan dilupa hak diri untuk menilai dan memikir. Biar setinggi mana kehebatannya, Guru kekal manusia seperti kita. Bezanya beliau yang dipilih membawa amanah ini dan bukannya kita. Maka atas kelebihan pada Guru maka wajar bagi kita terus bersama dan mendokong segala usaha ke arah kebaikan yang diterajui oleh Guru Utama.
SALMAN
Monday, February 12, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment