Blogger Template by Blogcrowds

 
   

Monday, February 12, 2007

Pembentukan Peribadi Penuntut

saya menulis

Pada saya persatuan atau silat semata-mata, tidak dapat membentuk sepenuhnya keperibadian seseorang dalam konteks persilatan. Perkara penting ialah mesti ada orang yang berperanan untuk membentuk peribadi sebagai pemimpin berdasarkan falsafah Silat Cekak. Kita sering mengait-ngaitkan persatuan dan silat sebagai pembentuk peribadi. Itu merupakan harapan kita. Dalam konteks ini, sebenarnya kita memerlukan orang yang berkualiti dan benar-benar faham tentang silat dan dapat menyampaikan falsafah silat ini supaya dijadikan pegangan yang akhirnya akan menjadi sebagai pemimpin pertubuhan.

Sebagai contoh, konsep dalam penyampaian silat.

Pada saya konsep penyampaian Silat Cekak kepada penuntut bukan hanya terhad berdasarkan konsep “ajar” tetapi juga sangat menekankan konsep “pandu” kerana semua pergerakan telah ada pada penuntut. Oleh sebab kurang pengetahuan, adalah menjadi tanggungjawab kita memupuk sikap dan tingkah laku yang telah pun ada pada diri mereka. Kalau kita memegang istilah “memandu”, akan lahirlah sikap menghormati ahli yang sedang belajar. Wujud perbincangan dan usaha untuk menyakinkan penuntut secara rasional. Dengan ini lahirlah satu ikatan sebenar antara ahli Silat Cekak yang sedang belajar dengan jurulatih yang bertindak sebagai pemimpin ketika itu. Secara langsung akan merapatkan hubungan ahli dengan persatuan. Sebaliknya jikalau istilah “ajar” yang hanya kita tekankan, lahirlah sikap menganggap orang lain tidak tahu. Perbincangan mungkin dianggap sebagai mencabar jurulatih. “Jangan tanya, ikut sahaja,” Itulah laungan yang sering didengar. Sebagai pemimpin, saya rasa ini tidak baik. Perasaan tidak puas hati akan berkekalan hingga ke sudah.

Dalam hal ini siapakah yang berperanan untuk membentuk peribadi sebagai pemimpin. Kalau setakat persatuan dan silat sahaja, ini lebih merupakan harapan. Yang pentingnya ada orang yang berperanan untuk membentuk peribadi tersebut. Orang itu mesti faham falsafah dan matlamat Silat Cekak. Silat Cekak mempunyai ciri-ciri keistimewaan yang unik. Orang yang faham sahaja yang boleh menyingkap keistimewaan tersebut untuk faedah ahli. Ahli perlu dilayan sesuai dengan tahapnya sebagai penuntut. Jangan wujudkan suasana tidak puas hati di kalangan mereka.

Untuk mencapai ke tahap Jurulatih yang berkesan, pengetahuan (Ilmu) dan pengalaman amat penting. Banyak kaedah yang telah dibincangkan dalam usaha untuk menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman kepada jurulatih atau tenaga pengajar.

Kita perlu sentiasa bersikap positif. Saya pernah nyatakan bahawa tahap IQ dan EQ penuntut adalah berbeza-beza. "CC" mereka tak sama. Ada yang beribu cc dan ada yang beratus cc. Perhatikan; adakah di kalangan penuntut kita ada golongan cerdik (brilliant) dan bijak (gifted). Mereka mempunyai sikap dan sifat yang tersendiri. Golongan ini apabila diajar, cepat dapat. Pemikiran mereka kreatif dan sentiasa bersikap kritis. Kita perlu pandai melayan karenah mereka. Kadang kala pengetahuan yang kita beri semacam tiada kepuasan kepada mereka. Tetapi kalau betul caranya, merekalah nanti yang akan menjadi eset kepada pergerakan yang kita pimpin. Merekalah nanti yang akan dan boleh membantu kita untuk memaju dan mengembangkan SCH.

No comments:

Free MP3s