Blogger Template by Blogcrowds

 
   

Monday, February 12, 2007

Peneraju Warisan Mutlak

Salman menulis


Assalamu'alaikum

Menerajui satu perjuangan adalah usaha yang mulia tetapi payah. Halangan terlalu banyak. Musuh yang iri bersepah. Sungguhpun demikian, atas satu amanah dan wawasan maka peneraju biasanya cekal dan kental. Halangan bukan hambatan tetapi satu mangkin yang membangkitkan dorongan. SCH mendukung kata-kata bahawa kita adalah Peneraju Warisan Mutlak. Bagaimanakah harus kita lihat pengertian dan perlaksanaan kata-kata ini. Janganlah kita *****a megah melaungkan moto. Sedang hakikatnya kita gagal memahami anjuran maksud.

Peneraju menggambarkan tanggungjawab selaku yang paling utama dalam melaksanakan sesuatu. Dalam konteks perbincangan ini, kita mendahului yang lain dalam memperjuangkan warisan. Warisan yang bagimana? Adakah warisan sekadar silat pada luaran. Atau yang lebih diutamakan ialah ertikata warisan seni silat secara keseluruhan. Jika yang difahami ialah silat pada luaran, maka samalah kita dengan semua wadah perjuangan yang lain. Kita berjalan dan kehadapan hanya sekadar memenuhi keperluan rutin. Program yang dianjurkan tidak lebih dari hiburan yang akhirnya membinasakan tujuan. Jangan ada diantara peneraju yang bersikap begini. Peneraju yang sebenar adalah mereka yang sentiasa "current" atau berdiri atas kehendak semasa. "Current" berkehendakkan kita sentiasa proaktif, dinamik dan rasional dalam perancangan dan perlaksanaan. "Current" memerlukan pertambahan ilmu dari masa ke semasa. Bergantung kepada kepandaian kertas bukan matlamat. Paling diutamakan ialah memahami ilmu serta menjadikannya menarik untuk disebar apatah lagi dikongsi.

Peneraju sentiasa outstanding dalam serba serbi. Pendekatannya up-to-date. Tindakannya penuh hemah lagi bersedia. SCH perlu memperjuangkan keseluruhan maksud yang wujud pada Seni Silat Cekak. Warisan SC bukan sahaja mahal pada geraknya bahkan yang paling bernilai ialah pada kefahaman dan falsafah perjuangannya. Berapa ramai diantara kita yang bangga dengan slogan tetapi kurang berupaya untuk menzahirkan apa yang dikata? Tidak ramai. Itu adalah normal bagi semua. Tetapi tidak bagi peneraju yang sebenar. Memahami keseluruhan erti kata Cekak mengundang kepada pengorbanan. Adakah kita sanggup? Nyata yang kedengaran ialah jeritan ahli muda di pelbagai peringkat pengajian yang berkobar ingin mengungguli perubahan. Ada diantara mereka yang awal-awal lagi menyatakan kesanggupan untuk terus bersama memperjuangkan SC tanpa terlebih dahulu merasai kenikmatan beristeri. Akibatnya merekalah yang paling awal terkandas lantaran wangian dikamar. Biar berpada bila berkata. Biar sederhana dalam perbuatan.

Pengorbanan dalam memahami isi perjuangan harus bergerak seiring dengan memahami kehendak dan hasrat sebenar Guru. Kita, biar diulit dengan kemerdekaan masa dan ringgit, tidak boleh terus ke depan menyahut laungan, andai gagal memahami perkara ini. Guru adalah tuan punya mutlak kepada Silat ini. Seharusnya arah tuju persilatan adalah dibawah telunjuk beliau. Kita hanya bergerak atas semangat membantu. Bantuan yang lahir setelah faham. Faham yang terbit melalui ilmu yang disampaikan. Kenangilah jasa mereka yang membangunkan jiwa. Maka sesudah menyakini akan tujuan dan hasrat Guru, maka bergeraklah ke arah matlamat yang ingin dicapai. Tatkala ini sebarang permasalahan, jelasnya bukan lagi persoalan. Biar diri keseorangan dirantau asing, peneraju tetap terus bersaing. Seolah Guru kekal berdiri disamping.

Seperti yang saya nyatakan diawal, warisan yang diperjuangkan perlu menitik beratkan keseluruhan maksud. Bermula seawal pergerakan SC itu sendiri hinggalah ke tahap penghayatan gerak yang dikuasai. Peneraju sebenar adalah lambang hakiki SC. Bukan logo dan bukan pula warna. Itu semua adalah definasi lambang bagi mereka yang biasa. Bukan bagi mereka yang arif dan hebat. SC tidak perlu diperlambangkan kerana lambang sebenarnya bergerak seiring dengan kemajuan sahsiah peneraju. Gagah peneraju dipentas masyarakat maka gagahlah silat dikacamata semua. Megah peneraju dipersada ilmu nescaya megahlah silat di medan yang sama. Jika ini tercapai maka yang paling berbahagia ialah Guru yang mendidik peneraju. Dikala ini, Guru tidak segan untuk mengaku mereka adalah muridnya. Adakah kita mampu? Fikirkan

SALMAN

No comments:

Free MP3s