Penguasaan Silat Cekak.
Satu ketika dulu , dalam pertunjukan, sentuh sikit musuh akan tewas . Sekarang saya perhatikan dalam pertunjukan, pergerakan dengan aksi yang hebat sangat diberatkan. Aksi Silat Cekak adalah teras dalam babak tersebut. Janganlah terasa di hati yang kita hanya cuba memuaskan hati penonton hingga boleh merugikan pergerakan sendiri. Namun, yang penting kita tidak ditertawakan akibat aksi kita yang tidak logik.
Walau bagaimanapun sebagai ahli SCUH,
beratkanlah pelajaran seni SCH itu sendiri. Pastikan penguasaan, kefahaman, ketangkasan dan keyakinan kita terhadap CH benar-benar berada pada tahap maksimum. Kalau tamat setakat enam bulan, maka kebolehan kita setakat itu sahaja. Kalau belajar setakat PMR, kebolehan PMRlah yang kita dapat. Kalau setakat universiti, pelajaran setakat itu pula yang kita dapat. Jangan belajar setakat enam bulan, minat semakin kurang dan kita lupa kepada pembelajaran silat dan tumpuan lebih kepada aktiviti lain. Ini merugikan. Penglibatan biar seimbang.
Ilmu silat merupakan teman setia kita. Dalam keadaan sesak, ia amat berguna. Sekurang-kurangnya ilmu tersebut dapat memberi keyakinan. Keyakinan akan melahirkan sifat berani. Secara logik, apabila kita berani, musuh akan takut. Tidak ada orang lain yang akan membantu. Kalaulah kita takut, musuh akan berani. Perkara penting biarlah keberanian itu berasas. Kita semua diberitahu bahawa Silat Cekak adalah silat yang benar-benar bertanggungjawab, hebat dan dapat mengatasi pelbagai bentuk serangan. Persoalannya, kita bagaimana? Adakah benar kita dapat bertanggungjawab atas diri kita dengan ilmu Silat Cekak yang kita pelajari atau setakat ungkapan sahaja.
Menjadi Tenaga Pengajar merupakan satu langkah yang baik bagi memahirkan diri sama ada secara teori atau praktikal. *****a jangan jadikan diri kita, “umpama lilin yang menyinari sekeliling tapi membakar diri.” Maksudnya, kita melahirkan penuntut yang berkebolehan dalam silat, tetapi kita masih berada di takuk lama. Tiada peningkatan pada kebolehan diri kita. Sepatutnya lagi lama kita “mengajar” silat , lagi tinggi kebolehan kita dari segi kefahaman dan aplikasinya.
Oleh sebab silat itu ‘gerak’, pastikan semasa mengajar, kita memerhati gerak penuntut kita. Hal ini demikian supaya kita dapat mengasuh diri kita untuk membezakan gerak kawan atau gerak musuh. Sambil kita mengajar, kita memikir dan mengkaji. Ini meliputi cara kita menghantar penumbuk, membuat buah, memotong atau bertindak balas. Semuanya mesti dilakukan dalam keadaan berfikir dan waspada. Saya percaya cara ini akan dapat membantu meningkatkan keupayaan dan kemahiran kita dalam persilatan.
Perkara yang paling penting sekali pada pandangan saya, setiap penerangan tentang gerak silat yang kita lakukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran silat, mesti selari dengan perbuatan kita sendiri. Terbukti bahawa penuntut lebih memerhati atau mendapat ilmu melalui perbuatan yang kita lakukan. Sedikit sangat melalui penerangan. Kalau tenaga pengajar tidak selaras dari segi penerangan dengan apa yang dilakukan amat malang kepada penuntut. Saya yakin dan percaya, kalaulah aspek “cakap serupa bikin” sentiasa kita ambil berat, kita akan menjadikan diri kita hebat dalam pesilatan.
No comments:
Post a Comment